Ketelitian Visual yang Kuat dalam Storytelling

Salah satu elemen yang penting dalam storytelling adalah ketelitian visual. Penulis perlu menulis apa yang boleh digambarkan secara visual dalam bentuk penulisan. Menulis visual secara teliti boleh mewujudkan gambaran atau imaginasi pada kotak pemikiran pembaca. Hal ini sekali gus menguatkan memori pembaca terhadap karya yang ditulis.

Ketelitian deskripsi visual mempunyai kepentingan tersendiri. Sebagai penulis, anda mampu untuk membangunkan cerita anda dengan sesuatu yang lebih hidup. Pembaca boleh membayangkan tempat, suasana dan tindakan yang ditulis sehingga mereka dapat merasakannya.

Jom, Modachi terangkan lebih jelas mengenai deskripsi visual dalam teknik storytelling:

1) Anda perlu menjelaskan secara terperinci mengenai tempat yang berlaku dalam karya anda. Contohnya, apabila menyebut rumah, jelaskan rumah itu bagaimana rupanya. Anda fokus kepada elemen yang boleh mencetuskan imaginasi seperti warna, bentuk, bau dan bunyi rumah iaitu bunyi lantai kayu berkeriuk apabila dipijak kaki.

Contoh ayat: Rumah kayu itu telah tua usianya. Cat hijau pada jendelanya juga sudah banyak yang mengelupas. Banyak lantai yang sudah rapuh menanti patah jika dipijak. Sesekali bingkai jendelanya berkeriuk kala ditiup angin kuat. Kelihatan sarang labah-labah di sana sini. Bau hamis turut menyapa hidung ketika angin bertiup. Ternyata rumah kayu bercat hijau itu menyeramkan tatkala mentari mula menyembunyikan dirinya.

Tempat misalnya rumah boleh diceritakan dengan teliti dalam karya anda.

2) Anda juga dinasihatkan supaya menggunakan deskripsi visual apabila menjelaskan mengenai suasana. Pilih perkataan yang membangkitkan perasaan seperti hangat, sejuk, seram, damai, tenang, sunyi.

Hal ini sangat penting apabila hendak menyampaikan suasana dalam karya berbentuk cerita dalam novel atau cerpen. Pembaca terasa seperti berada dalam jalan cerita yang anda sampaikan.

Contoh ayat: Kabus tebal menyelimuti Kampung Jati. Suasana dingin menggigit tulang. Hujan yang tadinya lebat sudah semakin renyai. Lopak-lopak di jalanan dipenuhi air. Tiada lagi damai di hati Nora apabila insan ditunggu tidak pulang-pulang lagi.

Hujan pun boleh jadi modal penceritaan yang menarik untuk ditulis.

3) Anda juga boleh menggunakan deskripsi visual apabila hendak memperincikan tindakan watak dalam penceritaan. Dengan cara ini pembaca dapat membayangkan gerakan tersebut.

Contoh ayat: Ali melangkah perlahan ke pintu bilik tidurnya. Kaki kanannya diseret perlahan. Darah masih menitik daripada luka akibat terkena hayunan parang oleh lelaki tidak dikenali tadi. Tangannya menggeletar ketika memegang tombol pintu. Dipulasnya tombol itu. Pintu terkuak. Kelihatan seorang wanita berkemban dengan rambut yang kusut-masai duduk terperosok di tepi katilnya. Siapa wanita itu? Apa yang sedang berlaku di rumahnya ketika itu?

4) Tidak dilupakan, gunakan elemen pancaindera dalam penulisan deskripsi visual. Pancaindera dengar, rasa pada kulit, bau, rasa pada lidah dan lihat. Ceritakan dengan detail misalnya rasa air kopi yang diminum, terdengar rintik hujan menimpa atas bumbung beratap zink.

Kesimpulannya, deskripsi visual boleh melambatkan alur cerita. Cuma jangan keterlaluan menceritakan sesuatu secara terperinci kerana pembaca boleh rasa terbeban. Ceritakan mengikut keperluan.