Tangani Krisis: Ini Iktibar Daripada Video Viral Agus-Wahab dan Stoking KK Super Mart

Tanah air kita pernah kecoh dengan dua isu yang boleh dikatakan sebagai besar. Ini kerana ramai yang memperkatakan mengenai isu ini sehingga mendapat liputan luas daripada media massa dan perbualan netizen.

Pertama adalah isu pada tahun 2023 lalu atas kes video tular antara Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff dengan Penolong Pegawai J-KOM, Abdul Wahab Kader Jilani.

Isu kedua pula adalah isu stoking bercetak kalimah Allah yang dijual di kedai KK Super Mart cawangan Bandar Sunway, Petaling Jaya. Hal ini menimbulkan kemarahan umat Islam yang mempertikaikan tindakan pasar raya itu tidak sensitif dengan menjual stoking sedemikian.

Apa yang ingin dikatakan di sini adalah cara menangani krisis dengan betul. Ya, kedua-dua isu ini telah pun ditangani dengan cara yang lazim dibuat iaitu sidang media dan permohonan maaf.

Adakah itu cara terbaik untuk menangani krisis?

IMBASAN KES AGUS-WAHAB

Sumber Foto: Bernama (https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2245558)

Pada Khamis, 30 November 2023, Abdul Wahab tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan berkata ia adalah bagi membersihkan namanya yang terpalit dalam isu penyebaran video perbualan lucah melibatkan dirinya.

Susulan itu, Dr Mohammad Agus dan Abdul Wahab tampil dalam sidang media untuk menjelaskan isu berkenaan.

Abdul Wahab mengakui dirinya tertekan dan trauma selepas apa yang berlaku membabitkannya dengan Dr Mohammad Agus. Abdul Wahab juga berkata dia tidak pasti dengan status jawatannya di jabatan tersebut.

Terdahulu, sebuah video yang menggambarkan Dr Mohammad Agus kononnya melakukan perbualan tidak senonoh dengan seseorang dikenali sebagai ‘Wahab’ menjadi viral.

Dr Mohammad Agus mendakwa bahawa video itu direka untuk mensabotaj reputasinya dan orang yang bertanggungjawab adalah individu berpangkat tinggi yang dikenali “Encik H”.

IMBASAN KES STOKING KALIMAH ALLAH KK SUPER MART

Sumber Foto: Malaysia Kini (https://www.malaysiakini.com/news/699415)

Pada Mac 2024, tular di media sosial berhubung penjualan stoking kalimah Allah di premis KK Super Mart selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna. Susulan itu, KK Super Martkemudiannya tampil mohon maaf susulan kontroversi penjualan stoking itu di rangkaian serbaneka syarikat berkenaan.

Sebuah syarikat vendor sedang mempertimbang mengambil tindakan undang-undang terhadap pembekal dari China berhubung stoking tertera kalimah Allah yang dibekalkan kepada KK Super Mart.

Syarikat itu berkata, pihaknya telah menghubungi pembekal berkaitan dan dimaklumkan bahawa stoking yang mencetuskan kontroversi itu termasuk dalam stok yang dibekalkan secara tidak sengaja.

PERSOALAN

Persoalannya di sini, adakah tindakan membuat sidang media adalah benar untuk menangani krisis gangguan seksual antara Dr Mohammad Agus dan Abdul Wahab? Begitu juga adakah tindakan memohon maaf adalah benar bagi kes stoking KK Super Mart?

Pendirian Modachi, kedua-dua tindakan itu adalah tidak berkesan untuk menjernihkan keadaan. Malahan ianya semakin memburukkan keadaan dan tidak memberikan imej bersih kepada kedua-dua belah pihak.

Kenapa?

Kes video tular berlaku pada 16 November 2023 apabila video tersebut disebarkan oleh Cikgu Bard di laman Facebook beliau. Pada 17 November 2023, Agus-Wahab tampil pada sidang media di Bangi.

Pelbagai perkara didedahkan antaranya:

1) Abdul Wahab mendakwa dia diarahkan pegawai atasan (Mr H) untuk merakam perbualan bersama Agus. Abdul Wahab merakam namun isi perbualan bukan seperti yang tersebar.

2) Abdul Wahab mendakwa apa yang tersebar adalah rakaman video yang disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab menggunakan teknik voice over. Konspirasi daripada Mr H.

3) Abdul Wahab mendakwa Mr H memberi tugas kepadanya untuk membersihkan nama J-KOM dengan menjatuhkan Dr Mohammad Agus yang dikatakan terbabit dalam aktiviti tidak bermoral. Abdul Wahab berkata selaku seorang pegawai baharu, dia teruja untuk melaksanakan tugasan diberikan Mr H itu.

4) Abdul Wahab berkata, dia tampil menjelaskan kepada masyarakat bagi membersihkan nama dan akan membuat laporan polis serta mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan fitnah.

