Kempen Raya: 5 Strategi Jenama Besar Industri Fesyen Kekal Utuh Berbanding Jenama Hit & Run

Ketika rencana ini ditulis, seluruh insan Muslim bakal menyambut kehadiran Ramadan dalam tempoh tidak sampai dua bulan lagi. Ketika ini dapat dilihat di media sosial, tukang jahit sudah pun menutup tempahan jahitan baju raya. Tidak ketinggalan juga ramai peniaga online mulai mempromosikan perniagaan mereka terutamanya dalam industri fesyen.

Kewujudan peniaga bermusim juga bagaikan cendawan tumbuh. Mereka hanya hadir ketika musim raya, kemudian hilang entah ke mana.

Apakah puncanya belum pun mula puasa tetapi keadaan sekeliling telah mulai meriah dengan pelbagai kempen pemasaran mengenai persiapan Syawal? Matlamatnya hanya satu iaitu peniaga-peniaga ini ingin meraih perhatian pembeli sebelum pasaran menjadi tepu.

Kehadiran mereka hanyalah ketika musim raya. Justeru mereka membuat pelbagai kempen demi memastikan matlamat mereka berjaya. Meraih perhatian pembeli bermaksud mendatangkan jualan kepada mereka.

5 Strategi Pemasaran Jenama Fesyen Terkemuka

Jika diperhatikan, jenama besar dalam industri fesyen tetap kekal relevan dalam industri fesyen dan menjadi pilihan pelanggan berbanding jenama hit and run. Prinsip yang diamalkan ini menjadikan jenama besar tetap utuh walau dilanda kewujudan banyak jenama hit and run yang meraih perhatian menggunakan kempen pemasaran viral.

Jom kita lihat lima prinsip pemasaran jenama besar dalam industri fesyen.

1) ENGAGEMENT

Gunakan e-mel untuk terus kekal dekat dengan pelanggan.

Strategi pertama ini amat penting. Ini kerana sesebuah jenama fesyen perlu ada engagement dengan pelanggannya. Tanpa engagement ini, jenama fesyen anda tidak akan mencipta ikatan yang baik dengan pelanggan tanpa ada strategi engagement ini.

Jenama fesyen yang faham akan pelanggannya pasti akan sentiasa menyediakan apa yang pelanggannya perlukan. Hal ini menjadikan pelanggan lebih setia kerana terasa dihargai apabila jenama memahami keperluan mereka.

Anda boleh mencipta engagement secara digital misalnya di media sosial atau e-mel. Melalui hal ini, anda boleh berinteraksi terus secara langsung dengan pelanggan. Kebijaksanaan anda mempromosikan produk dan respon kepada pelanggan akan mencipta engagement yang baik antara jenama anda dengan pelanggan.

Anda perlu faham bahawa engagement bukan hanya strategi tapi seni. Hal ini menjadikan anda tidak perlu mendesak pelanggan pun untuk membeli produk anda. Mereka akan tetap mencari produk anda apabila tibanya musim perayaan.

2) INOVATIF

Jadi trendsetter dalam industri fesyen.

Inovatif ini adalah strategi kedua yang amat penting sehingga menjadikan jenama fesyen besar tetap relevan dalam industri fesyen walau timbul banyak peniaga fesyen hit anda run.

Pemasaran inovatif ini memerlukan bajet yang agak besar namun berbaloi. Dengan teknik penceritaan yang menarik hati pelanggan, mereka jadi lebih mudah ingat dan lebih dekat dengan jenama fesyen anda.

Salah satu contoh pemasaran inovatif adalah strategi menggunakan influencer, kempen media sosial ataupun kempen kreatif. Hal ini menjadikan jenama anda lebih menonjol berbanding jenama lain.

Contoh kedua pemasaran inovasi adalah anda perlu berani. Contohnya berani mencipta inovasi fesyen baharu dan anda jadi penentu arah industri pada masa depan. Anda perlu faham, jika anda mampu mencipta trend, anda sudah boleh dianggap hebat!

