Baru Buat Bisnes? Ini 3 Tip Pemasaran Yang Boleh Anda Cuba

Dalam keadaan negara kita selepas dilanda wabak COVID-19, pastinya ramai yang terkesan akibat wabak tersebut. Menurut laporan BERNAMA pada 22 Mac 2023, seramai 7,736 orang direkodkan hilang pekerjaan antara Januari 2023 hingga 3 Mac 2023. Statistik ini diperoleh berdasarkan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). (SUMBER: Bernama Online)

Justeru, tidak mustahil ada antara mereka yang terkesan ini mengambil keputusan untuk berbisnes secara kecil-kecilan dari rumah. Misalnya, menjual makanan, menjahit ataupun membuat kraftangan. Hal ini demi menampung kehidupan yang hilang punca pendapatan bulanan.

Pun begitu, untuk memulakan perniagaan, satu perkara yang amat penting adalah pemasaran. Jika perniagaan tidak mempunyai pelan pemasaran, perniagaan itu tidak diketahui ramai. Justeru, tiada keuntungan bakal dicapai.

Kami berikan 3 tip pemasaran untuk anda yang baru memulakan perniagaan.

1) KENAL PASTI SASARAN

Kenal pasti siapa sasaran pembeli anda.

Apabila anda ingin menjual produk atau perkhidmatan, anda perlu tahu golongan yang bakal menjadi pembeli atau pengguna. Dari situ anda boleh mulai membuat sedikit kajian mengenai masalah golongan ini yang boleh anda bantu dengan produk atau perkhidmatan anda.

Contoh:

SASARAN: Golongan bekerja
MASALAH: Tidak sempat masak sarapan

Justeru, untuk menyelesaikan masalah golongan ini, anda perlulah menyediakan hidangan sarapan yang memudahkan mereka untuk pergi bekerja. Caranya, jual di tepi laluan kenderaan yang mudah untuk berhenti. Makanan siap pek, lengkap dengan air dalam cawan berpenutup. Boleh dibeli dengan cara drive tru. Contohnya, sandwic, nasi lemak siap bungkus, mi goreng siap bungkus disediakan dengan minuman panas.

2) GEGAK GEMPITA DI MEDIA SOSIAL

Ada banyak media sosial yang boleh anda berikan tumpuan.

Jika sebelum ini anda hanya sekadar bermain-main di media sosial, kali ini anda perlu fokus dengan perkara bermanfaat yang boleh mendatangkan pendapatan. Anda perlu menjalankan aktiviti pemasaran di media sosial.

Kali ini, anda perlu mempelajari cara membuat copywriting dan poster berstrategi untuk memasarkan perniagaan anda. Gunakan media sosial untuk membina reputasi jenama anda. Kongsikan kisah mengenai produk dan servis anda secara konsisten. Antara media sosial yang boleh anda gunakan misalnya Facebook, Instagram dan TikTok. Pilihlah mana-mana media sosial yang dekat dengan sasaran anda.

3) PERKASAKAN WORD OF MOUTH

Hargai pembeli yang mempromosikan perniagaan anda.

Jangan remehkan promosi dari mulut ke mulut. Apabila produk kita disukai ramai dan perkhidmatan kita memuaskan hati orang ramai, pasti mereka akan bercerita dan mencadangkan perniagaan kita kepada orang lain.

Justeru, jangan sesekali mengabaikan pengalaman indah buat pembeli atau pengguna anda. Biarkan mereka berpuas hati dan gembira. Ini kerana akhirnya anda juga yang menerima manfaatnya.

Hargai pengguna anda dengan memberikan potongan harga atau hadiah istimewa apabila mereka dapat mencadangkan perniagaan anda kepada pembeli baru. Semua ini akan menjadikan anda mempunyai lebih ramai pelanggan setia.

Kesimpulannya, aktiviti pemasaran adalah satu aktiviti yang perlu dibuat secara berterusan. Tiada istilah malas atau tidak perlu lagi membuat promosi perniagaan. Lihat sahajalah jenama-jenama besar seperti Mc Donalds, Kentucky Fried Chicken dan Nescafe. Sejak dahulu sehingga kini mereka tidak pernah mengabaikan strategi pemasaran walaupun jenama mereka sudah sedia dikenali.