Apabila bercakap soal storytelling, satu perkara yang boleh membantu storytelling anda bertambah menarik adalah sensory language. Hal ini kerana anda menggunakan keseluruhan deria yang dimiliki oleh manusia iaitu penglihatan, pendengaran, rasa, sentuhan dan bau.
Apa manfaatnya menulis menggunakan sensory language ini? Tidak lain dan tidak bukan adalah menjadikan penulisan storytelling anda bertambah sedap dibaca. Ini kerana anda memanfaatkan segala deria yang dimiliki oleh manusia.
Sensory language menjadikan seorang penulis itu dapat menjelaskan sesuatu situasi itu dengan lebih jelas. Hal ini menjadikan pembaca boleh membayangkan dan meneroka dengan lebih mendalam melalui pembacaan.
Malah, sensory language juga membantu pembaca lebih mengenali karakter dalam storytelling yang ditulis. Hal ini lebih-lebih lagi jika storytelling dalam novel. Novelis sangat perlu untuk menulis perincian mengenai watak yang ada. Kegagalan novelis sedemikian menjadikan storytelling anda bagaikan ada kekurangan.
CONTOH SENSORY LANGUAGE
UNTUK MENCERITAKAN SUASANA
Ayat biasa:
Bunga di taman itu cantik.
Sensory Language:
Sebuah taman bunga di kaki gunung dengan aliran sungai jernih menambah nyaman suasana, dipenuhi mawar merah jambu yang lembut kelopaknya, pabila disentuh terbit haruman menyegarkan di udara.
UNTUK MENCERITAKAN KARAKTER
Ayat biasa:
Rambut Puteri Ayu sangat cantik kejadiannya.
Sensory Language:
Puteri Ayu orangnya tinggi, berambut panjang sampai ke pinggang. Dayang-dayang istana selalu menyisir rambut tuan puteri dengan minyak kelapa yang dicampur tujuh jenis bunga. Hitam berkilat rambut itu, lembut dan tersusun rapi apabila dijalin. Malah rambut itulah yang menjadi kebanggaan tuan puteri kerana rambut itu sangat cantik dan harum baunya memenuhi ruang istana.
UNTUK MENCERITAKAN RASA
Ayat biasa:
Kuih karipap itu sedap.
Sensory language
Karipap itu nampak gemuk. Tentu saja intinya banyak. Ya betul, apabila digigit, ternyata penuh intinya memenuhi perut karipap itu. Bau karipap itu digoreng pun sudah cukup membuka selera. Kulit karipap rangup. Intinya kentang dan cita rasanya pedas-pedas beraroma kari membuatkan rasanya bertambah enak. Oh, ada juga terselit suku biji telur ayam menambah keenakan karipap ini.
Kesimpulannya, menulis menggunakan sensory language sangat berkesan untuk memberikan pengalaman pembacaan yang lebih terperinci kepada pembaca. Tanpa menyentuh mana-mana deria pembaca, maka pembacaan itu sekadar membaca sahaja tanpa dapat membayangkan dalam pemikiran.