Bermula Jual Mancis, Jenama IKEA Kini Miliki 462 Kedai Gergasi

Gergasi perabot yang sinonim dengan rona biru kuning, IKEA bukanlah dibangunkan dalam masa tujuh hari. Pengasasnya, Ingvar Kamprad pernah diboikot para penjual perabot di negaranya sendiri gara-gara menjual produk yang bukan sahaja cantik tetapi tidak masuk akal, murah!

Ingvar bukanlah lahir dalam istana mahupun anak hartawan terkenal, sebaliknya warga Sweden itu bermula hanya dengan menjual mancis. Bezanya, Ingvar menjual mancis secara konsisten kepada jiran tetangganya dan kemudian menjual pen, pemetik api dan barang-barang yang harganya murah. Dia kemudian perlahan-lahan beralih kepada perabot murah pada 1948. Itupun secara panggilan telefon dan katalog tahunan. Kedai konsep pertama dibuka pada 1953 bagi membolehkan pelanggan melihat dan menguji sendiri perabot IKEA. Ingvar hanya membuka pusat jualan runcit IKEA pada 1958.

Gudang IKEA.

Membuka pusat jualan itu tidak semudah yang disangka kerana Ingvar diboikot bukan sahaja pemilik perniagaan perabot di negaranya sehingga pengilang terpaksa akur dengan desakan untuk menghentikan urus niaga dengan IKEA. Ingvar tidak dibenarkan menyertai mana-mana ekspo perabot gara-gara harga perabotnya terlalu murah!

Berjiwa besar, Ingvar menongkah arus dengan mereka sendiri perabot manakala pengilang di Poland membantu menjadi rakan pengeluar. IKEA kekal dengan konsep kotak rata, ambil sendiri, bawa sendiri dan pasang sendiri. Itu menjadi asas kepada konsep IKEA.

Konsep pasang sendiri di rumah memang menjadi identiti IKEA.

Pun begitu, IKEA tetap ada masalah kerana untuk meletakkan kotak-kotak perabot itu memerlukan mereka memiliki kemudahan stor mega manakala di Sweden, cukai korporat dan harga tanah sangat mahal di dalam bandar. Untuk itu, Ingvar membina gudang mega rona biru di luar bandar kerana kos tanah dan cukai murah, tetapi kebanyakan pelanggannya berada di pusat bandar. Bagi menjadikan perjalanan ‘balik kampung’ itu berbaloi, Ingvar kemudian menyuntik elemen kedai makan yang menyajikan bebola daging dan tempat penjagaan kanak-kanak percuma bagi membuatkan si comel leka semasa ibu bapa memilih perabot.

Bebola daging yang sangat popular di IKEA.

Ingvar juga menginspirasikan konsep meletakkan barang murah dalam lautan perabot yang hanya boleh ditempuh sekali. Anda akan mengutip apa sahaja produk bernilai rendah harga murah ke dalam beg kuning. Untuk rekod, IKEA kini mengendalikan 462 gudang gergasi di 59 negara yang meliputi tiga benua.

Berikut ialah 10 fakta yang setiap usahawan perlu tahu mengenai Ingvar dan IKEA

Pilih sendiri, ambil sendiri. Begitulah cara pembelian produk di IKEA.
  1. Pengasas dan Strategi Awal: Ingvar mula menjadi jurujual mancis apa pada usia lima tahun. Falsafah Ingvar menjual barangan pada harga rendah dan terus kekal sebagai budaya IKEA.
  2. Model Perniagaan dan Pengembangan: IKEA pada mulanya memasuki perniagaan pesanan mel (pos), IKEA mengganggu pasaran perabot tradisional dengan menawarkan perabot berkualiti pada harga yang lebih rendah, menyasarkan petani dan kelas pekerja.
  3. Cabaran dan Inovasi: Berhadapan dengan boikot daripada pengeluar perabot lain, Ingvar memperoleh perabot siap yang lebih murah dari Poland, mewujudkan kelebihan daya saing yang ketara. Inovasi seperti perabot pek rata, kedai besar luar bandar, restoran dan pusat jagaan kanak-kanak.
  4. Struktur Organisasi dan Budaya Sweden: IKEA mempunyai struktur organisasi yang unik dengan asas yang berpangkalan di Belanda, memisahkan peranan francaisor dan pemegang hak francais. Budaya Sweden mengamalkan jimat cermat dan kesederhanaan beransur-ansur diterap ke dalam identiti jenamanya.
  5. Tujuan Korporat: Ingvar menyediakan satu dokumen pada 1976 yang sehingga kini masih menjadi bacaan penting untuk pekerja IKEA. Dokumen itu menggariskan rangkaian produk, pelanggan sasaran dan dasar penetapan harga IKEA, dokumen itu mewakili pernyataan tujuan korporat yang kukuh.
  6. Peluasan Global dan Cabaran Pasaran: Apabila IKEA berkembang secara global, cabaran termasuk menyesuaikan diri dengan cita rasa tempatan, perubahan rantaian bekalan dan mengekalkan harga yang rendah. Pasaran baharu seperti China dan India memerlukan pelarasan dalam reka bentuk dan bahan produk kerana geografi berbeza memiliki budaya dan iklim berbeza.
  7. Tindak Balas Strategik untuk Mengubah Landskap Runcit: Strategi IKEA memfokuskan kepada kemampuan untuk pasaran ‘dompet nipis’, kebolehcapaian (termasuk e-dagang) dan kemampanan. Usaha ini bertujuan untuk memenuhi permintaan pelanggan untuk kemudahan, kedekatan, penghantaran dan perkhidmatan pemasangan.
  8. Peralihan Kepimpinan dan Hala Tuju Masa Depan: Dengan perubahan kepimpinan, IKEA menghadapi dua cabaran untuk kekal setia kepada misi asalnya sambil menyesuaikan diri dengan perkembangan pesat global dan pilihan pengguna yang berubah.
  9. Mengimbangi Keperluan Globalisasi dalam pasaran tempatan: Pendekatan IKEA untuk mengekalkan identiti jenama yang konsisten di peringkat global sambil mengambil kira perbezaan cita rasa tempatan dan bahan asas perabot.
  10. Lestari: Kajian kes IKEA membawa semua pihak untuk memikirkan semula bahawa idea perniagaan tradisional yang selalu menekankan pertumbuhan dan pengembangan berterusan mungkin kurang relevan. Seperti IKEA, beradaptasi dan berkembang sambil memastikan nilai unik mereka kekal. Dalam konsep kelestarian, apa yang menjadi keutamaan adalah daya tahan berbanding pengembangan yang tidak terkawal.

Kesimpulannya, usahawan tempatan perlu bijak menggunakan strategi perniagaan seperti di IKEA. Bermula kecil, lalui proses yang sepatutnya dan bijak menggunakan strategi untuk menambat hati pelanggan. Kejayaan sememangnya memerlukan proses.