Beza Antara Pemasaran & Jualan, Ini Orang Bisnes Kena Tahu

Dalam perjalanan sebuah bisnes, ada dua elemen yang perlu kita ambil berat iaitu pemasaran (marketing) dan jualan (sales). Kedua-dua elemen ini perlu berjalan seiring kerana mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Pemasaran dan jualan kelihatan seperti sama. Namun sebenarnya kedua-dua aktiviti ini mempunyai objektif berbeza. Jom kita lihat apa beza antara dua elemen tersebut.

PEMASARAN

Menganalisis data pelanggan adalah salah satu tugas di unit pemasaran.

Pemasaran membawa maksud segala aktiviti yang dirancang untuk mempromosikan produk atau perkhidmatan. Ini termasuk hal-ehwal penyelidikan pasaran, pengiklanan dan promosi. 

Individu yang terlibat dalam kerja-kerja pemasaran fokus kepada objektif dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Mereka mahu meningkatkan kesedaran orang ramai, mencetuskan rasa ingin tahu dan minat kepada produk atau perkhidmatan serta membuka ruang supaya lebih ramai individu yang bercakap mengenai jenama yang diwakili.

Atas sebab inilah, orang pemasaran selalunya gigih dengan proses yang membuatkan satu-satu jenama itu mudah dikenali. Misalnya merangka promosi yang menarik, melibatkan potongan harga dan juga menjaga hubungan baik dengan pelanggan sedia ada serta mencari pelanggan baru.

Antara aktiviti pemasaran adalah:

1) Mengumpul data dan kemudian membuat analisis data tersebut mengenai pasaran, pengguna, pesaing dan trend terkini untuk menjalankan strategi pemasaran yang lebih terkehadapan.

2) Memastikan produk atau perkhidmatan menepati keperluan dan kehendak pelanggan. Perkara paling utama adalah memastikan produk atau perkhidmatan itu berbeza daripada produk atau perkhidmatan pesaing.

3) Menyampaikan mesej promosi melalui media seperti televisyen, radio, internet dan media cetak.

4) Menyusun, merancang dan menjalankan pelan pemasaran yang membantu menaikkan identiti jenama yang diwakili.

JUALAN

Orang unit jualan adalah orang terakhir yang berurusan dengan pelanggan.

Selepas memahami mengenai pemasaran, kali ini anda perlu memahami pula apa itu jualan (sales). Jualan adalah satu aktiviti yang memenuhi keperluan unit pemasaran. Maksudnya, apabila unit pemasaran sudah menyediakan segala maklumat mengenai data dan informasi pelanggan, unit jualan perlu bersedia untuk menyaksikan kemasukan jumlah jualan.

Unit jualan perlu bersedia dengan kaedah jualan yang memudahkan pelanggan membuat pembelian. Individu di unit jualan perlu lebih dekat dengan pelanggan kerana mereka ini berurusan secara terus (direct) dengan pelanggan

Antara aktiviti jualan adalah:

1) Menganalisis keperluan dan kehendak pelanggan supaya betul-betul faham produk atau perkhidmatan yang pelanggan perlukan.

2) Unit jualan perlu bijak mencari peluang untuk menjual. Pastikan masa paling strategik untuk menjual misalnya pada hari raya, awal tahun atau hujung tahun.

3) Membuat panggilan telefon kepada prospek, berjumpa secara terus dengan bakal pelanggan atau menghantar e-mel kepada prospek.

4) Membuat majlis kecil misalnya product presentation untuk menerangkan ciri-ciri produk atau perkhidmatan kepada prospek.

5) Unit jualan perlu pakar close deal dengan pelanggan. Anda perlu tahu nilai produk atau perkhidmatan anda dan menjual dengan harga terbaik kepada pelanggan. Anda perlu tahu berunding.

6) Anda juga perlu menjaga hubungan baik dengan pelanggan sedia ada. Perlu ada after sales service yang menjadikan pelanggan itu sebagai pelanggan setia.

Kesimpulannya, aktiviti pemasaran dan jualan mempunyai hubung kait yang sangat dekat. Justeru, anda perlu benar-benar faham mengenai keperluan dan objektif kedua-dua aktiviti tersebut.