Bekerja Sendiri, Ini Kerja Yang Trending Untuk Anda Teroka

Pada hari ini, corak mencari pendapatan isi rumah telah banyak berubah. Jika dahulu, makan gaji boleh dikatakan sebagai satu cara paling popular untuk mencari pendapatan. Kini trend bekerja sendiri telah semakin mendapat tempat di hati ramai orang terutamanya golongan muda.

Statistik yang dibentangkan oleh Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin menunjukkan bahawa setakat November 2023, jumlah individu yang bekerja sendiri di Malaysia adalah seramai 3 juta orang. (Sumber: https://malaysiagazette.com/2024/02/09/bilangan-penganggur-567800-orang-pada-disember-2023/)

Walaupun statistik orang yang bekerja makan gaji masih tinggi iaitu 17.03 juta orang, namun bekerja sendiri telah menjadi pilihan dengan trend angka yang semakin meningkat dari semasa ke semasa. Peningkatan ini menunjukkan bahawa bekerja sendiri diterima ramai.

Antara sebab bekerja sendiri menjadi trend yang diterima ramai adalah cara bekerja yang tidak terikat dengan mana-mana majikan dan kebebasan dari segi masa.

Pekerjaan di bawah sesuai untuk dilakukan apabila anda memilih untuk bekerja sendiri:

Penulis Upahan

Menulis dari rumah adalah satu pekerjaan yang boleh dibuat tanpa majikan.

Penulis upahan ialah individu yang menulis bagi pihak orang lain. Menulis adalah aktiviti yang boleh dibuat dari rumah. Pada hari ini ramai individu yang berkebolehan untuk menulis memilih menjadi penulis upahan.

Kadar upah penulis upahan adalah berdasarkan kepada pengalaman menulis, jenis kandungan dan tempoh masa perlu disiapkan.

Servis Pembersihan

Pekerjaan pembersihan boleh dibuat untuk mendapatkan upah yang memberangsangkan.

Permintaan terhadap servis pembersihan boleh dikatakan tinggi terutama pada waktu sambutan perayaan. Misalnya pada musim Hari Raya Aidilfitri. Pemilik rumah ingin membersihkan rumah secara keseluruhan supaya ahli keluarga dan para tetamu mendapat keselesaan ketika di rumah.

Kadar upah servis pembersihan pula adalah bergantung kepada keluasan rumah yang hendak dibersihkan. Begitu juga dengan tahap kotornya sesuatu kawasan tersebut. Ada juga pembuat servis yang menawarkan kadar upah mengikut kiraan jam.

Ejen Dropship

Satu lagi pekerjaan yang boleh dibuat dari rumah adalah dengan menjadi ejen dropship atau ejen affiliate sesuatu produk. Pekerjaan ini mendapat sambutan kerana seseorang ejen itu tidak perlu membeli stok. Sebaliknya, ejen hanya mempromosikan link dan orang ramai boleh membuat pembelian dalam talian menggunakan link khas yang disertakan.

Kadar upah adalah bergantung kepada berapa yang ditawarkan oleh pemilik produk. Ada produk yang kadar komisen tinggi dan begitu juga sebaliknya.

Servis Penghantaran

Servis penghantaran boleh dijadikan sebagai kerjaya.

Selain itu, anda juga boleh membuat kerja sendiri dengan menawarkan servis penghantaran kepada individu yang memerlukan. Jika anda menggunakan motosikal, barangan yang dihantar tidaklah besar. Jika anda menggunakan kereta, maka anda berpeluang menghantar barangan lebih besar dengan upah lebih lumayan.

Menjahit

Kemahiran menjahit tidak dimiliki oleh semua orang. Justeru anda yang ada kemahiran itu boleh memanfaatkannya dengan mengambil upah dan menjahit dari rumah. Hal ini membuatkan anda boleh menjadikan bidang jahitan sebagai platform bekerja dari rumah.

Menggunting rambut

Satu lagi kemahiran yang mempunyai nilai tinggi adalah menggunting rambut. Bermodalkan peralatan asas dan keberanian untuk menggunting rambut orang, anda boleh menjadikan pekerjaan ini untuk mendapat wang hanya dari rumah.

Masak

Menjual makanan yang dimasak dari rumah juga boleh menjana pendapatan.

Memasak adalah satu kemahiran yang jika digunakan dengan betul boleh memberikan kegembiraan kepada orang ramai. Masaklah dengan cara yang betul dan hasilkan masakan yang sedap. Apabila masakan anda mendapat banyak pujian, maka ketika itu anda mudah untuk mendapatkan tempahan.

Daripada pelbagai bidang ini, pilihlah mana yang anda suka untuk lakukan. Dari situ, bina branding anda supaya anda mudah ‘dilihat’ di media sosial dan sekali gus mendapat pelanggan.