Contoh Pengendalian Krisis Berkesan Oleh Azmin Ali

Masyarakat pasti masih ingat akan kes video jelik yang membabitkan nama bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Azmin) dan bekas Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Kejadian itu berlaku pada anggaran tarikh 11 Jun 2019 apabila klip video intim dua lelaki melakukan hubungan sejenis dan salah seorang daripadanya mirip Azmin telah tersebar melalui platform WhatsApp.

Kurang dari 12 jam klip video itu tersebar, seorang lelaki yang dikenali sebagai Haziq telah membuat hantaran di laman media sosial Facebook. Dia mengakui salah seorang lelaki dalam video itu ialah dia dan lelaki yang bersamanya ialah Azmin.

Setiausaha Politik kepada Azmin, Hilman Idham menyangkal dakwaan tersebut. Dia menyatakan bahawa dia berada bersama Azmin sepanjang berada di Sandakan. Dia juga menegaskan Azmin tidak pernah berjumpa dengan lelaki bernama Haziq yang dikaitkan dengan video intim tersebut.

Ekoran itu, Haziq membuat laporan polis di balai polis Kelana Jaya dengan niat menyangkal tuduhan yang dilemparkan kepadanya. Pada 4 Jun 2019, Haziq ditahan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) kerana ingin berlepas ke Manila, Filipina.

Sumber Foto: Malaysia Gazette (https://twitter.com/MalaysiaGazette/status/1140876390343954432/photo/1)

TANPA SIDANG MEDIA

Azmin menangani isu video intim ini dengan sangat teliti. Beliau tidak tergesa-gesa membuat sidang media bagi menjelaskan keadaan. Ini kerana beliau memahami bahawa sidang media bukanlah satu-satunya jalan yang boleh menyelesaikan masalah.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan selepas menerima 17 laporan dan 21 kenyataan telah dirakam dalam siasatan ini. PDRM menggunakan kepakaran Jabatan Forensik bagi menyiasat ketulenan video seks ini.

Azmin tidak ‘melatah’ dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai video tersebut. Pun begitu, Azmin memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap siasatan penyebaran video yang hangat diperkatakan.

Pada 18 Jun 2019, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor mengesahkan pihaknya telah mengambil keterangan Azmin bagi membantu siasatan pihak polis berhubung kes ini. Dalam satu jawapan kepada media, Azmin menyatakan beliau tidak akan mendedahkan siapa datang di sebalik penyebaran video yang dikaitkan dengannya. Sebaliknya, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mendedahkan dalang yang terbabit.

Itulah satu-satunya kenyataan yang diterima daripada Azmin sebagai individu yang didakwa sebagai salah seorang lelaki dalam video intim tersebut. Ini menunjukkan beliau mengambil jalan untuk lebih banyak berdiam dan menyerahkan segalanya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan membuat kenyataan kepada pihak media massa.

Tindakan berdiam diri yang diambil oleh Azmin membuatkan orang lain yang bercakap bagi pihaknya. Misalnya, Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata wujud gerakan politik untuk menjatuhkan Azmin apabila dikaitkan dengan video intim itu.

SIASATAN DITERUSKAN

Dalam satu kenyataan menerusi program bual bicara di televisyen tempatan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengatakan video intim itu adalah tulen. Beliau juga menegaskan tiada campur tangan politik atau sebarang tekanan dalam siasatan berhubung video tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia (CSM), Datuk Amirudin Abdul Wahab mengesahkan pihaknya menerima rakaman video seks. Namun, pihak CyberSecurity tidak dapat memastikan 100 peratus pelaku dalam video berkenaan.

Kenyataan-kenyataan ini disambut baik oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila Azmin tidak dapat dikaitkan dengan pelaku dalam video tersebut.

PDRM menegaskan mereka memerlukan kepakaran pihak luar untuk menganalisis kandungan video intim. Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata keperluan itu seiring dengan arahan daripada Jabatan Peguam Negara supaya mendapatkan pandangan daripada dua pihak yang ada kepakaran dalam bidang terbabit.

Analisis siasatan forensik dilakukan oleh pakar dari Amerika Syarikat. Pada 6 Januari 2020, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Huzir Mohamed menjelaskan satu kenyataan bersama akan dibuat oleh PDRM dan Pejabat Peguam Negara.

HASIL SIASATAN

Pada Januari 2020, Jabatan Peguam Negara memaklumkan tidak akan membuat apa-apa pertuduhan pada mana-mana pihak berhubung video intim yang telah disiasat. Menurut Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, tiada pertuduhan yang boleh dibuat berhubung kes tersebut.

Keputusan itu dibuat susulan pakar forensik Amerika Syarikat gagal mengenal pasti individu dalam video berkenaan kerana resolusi rendah. Begitu juga dengan kualiti video dan rangka (frames) video yang sedikit untuk membolehkan suspek dilihat dengan jelas. Dengan keputusan ini, Thomas menegaskan siasatan boleh dibuka semula jika ada keterangan baru berhubung kes tersebut.

Berikutan itu, Azmin melalui laman Twitter (sekarang X) menulis “Segala puji bagi Allah kerana membolehkan kebenaran mengatasi kejahatan dan walaupun saya dibersihkan sepenuhnya, saya berdoa tiada lagi yang akan menghadapi politik keji seperti ini.”

KESIMPULAN

Berdasarkan peristiwa dan kronologi kes ini, dilihat bahawa Azmin langsung tidak menggunakan pendekatan sidang media untuk mengendalikan krisis yang dihadapi. Beliau memilih untuk berdiam dan menyerahkan segalanya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

Hanya selepas keputusan siasatan dijalankan barulah Azmin tampil dengan kenyataan itupun melalui media sosial sahaja. Akhirnya, masyarakat pun menerima keputusan dengan baik dan kes tersebut senyap tanpa ada sebarang bicara lagi.

Bagi individu yang mempunyai kredibiliti dalam politik, lazimnya mengambil pendekatan sebegini adalah lebih baik berbanding membuat sidang media. Walaupun objektif membuat sidang media dilihat untuk membersihkan nama, namun dalam banyak keadaan, sidang media semakin mengeruhkan keadaan.

Rujukan:
1) https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2019/06/25/haziq
2) https://www.astroawani.com/berita-malaysia/ini-rangkuman-kes-video-intim-yang-dikaitkan-dengan-seorang-menteri-kabinet-227610
3) https://www.sinarharian.com.my/article/65247/berita/nasional/video-intim-azmin-bersyukur-tiada-pendakwaan