Jualan yang tinggi adalah impian setiap usahawan untuk mempunyai jangka hayat perniagaan yang panjang dalam pasaran. Bagi memastikan jualan kekal tinggi, anda memerlukan strategi pemasaran yang tidak kenal erti penat.
Pemasaran perlu dibuat setiap hari selagi anda ingin relevan dalam industri. Hal ini sangat penting kerana tanpa strategi pemasaran yang betul, produk anda hanyalah hit and run. Ianya tidak kekal lama dan anda akan penat untuk memulakan sesuatu yang baru.
Walaupun dunia semakin berkembang dan wujud kaedah pemasaran yang lebih terkini misalnya penggunaan influencer dan penggunaan chatbots, namun tiga kaedah yang diterangkan ini masih relevan dan tidak pernah lapuk sebenarnya.
Jom Modachi terangkan satu demi satu.
Langkah 1: Kenali dan Fahami Pasaran
Bagi mencapai objektif melonjakkan jualan, anda perlu kenal pasti siapa pelanggan anda. Antara kriteria yang perlu diambil berat adalah umur, jantina, pekerjaan, gaya hidup dan keperluan mereka.
Melalui data-data ini, anda dapat mengenal pasti sedetailnya apa yang diperlukan oleh pelanggan anda sekali gus mengurangkan kos untuk membuat pemasaran.
Sebagai contoh, jika anda ialah usahawan syampu. Kecilkan produk anda mengikut ciri-ciri. Misalnya ciri-ciri jenis rambut iaitu kering, berminyak, rosak dan berwarna. Boleh juga membuat segmen jenis masalah pula. Contohnya, masalah rambut gugur atau kelemumur.
Untuk lebih memahami pasaran pula, anda perlu mengkaji trend semasa. Apakah jenis syampu yang diperlukan oleh pengguna? Anda perlu tahu jawapannya.
Langkah 2: Kuasai Pemasaran Digital
Zaman sekarang bukan lagi seperti dahulu. Sekarang, masyarakat menghabiskan masa yang terlalu banyak di media sosial. Justeru, produk anda perlu ada di media sosial supaya lebih dekat dengan pengguna. Platform seperti Instagram, Facebook, TikTok dan YouTube perlu anda kuasai untuk mempromosikan produk anda.
Untuk melonjakkan jualan, anda tidak boleh bergantung kepada strategi tanpa kos. Anda perlu buat juga iklan berbayar di platform digital. Sebelum ‘menembak’ iklan berbayar di media sosial, pastikan anda membuat sasaran tepat mengikut demografi pelanggan.
Konten iklan perlu menarik iaitu menggunakan gambar atau video yang menarik perhatian. Hal sebegini bagi memungkinkan kandungan anda berjaya dan mendapat lebih banyak engagement daripada pengguna media sosial.
Selain itu, jangan terlepas pandang mengenai pentingnya email marketing. Kempen menggunakan e-mel memberikan banyak manfaat kepada produk anda. Malah di situ anda boleh bercerita mengenai kepakaran anda secara lebih dekat dengan pengguna.
Langkah 3: Taktik Pemasaran Berpusatkan Pelanggan
Maksud taktik pemasaran berpusatkan pelanggan adalah dengan cara pergi terus kepada pelanggan. Contohnya, anda bersama team pergi ke lokasi strategik untuk memberikan sampel percuma kepada pelanggan.
Boleh juga ada fokus kepada pelanggan setia. Maksudnya, semakin setia pelanggan itu, maka semakin banyak kelebihan dia berpeluang untuk dapat.
Fokus juga kepada pelanggan yang sudi memberikan testimoni di laman web, media sosial dan platform e-dagang. Ulasan positif membina kepercayaan dan keyakinan kepada pengguna lain untuk mencuba produk anda. Justeru, hal ini amat penting.
Kesimpulannya, walaupun ketiga-tiga langkah ini kelihatan seperti cara pemasaran yang sudah agak konvensional, namun inilah langkah yang paling berkesan untuk menjana jualan tinggi. Strategi pemasaran yang telah lama diguna pakai masih tetap relevan sepanjang zaman.