Timbalan Menteri Dedah 31,140 Belia Bankrap! Ini 4 Sebab Belia Gagal Urus Duit

Pengurusan kewangan perlu dikuasai oleh setiap individu sejak muda lagi iaitu bagi golongan belia. Ini kerana pengurusan kewangan adalah sesuatu yang amat penting dalam kehidupan. Gagal menguruskan kewangan ketika muda mendedahkan golongan belia kepada isu bankrap.

Menurut laporan Astro Awani pada 26 Jun 2023, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh, seramai 31,140 belia berusia 35 tahun ke bawah telah didaftarkan sebagai bankrap sejak 2014 hingga Mei 2023 berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI).

Pendedahan yang membuka mata khalayak mengenai beban kewangan golongan belia.

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/lebih-30000-belia-bawah-35-tahun-bankrap-ramkarpal-425517

Ini membuktikan bahawa golongan belia sememangnya terdedah kepada gejala bankrap atas pelbagai sebab. Salah satunya adalah disebabkan kegagalan menguruskan kewangan sendiri.

Modachi memberikan lima sebab yang menjadi punca kepada kegagalan golongan belia menguruskan kewangan mereka.

  1. Kurang Pemahaman Tentang Kewangan
Pengetahuan pengurusan kewangan perlu diambil cakna oleh semua golongan.

Salah satu masalah utama di sebalik pengurusan kewangan orang muda adalah kurangnya pemahaman mengenai isu pengurusan kewangan itu sendiri. Ramai individu melengkapkan pendidikan formal mereka tanpa memperoleh pengetahuan penting mengenai bajet, simpanan, dan pelaburan. Tanpa asas yang kukuh dalam kemahiran pengurusan kewangan, golongan belia boleh membuat keputusan yang tidak sepatutnya.

Hal ini menyebabkan golongan belia mudah terdedah kepada isu bankrap apabila terjerat dengan hutang. Tanpa pengetahuan mengenai pengurusan kewangan, tidak mustahil belia dengan rela hati berhutang dengan adanya peluang pinjaman peribadi. Hal inilah yang membawa kepada hutang dan tekanan kewangan.

  1. Terpengaruh Dengan Trend Terkini
Gaya hidup mewah pempengaruh di media sosial boleh mempengaruhi pemikiran golongan belia.

Trend terkini mudah mempengaruhi gaya hidup golongan belia apabila trend itu dengan mudah dilihat melalui media sosial. Paparan mengenai gaya hidup mewah dengan gajet terkini, pakaian berjenama mahal, makan minum di tempat eksklusif dan percutian mewah mampu mempengaruhi golongan belia.

Maka, mereka sanggup membelanjakan sejumlah wang untuk memilikinya. Bagi yang kurang berkemampuan, mereka sanggup berhutang dan membuat bayaran ansuran demi memenuhi keinginan.

Pengetahuan mengenai kewangan boleh menjadikan golongan belia memahami mana satu keperluan dan mana satu kehendak. Utamakan keperluan. Kehendak itu adalah sesuatu yang diidamkan tetapi jika tidak sesuai dengan kedudukan kewangan, bolehlah ditangguhkan.

  1. Beban Hutang Belajar
Mahasiswa memulakan pengajian dengan berhutang.

Pada hari ini, ramai graduan yang dibebani dengan hutang yang dibuat ketika hendak melanjutkan pengajian. Hutang berjumlah lima angka itu semakin hari semakin naik nilainya kerana ada faedah yang dikenakan.

Beban membayar balik pinjaman menjadikan golongan belia sukar untuk memperuntukkan wang bagi hal lain seperti perumahan, penjagaan kesihatan dan simpanan untuk masa depan. Inilah satu punca kegagalan pengurusan kewangan dalam golongan muda kerana adakalanya gaji yang diperoleh hanya cukup untuk sara hidup. Mereka tidak mampu untuk membayar hutang belajar.

  1. Pendapatan Ekonomi Gig
Kerjaya menghantar barang adalah salah satu contoh kerjaya yang popular dalam era ekonomi gig.

Ekonomi gig sangat popular pada hari ini. Kerjaya ini memberikan keselesaan dari segi masa tetapi pendapatannya adalah tidak tetap. Status pekerjaannya pula selalunya kontrak dan boleh dilakukan secara bebas. Dalam bahasa mudah, ada kerja barulah ada pendapatan.

Cabarannya bagi golongan muda adalah mereka susah untuk mengurus kewangan kerana ketiadaan pendapatan tetap. Justeru, urusan mengenai duit menjadi satu perkara yang tidak boleh dibuat dengan detail setiap bulan.

Kesimpulannya, pengetahuan mengenai pengurusan kewangan perlu diterapkan sejak muda. Sifat berjimat-cermat dan menabung perlu diamalkan sejak kecil. Malah, setiap individu juga perlu tahu membezakan antara keperluan dengan kehendak.

Melalui cara ini, golongan belia tidak akan terjerat dengan hutang-hutang yang tidak perlu misalnya membuat bayaran ansuran semata-mata ingin memiliki telefon bimbit terkini. Usahlah mudah terpengaruh dengan paparan di media sosial kerana adakalanya itu hanyalah keindahan yang anda lihat pada mata kasar sahaja.

Urus kewangan dengan bijak supaya tidak bankrap pada usia muda!