5 Sebab Kegagalan Influencer Marketing

Pada hari ini, ramai pencipta kandungan (content creator) muncul di media sosial. Kehadiran mereka memeriahkan suasana media sosial dengan kandungan-kandungan tertentu mengikut niche masing-masing.

Pencipta kandungan yang terkenal boleh dipanggil sebagai pempengaruh atau influencer. Mereka ini mempunyai jumlah pengikut yang ramai dan dapat mencuit hati dengan kandungan yang seronok untuk ditonton.

Antara pempengaruh yang sedang meningkat naik misalnya Ryan Bakery. Beliau membuat kandungan berbentuk situasi yang mengimbau kenangan zaman kanak-kanak era 80-an dan 90-an.

Kejayaan Ryan Bakery adalah beliau menang kategori Content Creator Tergempak pada malam Anugerah Gempak Most Wanted 2022. Terkini beliau bekerjasama dengan Petronas untuk kempen yang sedang berlangsung. Boleh dilihat wajah influencer ini mewarnai media sosial Petronas Brand.

Pun begitu, bukan semua kempen yang membabitkan influencer, berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan. Hal ini boleh dilihat melalui beberapa faktor yang menyumbang kepada kegagalan. Antaranya:

1) NAMPAK KURANG SESUAI

Seseorang influencer itu bukannya sesuai dengan semua jenama. Justeru kelihatan influencer itu kurang ikhlas mempromosikan jenama yang diwakilinya. Penonton atau khalayak yang melihat boleh merasakan hal tersebut. Senang cakap, netizen hari ini semakin bijak! Hal seperti ini boleh menyebabkan khalayak hilang kepercayaan terhadap kempen yang dijalankan. Syarikat buang duit dengan membayar influencer yang kurang sesuai mewakili jenamanya.

2) IMEJ DAN JENAMA TIDAK SELARI

Pilih influencer yang sesuai dengan jenama anda.

Pemilik perniagaan perlu serius dengan hal yang dinamakan sebagai imej syarikat. Pemilihan influencer perlu seorang yang boleh menjaga imej jenama pada hari ini dan juga pada masa akan datang. Influencer sudah semestinya seorang yang terkenal namun adakah dia terkenal dengan imej yang baik? Faktor terkenal sahaja tidak menjamin khalayak bertambah suka dengan jenama perniagaan anda.

3) MENGABAIKAN PELAN PEMASARAN LAIN

Apabila anda membayar seorang influencer, jangan hanya bergantung kepada kempen tersebut semata-mata. Anda perlu juga peka dengan strategi pemasaran lain misalnya kandungan-kandungan di media sosial yang turut melibatkan kekuatan search engine optimization (SEO). Terlalu bergantung kepada influencer boleh menyebabkan tekanan kepada influencer tersebut dan anda juga kecewa kerana telah membayar sejumlah wang yang besar kepadanya.

4) FOLLOWER PALSU

Follower media sosial boleh dibeli di platform beli-belah online.

Sebelum mengambil seseorang influencer, selalunya syarikat akan menyelidik data tertentu misalnya jumlah follower dan demografi follower. Pun begitu, alangkah malangnya jika follower yang dimiliki dalam media sosial influencer tersebut sebenarnya adalah follower palsu yang dibeli dan bukannya organik.

5) MATLAMAT & KOMUNIKASI KURANG JELAS

Setiap yang diusahakan perlu ada kayu ukur untuk mengetahui sejauh mana keberkesanannya. Hal ini selalunya disebut sebagai key performance indicator (KPI). Justeru, influencer perlu dijelaskan mengenai hal ini supaya dia tahu matlamat yang perlu dicapai. Sebagai pemilik perniagaan, anda perlu berkomunikasi dengan influencer tersebut secara jelas supaya dia faham. Kerjasama erat dan komunikasi dua hala yang berkesan boleh menjamin matlamat dicapai sebaik mungkin.

Kesimpulannya, walaupun strategi pemasaran menggunakan influencer adalah salah satu kaedah popular pada hari ini, namun hal ini bukanlah penentu kejayaan sesebuah kempen. Pemilik bisnes perlu peka dengan kaedah lain dan menggabungkannya dengan betul supaya kempen pemasaran anda sukses.