Jualan RM1.2 Juta Dalam Masa 3 Minit. Mungkin Ini 7 Strategi Yang Diguna Pakai Oleh Khairul Aming

Jejaka dari Kelantan berjaya membuat jualan RM1.2 juta dalam masa tiga minit di TikTok sehingga menyebabkan sistem media sosial tersebut mengalami sedikit gangguan kerana terlalu banyak transaksi pembelian dijalankan? Hebatnya!

Siapa tidak kenal dengan figura hebat yang terkenal dengan ayat ‘Hi, whats up guys?’ di permulaan video-video masakannya. Nama Khairul Aming tidak perlu diperkenalkan lagi kerana berjaya menambat hati ramai golongan dengan video masakan yang amat menarik.

Situasi membuat jualan tujuh angka dalam masa tiga minit sememangnya amat WOW! Maka ramailah yang cuba mengorek apakah strategi yang dijalankan sehingga Khairul Aming pecah rekod jualan tertinggi di TikTok. Tiada perkataan lain yang mampu menterjemahkan situasi ini selain amazing.

Modachi sebagai syarikat konsultasi pemasaran juga tidak ketinggalan untuk cuba meneroka apakah strategi utama yang digunakan oleh Khairul Aming sehingga berjaya membuatkan pembeli bertindak berebut membeli produk yang baru kali pertama dijual.

Jika melihat kepada produk yang dijual, adalah daging dendeng. Daging dendeng adalah satu jenis masakan yang telah banyak dijual di pasaran. Namun, mengapa apabila Khairul Aming menjual produk ini, berebut-rebut orang membeli?

Jom kita lihat strategi utama kaedah pemasaran yang berkemungkinan besar dijalankan oleh Khairul Aming.

1) GUNA PLATFORM YANG MUDAH

TikTok diakui ramai sebagai satu platform beli-belah online yang amat mudah. TikTok bukan platform e-dagang. TikTok adalah media sosial. Media sosial adalah tempat lepak orang ramai. Apabila Khairul Aming menjual di tempat lepak, maka lebih ramai orang akan membuat pembelian.

2) HARGA PROMOSI YANG MENARIK

Dengan jualan berharga RM14.99 setiap pek, orang melihat harga ini amat kompetitif. Dengan harga ini, Khairul Aming berjaya menjual sebanyak 80,000 pek daging dendeng dalam masa tiga minit.  

3) MANFAATKAN MEDIA SOSIAL

Khairul Aming menggunakan media sosial dengan sebaik-baiknya. Beliau memuat naik video yang bukan sekadar ada namun videonya penuh dengan informasi yang diterangkan secara menarik mengenai daging dendeng.

Video yang sangat signifikan dimuat naik secara tersusun pada waktu terbaik. Sehingga satu jam sebelum tampil dalam LIVE menjual pun, Khairul Aming masih membuat video supaya pembeli bersedia untuk membeli sebaik sahaja pautan pembelian diaktifkan.

4) WUJUDKAN RASA TERDESAK DAN KEKURANGAN

Khairul Aming tidak mendesak. Namun penonton yang menonton video-video beliau yang sendiri terasa bahawa menjadi satu kekurangan apabila mereka tidak mendapatkan daging dendeng yang dijual pada hari dan waktu yang telah ditetapkan.

Pengalaman jualan sold out produk sambalnya sebelum ini bagaikan menjadi pengajaran kepada pembeli. Justeru, mereka rasa terdesak untuk membeli supaya tidak kecewa apabila tidak dapat membeli daging dendeng yang baru dilancarkan. Hal ini membuatkan pembeli rasa dirinya eksklusif apabila berjaya membuat transaksi pembelian pada waktu Khairul Aming membuat LIVE.

5) BERMAIN DENGAN EMOSI

Khairul Aming membawa dirinya dengan baik di media sosial. Dilihat sebagai anak muda yang penuh dengan inspirasi. Dia berpelajaran tinggi, berbudi bahasa, bijak berniaga, merendah hati dengan memandu kenderaan harga biasa-biasa dan pandai pula memasak. Inilah ciri-ciri seorang lelaki yang mungkin sukar untuk dicari pada zaman ini.

Hal seperti ini cukup kuat untuk menambat hati pembeli yang kebarangkaliannya terdiri daripada golongan wanita. Tautan emosi seperti inilah yang sukar untuk dicari dalam ramai wujudnya penjual online. Khairul Aming berjaya mengikat emosi pembeli melalui ciri-ciri seperti yang disebutkan di atas.

6) TINGKATKAN KREDIBILITI MELALUI BUKTI

Tidak usah dipertikaikan kredibiliti Khairul Aming sebagai pempengaruh. Bukti-bukti telah terlalu banyak. Salah satunya adalah cubaan meniru produk Sambal Nyet Berapi yang bukannya sekali dua namun berkali-kali.

Cubaan meniru produk sambal beliau bukannya semakin menjatuhkan Khairul Aming, sebaliknya menaikkan kredibiliti beliau. Hal ini menjadi bukti bahawa beliau ialah pempengaruh tersohor yang merendah diri namun amat hebat pada levelnya yang tersendiri.

7) BUKA LEBIH BANYAK PASARAN

Kehebatan Khairul Aming juga boleh dilihat melalui kebijaksanaan beliau mencipta lebih banyak pasaran. Beliau telah ada produk sambal. Kenapa produk kedua yang dihasilkan bukannya satu lagi sambal?

Di sinilah kebijaksanaan beliau semakin terserlah apabila beliau tidak mahu produk baru yang dihasilkan menjadi pesaing kepada produk Sambal Nyet yang sedia ada. Sebab itulah beliau hasilkan produk daging dendeng supaya produk baru ini menjadi pelengkap kepada sambal beliau. Secara tidak langsung pembeli akan beli sambal dan beli sekali daging dendeng. Kedua-dua produk ini saling melengkapi.

Kesimpulannya, kejayaan Khairul Aming pada hari ini bukanlah diraih dalam masa sebulan dua. Ianya memerlukan satu proses perjalanan yang amat jauh dan ketekunan yang tinggi. Beliau bukannya tidak pernah jatuh dalam perniagaan. Perniagaan beliau sebelum ini pernah gagal. Namun bagaimana beliau bangkit daripada kegagalan, itulah yang lebih utama. Kami di Modachi mengucapkan tahniah kepada Khairul Aming.