Apabila berbicara mengenai seni bina jenama, perkara yang perlu diambil kira adalah mengenai kedudukan dan mesej yang hendak disampaikan kepada khalayak melalui produk atau servis yang dibuat. Seni bina jenama memupuk kepercayaan dan kredibiliti sesebuah jenama.
Dalam hal seni bina jenama, Modachi memberikan tumpuan kepada jenama Unilever. Ini kerana produk Unilever boleh didapati di sekitar 190 negara dan statusnya sebagai syarikat multinasional tertua berasal dari Eropah beribu pejabat di London, United Kingdom dan Rotterdam, Belanda.
Unilever mempunyai lebih 400 jenama antaranya Dove, Lux, Clear, Lifebuoy, Ponds, Breeze, Ekonomi Handalan, Fair and Lovely, Omo, Heartbrand, Hellmann’s, Knorr, Lipton, Magnum, Rexona, Walls, Lady’s Choice, Planta dan Sunsilk. Hal ini mengukuhkan kedudukan Unilever dengan portfolio jenama, subjenama dan produk syarikat. Unilever berjaya membentuk syarikat yang berupaya membezakan antara satu sama lain.
Faktor Pentingnya Seni Bina Jenama
Sesebuah syarikat yang mempunyai pelbagai jenama dalam pengurusannya perlu memahami kedudukan dan mesej jenama yang jelas. Hal ini membantu pengguna kenal setiap jenama yang berbeza.
Misalnya, antara syampu Dove dan syampu Sunsilk. Seni bina jenama yang jelas membolehkan pengguna faham perbezaan kedua-dua jenama dan dapat memilih produk syampu yang tepat untuk keperluan rambut mereka.
Selain itu, seni bina jenama yang tersusun dengan baik boleh menjadikan syarikat berupaya untuk mencapai segmen pasaran yang berbeza dengan lebih berkesan. Hal ini dengan menyelaraskan subjenama dengan khalayak sasaran tertentu. Bukankah ini mampu mengurangkan kos pemasaran dengan lebih baik?
Apakah Dua Strategi Utama Seni Bina Jenama Unilever?
- Bagi lebih memahami mengenai seni bina jenama, komponen utamanya adalah jenama dominan. Ini bermaksud, jenama induk sepatutnya menjadi jenama paling baik mewakili syarikatnya. Sebagai contoh, Unilever mempunyai empat bahagian utama iaitu produk berasaskan makanan, minuman (minuman dan aiskrim), penjagaan rumah dan penjagaan diri.
- Komponen kedua pula adalah subjenama. Hal ini memfokuskan kepada jenama yang bergabung dengan jenama dominan tetapi mempunyai identiti dan nilai berbeza. Misalnya sabun Ekonomi Handalan dan Breeze bergabung di bawah jenama sabun basuh baju. Justeru apakah yang membezakan antara dua jenama ini dari segi identiti dan nilainya?
Melalui dua strategi komponen ini, Unilever dilihat mampu mencipta seni bina jenama yang berjaya. Melalui pengurusan strategiknya, Unilever mencipta portfolio yang pelbagai tetapi memenuhi segmen pasaran pengguna yang berbeza.
Melalui hal ini, pengguna mengiktiraf produk-produknya sekali gus mencipta kesetiaan yang tinggi dalam kalangan pengguna.
Kenapa Syarikat Anda Perlu Ada Seni Bina Jenama?
Sebagai usahawan kecil dan sederhana, alangkah bagusnya jika anda jadikan Unilever sebagai teladan dalam perniagaan.
Antara sebabnya adalah anda mencipta mesej jenama yang jelas dan konsisten sehingga menjadikan pengguna lebih mudah memahami tawaran anda. Apabila pengguna lebih jelas dengan mesej anda, mereka lebih cepat bertindak untuk mendapatkan produk anda demi menyelesaikan masalah mereka.
Selain itu, mengukuhkan seni bina jenama juga menjadikan anda lebih fokus terhadap sasaran pengguna. Ini kerana setiap jenama mempunyai sasaran penggunanya yang tersendiri.
Justeru, seni bina jenama adalah amat penting apatah lagi jika syarikat anda mempunyai pelbagai jenama di bawahnya. Jadikan strategi Unilever sebagai satu panduan untuk anda mengukuhkan seni bina jenama dengan jayanya.