Daripada rentetan ini, dapat dilihat bahawa sidang media yang diadakan oleh Agus-Wahab tidak berkesan dan tidak mencapai objektif untuk membersihkan nama apatah lagi menjernihkan keadaan.

Ini kerana daripada informasi yang dijelaskan pada sidang media itu hanya membuka ruang lebih besar untuk masyarakat mempersoalkan isu sebelumnya. Antaranya adalah mempersoalkan betulkah video itu disunting menggunakan voice over?

APA YANG PATUT DILAKUKAN?

Modachi berpendirian selayaknya sebagai seorang berpengaruh dengan jawatan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff sepatutnya lebih bijak untuk menyusun strategi dalam konteks membersihkan nama.

Beliau tidak sepatutnya membuat sidang media dalam keadaan tergesa-gesa. Ini kerana dalam keadaan tergesa-gesa kebarangkalian untuk ‘tersilap cakap’ ketika menjawab soalan wartawan boleh menjerat diri sendiri. Hal-hal ‘tersilap cakap’ inilah yang akan menjadi agenda kepada pihak berkepentingan untuk mengeruhkan lagi keadaan sehingga menyebabkan objektif sidang media itu tadi tidak tercapai.

4 LANGKAH TANGANI KRISIS AGUS-WAHAB

Modachi berikan empat langkah yang sepatutnya dibuat bagi pihak Agus-Wahab ketika berdepan dengan isu video viral tersebut.

1) Berdiam diri bagi tempoh masa dua tiga hari adalah sebaik-baiknya. Usah dilayan segala kekecohan netizen ataupun panggilan daripada pihak media.

2) Dr Mohammad Agus perlu membuat laporan polis demi menjaga reputasinya yang berkedudukan tinggi.

3) Dr Mohammad Agus hanya perlu keluarkan kenyataan rasmi yang menyatakan berkenaan isu yang sedang tular. Dalam kenyataan itu juga nyatakan bahawa beliau dan Abdul Wahab tidak akan menjawab sebarang pertanyaan media massa kerana tidak mahu mengganggu siasatan polis.

4) Apabila keadaan sudah reda dan pihak polis sudah membuat penyiasatan, barulah buat sidang media. Ketika ini sudah semestinya pihak Agus-Wahab sudah lebih bersedia dan objektif sidang media untuk membersihkan nama dan menjernihkan keadaan lebih mudah untuk dicapai.

4 LANGKAH TANGANI ISU STOKING KK SUPER MART

Modachi melihat tindakan memohon maaf yang dibuat oleh KK Super Mart adalah tidak berkesan untuk meredakan kemarahan umat Islam terhadap pasar raya itu. Apabila memohon maaf, ini bermakna KK Super Mart perlu menanggung tanggungjawab menggalas kesalahan.

1) Berdiam diri bagi tempoh masa dua tiga hari adalah sebaik-baiknya. Usah dilayan segala kekecohan netizen ataupun panggilan daripada pihak media.

2) Pengasas KK Super Mart, Datuk Seri Chai Kee Kan perlu membuat laporan polis demi menjaga jenama pasar rayanya.

3) Kee Kan hanya perlu keluarkan kenyataan rasmi yang menyatakan berkenaan isu yang sedang tular. Dalam kenyataan itu juga nyatakan bahawa beliau tidak akan menjawab sebarang pertanyaan media massa kerana tidak mahu mengganggu siasatan polis.

4) Apabila keadaan sudah reda dan pihak polis sudah membuat penyiasatan, barulah buat sidang media. Ketika ini sudah semestinya pihak bertanggungjawab telah menyiasat kewujudan stoking itu. Isunya pada hari ini, tiada penjelasan dari mana munculnya stoking itu. Adakah benar pasar raya ini yang memesan stoking dengan cetakan kalimah Allah? Mungkin juga musuh dalam bisnes yang membuat sabotaj dengan memasukkan stoking berkenaan dalam guni yang dipesan. Kita tidak tahu. Jika hal ini didedahkan dan KK Super Mart memang tidak bersalah, maka orang ramai tidak akan marah terhadap pasar raya tersebut.

Justeru, tindakan membuat sidang media selepas siasatan polis adalah lebih berkesan berbanding membuat sidang media dalam keadaan tergesa-gesa. Begitu juga dengan permohonan maaf. Permohonan maaf boleh dibuat dalam sidang media dalam keadaan lebih bersedia dan orang ramai lebih menerima permohonan maaf yang dibuat selepas siasatan dijalankan.

Kesimpulannya, kedua-dua isu ini memberikan iktibar kepada pihak yang dilanda krisis. Sidang media bukanlah satu solusi. Ya, sidang media memang boleh menjelaskan banyak perkara tetapi kita perlu dalam keadaan lebih bersedia dan tidak tergesa-gesa. Begitu jugalah dengan permohonan maaf.