Eksekutif Wanita dan Bos Lelaki, Jarakkan Hubungan Elak Skandal

Menjadi seorang eksekutif wanita, kita sudah pastinya berkhidmat di bawah seorang ketua. Boleh jadi ketua itu wanita juga dan boleh jadi ketua kita itu seorang lelaki. Justeru, bagaimana jika ketua kita itu lelaki? Hubungan sepatutnya berlaku antara ketua dengan orang bawahannya perlu bagaimana?

Telah menjadi lumrah pada hari ini wanita turut bekerja demi menyara hidup diri sendiri dan keluarga. Apabila wanita berpendidikan tinggi, wanita juga ingin menjawat jawatan tinggi dan membina kerjaya yang boleh memberikan pendapatan lumayan. 

Atas dasar itu, seorang wanita dan lelaki perlu tahu batasan dalam hubungan sesama rakan sekerja. Tidak wajar untuk seorang profesional wanita terlibat dalam hubungan romantis apatah lagi seksual dengan ketua kerana boleh mewujudkan konflik kepentingan dan menjejaskan integriti hubungan profesional. Hubungan terlarang atau skandal perlu dielakkan untuk mengekalkan hubungan profesional.

BINA SEMPADAN

Jangan suka berkongsi cerita peribadi dengan rakan pejabat berlainan jantina.

Secara mudahnya, seorang eksekutif wanita perlu membina tembok apabila berhubungan dengan bos lelaki apatah lagi jika bos itu sudah berkeluarga. Tembok ini amat berguna untuk menetapkan sempadan yang jelas sekali gus mengelakkan sebarang tingkah laku yang boleh disalah anggap sebagai menggoda atau tidak sesuai. 

Faktor sempadan ini misalnya tidak keluar makan berdua-duaan, tidak saling bermesej di telefon mengenai kehidupan peribadi, tidak bergambar berdua (selfie) dan juga tidak saling berkongsi masalah.

Sebagai eksekutif yang mementingkan kerjaya, anda sepatutnya bijak mengelakkan skandal di pejabat supaya tidak mengganggu keharmonian pekerjaan anda.

MESYUARAT DI LOKASI FORMAL

Selepas selesai mesyuarat di luar pejabat dengan klien, terus balik ke pejabat. Elak santai bersama-sama.

Pemilihan lokasi mesyuarat juga perlulah formal misalnya ramai orang awam seperti kedai kopi, restoran atau ruang pejabat. Ini boleh membantu memastikan kedua-dua pihak berasa selesa dan selamat. Hal ini boleh mengelakkan sebarang salah faham.

Tidak dinafikan, ada kala seorang eksekutif wanita perlu bermesyuarat di luar pejabat bersama bos dan klien. Anda perlu elakkan naik kereta berdua-duaan dengan bos lelaki anda. Selepas selesai mesyuarat dengan klien, usah terus duduk di lokasi mesyuarat dengan bos anda. Terus balik ke pejabat. 

Penting untuk anda mengekalkan sikap profesional dan fokus pada perniagaan yang sedang dijalankan. Kedua-dua pihak harus berkelakuan dengan hormat dan berbudi bahasa serta mengelakkan sebarang tingkah laku atau bahasa yang boleh ditafsirkan sebagai tidak sesuai.

Elakkan skandal di pejabat kerana hal ini membawa banyak keburukan. Status ketua jika bujang sekalipun, hubungan perlulah berlandaskan tatasusila. Jika bos itu suami orang, elakkanlah berskandal kerana boleh menyebabkan ada hati yang terluka. 

Kesimpulannya, sebagai eksekutif wanita, anda perlu bijak membezakan antara hubungan profesional dan hubungan peribadi. Walaupun hati mudah terpesona dengan karisma seorang bos lelaki, elakkan terlalu rapat sehingga boleh mengubah hubungan profesional itu kepada hubungan peribadi. Jika sama-sama bujang, halalkan hubungan itu. Jika salah seorang sudah berumahtangga, jangan cari nahas dengan mewujudkan skandal di pejabat.