Reka bentuk pembungkusan atau design packaging sesuatu produk itu memainkan peranan yang penting kerana merupakan first impression terhadap syarikat atau perniagaan tersebut. Packaging produk bukan sekadar untuk melindungi barang tetapi juga merupakan satu medium sebagai pengiklanan yang dapat menaikkan jualan dan brand awareness.
Tahukah anda, packaging yang menarik mampu meningkatkan jualan? Ini kerana melalui daya tarikan packaging sesuatu produk, pembeli mudah terpengaruh untuk mendapatkan produk tersebut. Apatah lagi jika mempunyai reviu yang positif terhadap produk yang dijual.
Sebagai contoh, jenama fesyen Saoi yang menitikberatkan aspek packaging telah berjaya menjual koleksi kasut tumit tinggi wanita iaitu Lola dan Poppy Collection yang merangkumi sebanyak 14 warna. Hasilnya jualan kasut jenama ini telah sold out dalam masa sehari jualan berlangsung.
Menurut pengasas jenama Saoi, Cik Wan Nur Syaira, Saoi bukan sahaja mementingkan kualiti produk yang dijual namun turut mengambil kira perihal packaging. Menjelang Ramadan, jenama ini mengeluarkan dua koleksi kasut iaitu Lola dan Poppy.
Mempertaruhkan 14 himpunan warna menarik, Saoi turut memberikan packaging luar biasa kepada pembelinya. Ternyata taruhan ini berjaya lantas memberikan pulangan besar kepada empunya jenama ini. Ramai pembeli memuji kualiti koleksi kasut tumit tinggi dan packaging kasut Lola serta Poppy yang membuatkan Saoi terpaksa menambah stok secepat mungkin. Malah Saoi membuka ruang untuk preorder kerana terlalu banyak permintaan.
Apa Strategi Packaging Saoi Sehingga Mampu Menarik Perhatian Pelanggan?
Mari kita teliti apakah yang dilakukan oleh Saoi melalui strategi packaging mereka. Barangkali ada jenama yang hanya mementingkan kualiti produk sehingga terlupa kepada peri pentingnya packaging.
1) Penyelidikan Pasaran
Packaging adalah first impression. Justeru anda perlu tahu kepada siapa packaging itu ditujukan. Siapakah yang akan melihat dan berasa kagum dengan packaging tersebut? Lebih baik untuk mula menyelidik siapa yang sebenarnya akan melihat packaging produk iaitu pelanggan.
Siapakah mereka? Apa yang mereka suka? Apa yang mereka mahu daripada jenama?
Jika anda mempunyai belanjawan untuk menjalankan penyelidikan pasaran dengan kumpulan pengguna, adalah sesuai untuk mula sekarang.
Mengetahui apa yang khalayak sasaran anda inginkan daripada produk anda akan memberi anda idea cara memilih design packaging anda. Adakah anda jenama mesra alam? Prospek ingin packaging produk yang mencerminkan perkara ini kerana mereka mengambil sikap itu kepada pilihan pembelian mereka yang lebih luas.
Sebagai contoh, Saoi membuat kasut tumit tinggi yang dibungkus dalam kadbod kitar semula untuk mencerminkan pendirian mesra alam mereka. Hal ini menarik perhatian pengguna yang suka kasut cita rasa orang muda namun tetap mementingkan isu alam sekitar.
2) Kreativiti
Kreatif itu subjektif namun sesuatu perkara yang mempunyai elemen kreativiti yang tinggi tetap mampu menarik perhatian. Design packaging yang kreatif dan menarik adalah kunci utama untuk menjadikan packaging anda kelihatan unik di pasaran. Pertimbangkan elemen seperti bentuk, warna dan corak yang mencerminkan identiti jenama anda. Design yang kreatif boleh membezakan produk anda daripada pesaing.
Sebagai contoh, Saoi menggunakan warna feminin iaitu merah jambu pada kotak kasutnya. Hal ini untuk menonjolkan ciri-ciri kewanitaan jenama kasut tersebut. Tulisan yang tebal (bold) dengan reka bentuk yang mudah dibaca menarik perhatian prospek untuk mengenali lebih dekat jenama tersebut.
3) Kualiti
Pernahkah anda beli kasut namun kotaknya mudah kemek? Apa perasaannya?
Packaging yang mudah rosak menjejaskan perasaan pelanggan. Membeli kasut baru tetapi kotaknya tidak berkualiti boleh jadi punca pembeli tidak akan beli lagi produk anda. Hal ini menunjukkan seolah-olah itu produk murahan sehingga tiada class untuk memilikinya.
Pembungkusan berkualiti ialah perbezaan antara pelanggan menggunakan produk anda sekali dan kembali untuk mendapatkan lebih banyak lagi. Jika anda mempunyai pembungkusan yang rosak atau defect apabila pelanggan mengambilnya atau menggunakannya pada kali pertama, mereka mungkin tidak akan repeat order.
Lebih baik jika anda bukan sahaja menitikberatkan kualiti malah turut menambah nilai terhadap packaging produk anda.
Sebagai contoh, Saoi meletakkan tali di kotak kasut. Tali ini bukan diletakkan suka-suka namun untuk menambah nilai terhadap packaging kasutnya. Tali ini membolehkan pembeli membawa kasut yang dibeli di dalam kotak Soai tanpa perlu menggunakan sebarang plastik. Kotak kasut ini boleh dibawa seperti anda membawa beg tangan.
4) Inovatif
Mencipta design packaging produk inovatif bermakna benar-benar berfikir di luar kotak. Bagaimanakah produk anda berbeza daripada produk lain di pasaran? Ini tentang mencipta buzz atau wow factor dengan produk anda. Pada zaman media viral, anda mesti mahu produk anda diperkatakan di atas talian.
Inovatif bermaksud sesuatu yang baru diperkenalkan. Justeru anda sebagai pemilik produk perlu bijak mencari idea untuk menghasilkan packaging yang berinovatif supaya jadi lain berbanding produk yang ada di pasaran.
Dengan memberikan tumpuan kepada aspek-aspek ini, anda boleh mencipta design packaging yang bukan sahaja menarik perhatian tetapi juga memberikan pengalaman positif kepada pelanggan. Packaging yang baik tidak hanya melibatkan estetika visual tetapi juga menyampaikan nilai dan identiti jenama anda kepada pengguna.
Misalnya, Saoi mengambil inspirasi daripada gaya fesyen yang sedang menular di media sosial, “Coquette Aesthetic” untuk mengeluarkan produk mereka bersempena Hari Raya Aidilfitri. Sudah tentu ramai wanita di luar sana tertarik dengan elemen feminin, reben dan romantis lantas ingin menggayakan produk Saoi pada pagi raya nanti.
Kesimpulannya, semakin cantik packaging yang dipamerkan, produk anda semakin mendapat perhatian. Pandangan pertama atau first impression sangat penting supaya pembeli tertarik sehingga mahu lebih mengenali produk anda.