Pada 7 dan 8 Mei 2025 yang lalu, MODACHI dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia telah berjaya menganjurkan Kursus Penerbitan Coffee Table Book bertempat di The Mines Beach Resort, Seri Kembangan, Selangor. Kursus intensif dua hari ini menghimpunkan para peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk penulis, pereka grafik, jurufoto, editor serta pegawai penerbitan daripada agensi dan institusi berkaitan.
Kursus ini dirangka khusus untuk memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta mengenai keseluruhan proses penerbitan coffee table book yang berkualiti tinggi. Bermula daripada pembangunan naratif visual, pengurusan foto, penulisan kandungan hingga kepada reka bentuk dan persediaan untuk cetakan profesional. Coffee table book bukan sekadar dokumen bercetak, tetapi kini menjadi medium berprestij untuk agensi dan organisasi menyampaikan kisah, pencapaian serta identiti visual mereka dengan lebih berimpak.

Tenaga pengajar yang terlibat dalam kursus ini merupakan nama-nama berpengaruh dalam industri. Maryam Elyas, penulis buku ProWriter dan pengasas MODACHI, berkongsi strategi pembangunan kandungan serta teknik penulisan yang sesuai untuk medium visual. Rosli Mohd Nordin, penulis tamu Dewan Bahasa dan Pustaka serta penerbit dokumentari, memberikan panduan tentang penyusunan cerita dalam bentuk dokumentasi bercetak. Turut sama ialah Norazwan Nazim, pengarah seni yang mengetuai sesi praktikal reka bentuk serta struktur visual coffee table book yang efektif dan estetik.
Sepanjang dua hari kursus, peserta bukan sahaja didedahkan kepada teori, malah diberi ruang untuk merancang projek mereka sendiri secara langsung dengan bimbingan tenaga pengajar. Sesi ini menjadi ruang interaktif untuk pertukaran idea, pemahaman praktikal dan simulasi dunia sebenar dalam menghasilkan sebuah penerbitan yang profesional dan tersusun. Suasana kursus yang kondusif turut menyumbang kepada keberkesanan pembelajaran apabila peserta dapat memberi tumpuan sepenuhnya dalam suasana yang santai namun eksklusif.
Maklum balas yang diterima daripada para peserta amat memberangsangkan. Ramai menyatakan bahawa kursus ini telah membuka perspektif baharu tentang potensi coffee table book sebagai medium dokumentasi dan branding yang strategik, khususnya untuk agensi dan organisasi yang ingin merakam sejarah atau menyampaikan pencapaian kepada pihak berkepentingan.
Ramai peserta tak sangka rupanya coffee table book bukan sekadar buku cantik di atas meja! Kursus dua hari anjuran MODACHI ini benar-benar membuka mata mereka tentang bagaimana buku visual ini boleh jadi alat dokumentasi paling elegan dan strategi branding paling berkesan, terutamanya untuk agensi kerajaan dan organisasi besar. “Saya ingat coffee table book ni untuk galeri je. Rupa-rupanya boleh jadi alat bukti kejayaan jabatan!” kata salah seorang peserta yang terlibat dalam kursus ini.
Kejayaan kursus ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan MODACHI sebagai penyedia latihan dalam bidang penerbitan visual, malah membuktikan bahawa permintaan terhadap latihan khusus seperti ini semakin meningkat dalam kalangan institusi kerajaan dan swasta. Coffee table book dilihat sebagai pelaburan jangka panjang yang bukan sahaja meningkatkan nilai jenama, tetapi juga memperkukuh kredibiliti organisasi di mata umum.
MODACHI kini membuka peluang untuk agensi dan organisasi yang berminat menganjurkan kursus serupa secara in-house. Setiap modul latihan boleh disesuaikan mengikut keperluan jabatan, sama ada untuk tujuan pembangunan sumber manusia, dokumentasi sejarah, laporan tahunan bergambar atau penerbitan khas bagi projek tertentu. Dengan pendekatan yang fleksibel dan pasukan berpengalaman, MODACHI bersedia menjadi rakan strategik anda dalam menjayakan penerbitan coffee table book yang berkualiti tinggi dan bernilai estetika.
Untuk maklumat lanjut tentang kursus penerbitan coffee table book atau perkhidmatan latihan khas untuk organisasi anda, sila layari www.modachi.my atau hubungi pasukan kami di admin@modachi.my.