Terlalu Fokus Pada SEO? Ini Yang Penulis Rencana Kena Tahu

Sebagai penulis rencana, sememangnya SEO atau search engine optimization adalah sesuatu yang perlu diambil tahu. Ada banyak manfaat apabila anda menulis mengikut kepada kaedah mesra SEO dalam rencana terutama dalam enjin carian di Google. Pun begitu, tahukah anda bahawa terlalu fokus kepada SEO boleh menyebabkan banyak kesan buruk kepada rencana anda juga.

Kami terangkan beberapa kesan buruk atau kelemahan dalam rencana tulisan anda sekiranya anda terlalu fokus kepada SEO ketika menulis rencana.

1) MEMBELAKANGKAN KESERONOKAN MEMBACA

Anda perlu faham bahawa seseorang penulis itu menulis untuk manusia. Anda bukan menulis untuk robot. Justeru anda perlu ambil kira keseronokan membaca. Terlalu fokus kepada SEO membuatkan rencana yang ditulis boleh jadi kaku kerana anda hanya memikirkan mengenai kata kunci (keyword) sahaja.

Ada ketika, kata kunci itu tidak sepatutnya diletakkan di satu-satu bahagian pun kerana kurang sesuai. Namun disebabkan terlalu fokus kepada SEO, anda seboleh-bolehnya memasukkan kata kunci tersebut.

Kesannya, rencana yang sedap dibaca telah hilang sebaliknya hanya rencana dengan kata kunci yang kaku di situ.

2) KURANG KREATIVITI

Rencana yang sedap dibaca adalah rencana yang mempunyai jalan cerita dan susunan perenggan yang memudahkan pembaca untuk mengikuti rencana anda dari awal hingga akhir.

Demi mencapai skor SEO yang tinggi, ada kala penulis sanggup mengorbankan kreativiti dan keaslian jiwa penulis. Pembaca dapat mengesan kata kunci yang berulang-ulang di pelbagai tempat misalnya pada tajuk, pada baris pertama intro, pada setiap tajuk kecil dan juga pada bahagian penutup.

Pembaca bukannya robot yang sanggup membaca kata kunci berulang-ulang sedemikian. Akhirnya rencana anda jadi bosan dibaca dan tiada keseronokan untuk dibaca pun.

3) MENJEJASKAN KEDUDUKAN LAMAN SESAWANG

SEO bantu rencana mudah ditemui di Google. Namun itu bukan satu-satunya cara yang anda ada.

Sebenarnya, algoritma SEO juga sama seperti algoritma media sosial yang ada di internet. Ianya sentiasa berubah-ubah. Justeru jika anda terlalu fokus dengan SEO, bukan bermaksud laman sesawang anda itu boleh kekal berapa pada paras tertinggi di enjin carian pun.

Taktik SEO sentiasa berubah dan strategi yang sama tidak boleh diguna pakai pada setiap masa. Anda perlu juga menghasilkan rencana yang boleh menarik minat pembaca tanpa terlalu fokus dengan kata kunci untuk menaikkan SEO rencana anda.

4) MENGABAIKAN KEPERLUAN LAIN

SEO bukanlah satu-satunya cara untuk mencipta kejayaan laman sesawang anda. SEO hanyalah salah satu cara. Ada banyak lagi faktor yang anda boleh ikut untuk mencipta kejayaan bagi laman sesawang anda. Misalnya mencipta identiti jenama anda dengan baik dan menghasilkan rencana yang menarik untuk dibaca. Hal ini turut dapat membina hubungan yang kukuh dengan pembaca sehingga membuatkan rencana tanpa taktik SEO pun turut mendapat sambutan untuk dibaca.

5) KATA KUNCI MEMBOSANKAN

Kata kunci berulang-ulang menjadikan pembaca bosan untuk terus membaca rencana anda.

Rencana yang ditulis dengan kata kunci berulang-ulang sehingga dapat dikenal pasti oleh pembaca bahawa itu hanyalah semata-mata untuk SEO, hal itu bukanlah sesuatu yang bagus. Pembaca boleh mengesan hal tersebut.

Apalah ertinya apabila rencana anda hanya dipadatkan dengan kata kunci sehingga hilang nilai sedap untuk dibaca?

Kesimpulannya, walaupun menulis rencana mesra SEO itu bagus untuk meningkatkan trafik ke laman sesawang anda, namun itu bukanlah satu-satunya cara yang boleh dilakukan. Anda perlu juga menghasilkan rencana yang sedap dibaca dan menambah nilai kepada pembaca.

Tingkatkan penjenamaan diri dan hasilkan rencana yang kreatif. Gabungkan teknik-teknik tersebut dalam rencana anda supaya rencana anda jadi mesra SEO di samping kekal sedap untuk dibaca.