Seorang pemimpin bukan hanya perlu tahu memberi arahan kepada pekerja di bawah seliaannya. Kepimpinan adalah peranan yang kompleks dan memerlukan lebih daripada itu. Pemimpin bertanggungjawab membimbing, memberi inspirasi dan membentuk team ke arah kejayaan.
Kepemimpinan bukan sekadar gelaran atau jawatan namun suatu seni yang memerlukan keterampilan tertentu. Sebagai contoh, ketika keadaan lautan bergelora, seorang nakhoda yang mahir mengendalikan pelayaran dan mampu memimpin dengan baik, pasti boleh membawa seisi kapal ke pelabuhan dengan selamat berbanding nakhoda yang tiada nilai-nilai kepemimpinan.
Modachi meneliti tiga kemahiran utama seorang pemimpin yang dianggap sebagai landasan utama kejayaan. Tiga kemahiran utama ini penting demi seorang pemimpin menguasai keseluruhan team. Secara tidak langsung, team akan lebih hormat, diri pemimpin itu menjadi inspirasi dan team lebih mempercayai ketuanya.
1. Komunikasi Berkesan
Salah satu kemahiran paling penting yang harus diamalkan oleh seorang pemimpin adalah komunikasi. Komunikasi yang tidak berkesan mempunyai banyak kelemahan. Antaranya adalah mengelirukan orang bawahan. Ini kerana tiada arahan yang jelas daripada pihak atasan untuk diikuti oleh orang bawahan.
Team memerlukan arahan yang jelas dan komunikasi terbuka untuk bekerja dengan baik bersama. Pemimpin harus menjadi pendengar yang baik, memahami pemikiran dan jelas dengan idea team. Komunikasi yang efektif mencipta persekitaran positif dan sokongan apabila setiap orang berasa didengari serta dihargai.
Pemimpin boleh melatih kemahiran ini dengan mengatur mesyuarat ringkas secara berkala bersama pasukannya. Semasa mesyuarat, pemimpin boleh menggalakkan ahli pasukan untuk berkongsi idea dan juga menjelaskan mengenai kebimbangan mereka.
Gunakan bahasa yang mudah dan jelas demi memastikan setiap orang memahami mesej. Seorang pemimpin yang baik berkomunikasi bukan hanya dengan kata-kata tetapi juga melalui tindakan, memberikan contoh untuk pasukan mengikutinya.
2. Membina Kepercayaan Dengan Membuat Keputusan Bersama-sama
Satu lagi kemahiran yang perlu dimiliki oleh seorang pemimpin adalah kemahiran membuat keputusan. Pemimpin yang masih lagi lemah dalam membuat keputusan adalah pemimpin yang tidak tetap pendirian. Pun begitu, sebelum membuat keputusan, pemimpin perlu bidak menimbang tara sesebuah isu.
Kemahiran membuat keputusan adalah kemahiran kepimpinan yang penting dan membina kepercayaan dalam kalangan ahli pasukan. Pemimpin perlu bijak menganalisis kesan selepas satu keputusan dibuat. Pertimbangan dibuat dalam pelbagai perspektif dan pilihan yang dibuat perlu memberi faedah kepada keseluruhan pasukan. Cabaran kepada pemimpin adalah membuat keputusan tepat pada masanya, mungkin dalam situasi yang sukar tetapi perlu menunjukkan keyakinan dan kecekapan.
Kemahiran membuat keputusan boleh dipupuk secara beransur-ansur. Mulakan dengan membuat keputusan yang kecil dan kemudian ambil cabaran untuk membuat keputusan yang lebih besar. Pemimpin boleh dapatkan pandangan daripada team untuk menghasilkan keputusan yang lebih baik kerana pelbagai pandangan boleh dinilai. Dengan menjadi telus mengenai proses pembuatan keputusan, pemimpin membina kepercayaan dan rasa hormat dalam kalangan pasukan.
3. Visi & Misi Seorang Pemimpin
Pemimpin yang hebat mempunyai misi dan visi tersendiri. Menariknya, pemimpin hebat mampu menjadikan team juga turut sama nampak jelas akan misi dan visi ini. Hal ini memudahkan untuk satu kumpulan melihat matlamat serupa dan mencapai matlamat tersebut bersama-sama.
Di sini dapat dilihat betapa pentingnya kemahiran sebagai seorang ketua. Seorang ketua boleh menyumbang kepada kejayaan sebuah pasukan. Malah boleh juga menjadi punca pasukan itu kecundang.
Kesimpulannya, setiap pemimpin harus mengamalkan tiga kemahiran utama ini iaitu komunikasi berkesan, bijak membuat keputusan dan berwawasan dalam memimpin. Ketiga-tiga kemahiran ini dapat membangunan ciri-ciri pemimpin berkaliber dalam diri anda.
Dengan menggabungkan ketiga-tiga kemahiran ini, seorang pemimpin dapat membimbing pasukannya melalui cabaran dan memastikan kejayaan yang berkekalan. Oleh itu, adalah penting untuk diingat bahawa kepemimpinan adalah bukan hanya tentang individu tetapi juga tentang membina dan menggerakkan pasukan ke arah visi bersama untuk mencapai kejayaan yang bersepadu.