Siaran akhbar adalah alat komunikasi yang digunakan oleh organisasi untuk menyebarkan maklumat penting kepada orang ramai. Dicipta dengan ketepatan, siaran akhbar berfungsi dengan dua tujuan. Pertama, untuk memaklumkan sesebuah perihal. Kedua, untuk melibatkan penontonnya tentang acara penting, pencapaian, pelancaran produk atau perubahan organisasi.
Seni menulis siaran akhbar terletak pada keupayaan penulis untuk menyampaikan fakta secara ringkas tetapi menarik. Paling utama adalah untuk memastikan maklumat itu menangkap minat wartawan, pihak berkepentingan dan khalayak yang lebih luas. Dokumen strategik ini ditulis mengikut format berstruktur. Ini termasuk tajuk yang menarik, pengenalan ringkas yang padat, perenggan isi terperinci yang menambah kefahaman dan maklumat latar belakang tentang organisasi yang mengeluarkan kenyataan.
Dalam era digital, kepentingan siaran akhbar telah berkembang. Bukan sahaja khusus untuk media tradisional tetapi juga meningkatkan kredibiliti organisasi melalui platform dalam talian terutamanya melalui enjin carian seperti Google dan platform media sosial. Siaran akhbar yang berkesan boleh memberi kesan yang ketara kepada perhubungan awam, kedudukan pasaran dan persepsi jenama sesebuah organisasi sekali gus menjadikannya penting dalam strategi komunikasi korporat.
Dengan mencapai keseimbangan antara kandungan bermaklumat dan kandungan promosi, siaran akhbar boleh memikat perhatian, mempengaruhi pendapat umum, memupuk imej dan menjadi wadah dialog positif antara organisasi dengan penontonnya.
Tujuan utama menulis siaran akhbar adalah untuk menyampaikan maklumat bernilai berita daripada organisasi kepada media dan orang awam yang lebih luas. Alat komunikasi strategik ini penting untuk mengumumkan acara utama seperti pelancaran produk, pencapaian syarikat, perkongsian atau tindak balas terhadap krisis dengan cara yang berwibawa.
APA BIG WHY ANDA MENYEDIAKAN SIARAN AKHBAR?
Mengurus Khalayak
Anda perlu menyediakan siaran akhbar jika anda ingin mempengaruhi khalayak, mengurus imej awam dan mengurus persepsi jenama organisasi. Dengan menyediakan siaran akhbar, naratif yang disebarkan adalah tepat faktanya, disiarkan tepat pada masanya dan menjadi cerminan sebenar mesej sesebuah organisasi.
Jika dulu siaran akhbar hanya untuk media tradisional, kini siaran akhbar juga diperlukan untuk siaran di platform digital. Justeru siaran akhbar pada hari ini menjangkau khalayak yang lebih luas berbanding sebelum ini.
Kredibiliti Syarikat
Anda perlu menyediakan siaran akhbar jika anda ingin membina dan mengekalkan kepercayaan dengan pihak berkepentingan. Siaran akhbar direka khas untuk syarikat anda menyampaikan perkembangan penting secara berkesan, membentuk persepsi awam dan memupuk dialog positif antara organisasi dan khalayak mereka yang pelbagai.
Siaran akhbar ditulis sesuai dengan situasi organisasi anda. Situasi ini terbahagi kepada beberapa perkara iaitu:
1. PELANCARAN PRODUK
Anda ingin menguar-uarkan produk atau perkhidmatan terbaharu anda? Gunakanlah siaran akhbar untuk mencapai matlamat anda dalam misi memperkenalkan produk atau perkhidmatan baharu.
2. PENCAPAIAN SYARIKAT
Jangan pendam pencapaian syarikat anda. Uar-uarkannya kepada khalayak melalui siaran akhbar. Biar seramai mungkin khalayak tahu mengenai kejayaan syarikat anda.
3. PERKONGSIAN DAN KERJASAMA
Perkongsian dan kerjasama adalah bukti organisasi anda mendapat perhatian orang lain. Umumkan perkongsian dan kerjasama organisasi anda di media untuk meningkatkan kredibiliti.
4. ANUGERAH DAN PENGIKTIRAFAN
Kongsikan detik anda mendapat anugerah atau sebarang pengiktirafan supaya anda mampu menyerlahkan kewujudan organisasi anda pada mata khalayak.
5. PELANTIKAN BAHARU
Pelantikan baharu dalam organisasi adalah penting untuk diuar-uarkan kepada khalayak kerana dapat menonjolkan hala tuju strategik dalam pasukan kepimpinan.
6. TANGGUNGJAWAB KORPORAT
Sebarang program khidmat masyarakat (CSR) perlu disampaikan dalam media kerana hal ini boleh menjadikan lebih ramai khalayak mendapat suntikan aura positif. Sikap saling membantu dapat menyebarkan emosi empati dan simpati kepada golongan yang memerlukan.
7. TINDAK BALAS KRISIS
Jika terdapat krisis dalam organisasi, membuat siaran media adalah salah satu cara untuk menjernihkan keadaan. Akhbar boleh menyampaikan mesej anda dengan betul dan berkesan.
Pun begitu, untuk mendapatkan siaran media yang berkesan, struktur perlu jelas supaya jelas mesej yang hendak disampaikan. Berikut adalah cara untuk membuat penulisan siaran media secara berstruktur.
STRUKTUR PENULISAN SIARAN MEDIA
1. TAJUK YANG TEPAT
Tajuk siaran media perlu tepat dengan isu yang hendak diangkat. Tajuk perlu ditulis secara ringkas dan mudah difahami.
2. PERENGGAN PERTAMA
Perenggan pertama perlu ditulis sekuat mungkin. Jawab semua soalan siapa, apa, bila, di mana, mengapa dan bagaimana dalam perenggan pertama.
3. PERENGGAN ISI
Fungsi perenggan isi adalah untuk perincian. Di sini, anda memerlukan maklumat lebih banyak untuk menghuraikan mesej yang hendak disampaikan. Hal ini termasuk latar belakang, petikan kata-kata daripada pihak berkepentingan dan sebarang maklumat lain yang penting.
4. PENERANGAN ORGANISASI
Siaran media diakhiri dengan penerangan standard mengenai syarikat anda. Ini termasuklah misi dan sejarah syarikat dan maklumat individu yang boleh dihubungi untuk sebarang perkara berbangkit. Hal ini memudahkan wartawan dan pihak berkepentingan untuk berurusan dengan anda bagi hal paparan di akhbar.
Kesimpulannya, siaran akhbar adalah satu hal yang amat penting untuk difahami oleh individu dalam bahagian promosi dan pemasaran syarikat. Ini kerana memahami keperluan media massa, maka anda lebih mudah untuk menghasilkan siaran media yang berkesan.
Selain itu, anda juga boleh hubungi pihak Modachi untuk menghasilkan siaran media bagi pihak organisasi anda. Kami sedia bekerjasama dengan anda.