3) LESTARI (SUSTAINABLE)

Benarkan pelanggan memulangkan pakaian terpakai mereka untuk dapatkan diskaun membeli produk anda.

Untuk kekal relevan dalam industri fesyen, strategi kelestarian adalah satu keperluan untuk diamalkan. Ada tiga perkara perlu anda teliti dalam aspek kelestarian. Jom Modachi terangkan lebih detail.

Pertama, amalan mesra alam. Kedua, amalan etika. Ketiga, amalan pengurusan sisa.

Untuk kekal relevan dalam industri fesyen anda perlu mengamalkan faktor mesra alam misalnya menggunakan produk yang mengurangkan kesan buruk kepada alam sekitar. Selain itu, dari segi etika pula, elakkan penggunaan buruh kanak-kanak dalam proses penghasilan produk anda. Jadilah usahawan yang ada etika.

Yang terakhir, dari segi pengurusan sisa pula, anda perlu hasilkan produk yang tidak mudah rosak. Lagi bagus jika produk anda misalnya baju boleh tahan bertahun-tahun daripada abang sampai ke adik memakainya. Selain itu, boleh juga pikat pelanggan dengan cara kembalikan pakaian lama yang masih elok kepada anda dan anda berikan kupon diskaun untuk membeli produk baru. Win win situation. Hal ini amat disukai oleh pelanggan!

4) OPERASI

Isu delivery kepada pelanggan perlu diselesaikan secara berkesan supaya keyakinan pelanggan meningkat.

Usahawan fesyen perlu cekap dalam operasi bisnes. Tanpa pengurusan yang cekap, anda sukar untuk mengawal perjalanan bisnes anda.

Anda perlu ada komunikasi berkesan dengan pengeluar dan pembekal bahan mentah untuk menghasilkan produk anda. Selain itu, anda perlu ada komunikasi berkesan juga dengan syarikat penghantar produk anda supaya barangan yang dibeli sampai kepada pembeli dengan pantas.

Misalnya, wujudkan sistem navigasi supaya pelanggan dapat jejak produk yang dikirimkan kepada mereka. Hal ini menjadikan operasi syarikat anda disukai dan menjadi mesra pengguna.

Ada jenama yang mempunyai produk yang disukai pengguna namun dari segi layanan kepada pelanggan dan penghantaran amat teruk. Hal ini turut menjadikan jenama ada mempunyai potensi untuk tidak lagi dibeli oleh mereka. Rugi, kan?

5) KETAHANAN (RESILIENCE)

Syarikat perlu ada perancangan untuk hadapi cabaran dalam bisnes.

Pengurusan krisis adalah salah satu strategi yang diamalkan oleh pemilik jenama fesyen terkemuka. Hal ini termasuk dalam strategi ketahanan atau resilience.

Contoh pengurusan krisis adalah sejauh mana sesebuah jenama itu dapat bertahan menghadapi situasi yang mencabar yang tidak terduga. Misalnya keupayaan meneruskan tindakan yang mengurangkan risiko terhadap syarikat seperti situasi pandemik, krisis politik atau perubahan ekonomi.

Strategi yang proaktif dan fleksibel dalam pengurusan krisis membolehkan jenama anda menyesuaikan operasi dan strategi pemasaran yang baik untuk menjadi jenama yang kekal relevan.

Kesimpulannya, inilah lima strategi yang diamalkan oleh syarikat atau jenama fesyen besar-besar sehingga tetap menjadi pilihan utama pelanggan berbanding jenama usahawan yang hanya muncul ketika musim perayaan.

Anda perlu mampu bertahan dalam menghadapi cabaran dan berkembang dengan strategi yang betul dalam pemasaran supaya kekal relevan. Ikatan dengan pelanggan tidak berlaku dalam sekelip mata tetapi mencipta pelanggan setia itu memerlukan usaha yang bukan sedikit.