Buang Harga, Kaedah Pemasaran Bawa Malapetaka?

Ramai beranggapan menurunkan harga produk atau perkhidmatan boleh menjadi kaedah pemasaran terbaik dan menjana jualan tinggi. Ini kerana orang ramai dikatakan berlumba-lumba membeli disebabkan boleh mendapatkan produk atau perkhidmatan pada harga rendah.

Sebenarnya, strategi menurunkan harga atau juga dipanggil sebagai buang harga bukanlah kaedah pemasaran terbaik untuk semua situasi perniagaan. Ya, mungkin harga murah boleh menarik pelanggan dalam jangka masa pendek namun kesan buruknya boleh jadi berpanjangan.

Situasi buang harga adalah apabila syarikat menurunkan harga produk perkhidmatan di bawah kos pengeluaran untuk mendapatkan jualan secepatnya. Orang ramai teruja melihat harga cukup murah untuk membeli. Namun pada jangka masa panjang, pelanggan mulai melihat produk anda sebenarnya boleh dibeli dengan harga murah sahaja. Nilai produk anda telah menurun!

Mengikut strategi pemasaran terbaik, buang harga adalah kaedah pemasaran paling terakhir patut dipilih. Ini kerana ada banyak lagi strategi pemasaran yang boleh digunakan secara berkesan untuk mendapatkan jualan sekali gus menjana keuntungan.

 Jadi, bilakah waktu terbaik untuk menurunkan harga produk atau perkhidmatan anda?

BILA NAK BUANG HARGA?

Diskaun memang menarik perhatian pelanggan.

1) UNTUK BERDAYA SAING

Apabila anda mempunyai pesaing yang sangat sengit dalam pasaran, anda perlu menawarkan harga yang kompetitif. Ini adalah supaya anda boleh terus berdaya saing untuk berada dalam pasaran.

2) MELAJUKAN JUALAN

Strategi menurunkan harga boleh dibuat apabila ada satu-satu produk yang anda baru lancarkan namun kurang mendapat sambutan. Membuat penurunan harga boleh jadi cara berkesan untuk meningkatkan permintaan dan promosi yang menarik.

3) KOSONGKAN STOR

Untuk membuat potongan harga, banyak hal anda perlu fikirkan sebelum melaksanakannya.

Apabila produk terdahulu masih terlalu banyak dan anda pula perlukan ruang untuk produk yang bakal dilancarkan, justeru menurunkan harga bagi koleksi produk terdahulu wajar dilakukan. Hal ini membolehkan anda meningkatkan jualan daripada produk terdahulu dan mengosongkan inventori lama sekali gus memberi ruang untuk produk terkini.

4) IKUT MUSIM

Musim bermaksud waktu tibanya perayaan tertentu misalnya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali atau Krismas. Justeru, boleh turunkan harga bagi koleksi terdahulu dan jual pada harga biasa bagi koleksi terkini. Hal ini memberikan pilihan bagi pelanggan sama ada untuk membeli dengan murah namun ianya produk terdahulu atau membeli pada harga biasa untuk produk koleksi terbaru.

Kesimpulannya, sebagai empunya bisnes, anda perlu faham bahawa faktor harga bukanlah satu-satunya faktor yang dipertimbangkan oleh pelanggan ketika buat keputusan untuk membeli. Pelanggan turut mengambil kira faktor kualiti produk, jenama dan juga lokasi untuk mendapatkan produk itu. Elakkan membuang harga tanpa sebab dan tanpa penelitian terperinci kerana boleh bawa malapetaka kepada penjenamaan anda dalam jangka masa panjang.