5 Sebab Perniagaan Berbentuk F&B Tutup

Dalam keadaan ekonomi sekarang, pelbagai perniagaan dilihat berada dalam keadaan struggle untuk terus bertahan. Apatah lagi dengan hadirnya wabak COVID-19 pada tahun 2021. Hal ini menyebabkan banyak perniagaan terpaksa dikecilkan skalanya dan ada yang menutup terus perniagaan kerana tidak mampu berdaya saing.

Salah satu perniagaan yang terkesan adalah perniagaan berbentuk makanan dan minuman (F&B) yang mempunyai premis. Ini kerana premis terpaksa menghentikan operasi disebabkan orang ramai perlu akur dengan peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada ketika itu.

Walaupun PKP, sewa premis perlu tetap dibayar termasuk gaji pekerja. Justeru, bagaimanakah hal ini hendak ditanggung oleh pemilik bisnes kerana pendapatan mereka merudum teruk?

Pada tahun 2023, banyak perniagaan F&B yang kembali bangkit dari fasa kejatuhan untuk bernyawa kembali. 

Berita penutupan restoran milik penceramah tersohor, Ustazah Asma Harun di Senawang mulai mendapat perhatian apabila beliau mengeluarkan kenyataan yang mendapat maklum balas di media sosial. Alasan rugi RM30,000 setiap bulan disebabkan peningkatan kos bahan mentah menjadi tajuk utama pelbagai berita. Ya, masalah kos bahan mentah yang tinggi memang menjadi salah satu cabaran untuk mengawal kewangan.

Jom kita lihat apa lagi faktor yang boleh menyebabkan bisnes F&B menutup operasinya.

1) RASA

Mendapat tukang masak yang bagus adalah bonus bagi sesebuah restoran.

Sesebuah kedai makan itu boleh jadi bakal menutup operasinya jika masakan yang dijual tidak sedap. Cita rasa masakan perlu sedap sampai buat orang teringat-ingat. Tidak mustahil jika masakan sedap, orang akan tetap makan lagi di kedai anda walau harganya agak mahal. Rasa masakan adalah satu hal yang tidak boleh dikompromi.

2) SERVIS

Servis lembap dan kakitangan tidak mesra pelanggan perlu dielakkan.

Sebagai pemilik kedai makan, anda perlu ambil berat mengenai servis yang diberikan kepada pelanggan. Servis ini termasuk layanan, cara mengambil pesanan, cara penghantaran makanan ke meja pelanggan, cara melayan pelanggan ketika pelanggan membuat bayaran. Begitu juga cara anda mengambil sebarang komplen yang diberikan oleh pelanggan.

Anda juga perlu menjaga waktu menunggu. Pantau tempoh masa dari pesanan dibuat oleh pelanggan hingga kepada pelanggan menerima makanan dan minuman yang dipesan. Jangan buat pelanggan tertunggu-tunggu pesanan mereka sampai.

Kalau makanan anda sedap sekalipun, tetapi waktu menunggu boleh dikatakan ibarat menunggu kucing bertanduk, memang pelanggan tidak akan datang lagi. Tingkatkan kepantasan bekerja iaitu servis pelanggan, insya-Allah anda bakal lihat hasilnya.

3) HARGA

Mahal atau murah, itu subjektif.

Harga sebenarnya subjektif. Mahal bagi seseorang, mungkin murah bagi seseorang yang lain. Justeru apa yang perlu anda fokus adalah meningkatkan value setiap menu anda jual.

Harga yang mahal tidak menjadi isu besar jika disertai dengan rasa yang sedap, portion yang berbaloi, layanan yang baik, kebersihan yang terjaga dan persekitaran yang selesa.

Pun begitu, jika anda dapat menjual makanan dengan harga berpatutan, anda boleh menarik ramai pelanggan walaupun anda tidak begitu mendapat keuntungan.

4) KEBERSIHAN

Teliti mengenai isu kebersihan di kedai makan anda.

Kebersihan adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi di kedai makan. Kebersihan dapur, kebersihan tandas dan kebersihan persekitaran kedai makan adalah satu kemestian.

Selain itu, anda perlu pastikan kebersihan penampilan dan pakaian pekerja kedai makan anda. Rambut perlu pendek, kuku wajib pendek, pakaian bersih, kasut bersih, gigi perlu bersih.  

5) PERSEKITARAN

Kerusi meja yang selesa, susun atur yang kemas menjadikan kedai makan anda ada daya tarikan tersendiri.

Persekitaran kedai makan ini termasuk dengan susun atur dalam kedai makan. Kedai harus selesa. Susun atur kerusi meja perlulah seimbang dan membuatkan pelanggan selesa untuk makan. 

Lampu, kipas angin dan pendingin hawa perlu diselaraskan dengan baik demi keselesaan pelanggan

Kesimpulannya, menjalankan perniagaan F&B memerlukan kos yang besar kerana melibatkan bahan mentah, sewa premis, gaji kakitangan yang ramai dan juga pelbagai kos yang mungkin tidak kelihatan.

Justeru, dapatkan khidmat nasihat daripada mentor mengenai bisnes F&B supaya anda tidak terus tenggelam dengan isu-isu dalaman sehingga menyebabkan kerugian.