Strategi Letak Harga Bisnes, Ini 5 Taktik Harga Yang Usahawan Patut Tahu

Bukan main-main, tapi isu menetapkan harga adalah satu isu yang perlu diberi perhatian oleh usahawan. Ini kerana harga juga boleh memberikan kesan psikologi kepada pelanggan sebelum membuat tindakan untuk beli atau tidak.

Melalui beberapa penyelidikan ringkas, terdapat lima bentuk harga yang seseorang usahawan perlu teliti sebelum meletakkan harga bagi produk atau servis anda.

1) TEKNIK HARGA PENAMBAT

Harga penambat adalah harga yang ditetapkan pada satu-satu produk atau servis dengan lebih rendah berbanding harga asal. Sebagai contoh, anda mempunyai satu produk tudung yang bergemerlapan dengan manik hiasan dan tudung itu bernilai RM100 sehelai.

Kemudian, anda memberitahu kepada pelanggan yang anda mempunyai satu lagi tudung dengan rekaan sama. Cumanya tudung itu tidak terlalu bergemerlapan dengan manik hiasan. Harganya pula lebih rendah iaitu RM59 sahaja untuk sehelai.

Menjual tudung pun ada taktik letak harga.

Psikologinya di sini adalah, pelanggan lebih tertarik untuk membeli tudung berharga RM59 kerana ianya lebih ringkas tanpa sarat dengan manik hiasan dan juga kerana harganya lebih rendah berbanding tudung yang berharga RM100 tadi.

Jika pelanggan tidak melihat tudung yang berharga RM100 tu, kemungkinan besar kecenderungan mereka untuk membeli tudung bernilai RM59 itu tidak begitu tinggi.

Strategi harga penambat amat sesuai untuk perniagaan yang menawarkan pelbagai variasi berasaskan produk teras. Misalnya tudung. Produk teras anda adalah tudung dan setiap tudung ada rekaan yang pelbagai dengan harga berbeza.

2) TEKNIK HARGA PESONA

Teknik ini dinamakan pesona kerana mampu mempesona pelanggan dengan harga yang berakhir dengan angka ganjil 99. Misalnya, RM199, RM99.99 atau RM299. Ada data menunjukkan bahawa jurujual lebih mudah close sale apabila produk jualannya berharga sedemikian berbanding harga yang digenapkan misalnya RM200, RM90 atau RM1,000.

Harga RM200, lebih baik dijadikan RM199. Manakala harga RM90 lebih baik ditulis RM89. Begitu juga dengan harga RM1,000 lebih baik ditulis RM999.

Perniagaan yang disarankan menggunakan teknik Harga Pesona adalah perniagaan bukan mewah yang boleh bermain dengan harga. Misalnya sebuah ebook dijual pada harga RM9.99 dan produk itu kelihatan begitu menjimatkan kerana tidak sampai pun RM10. Perbezaan satu sen memberikan kesan besar kepada psikologi pelanggan.

Ebook yang dijual pada harga RM9.99 selalunya mendapat pilihan pelanggan kerana dirasakan murah.

Teknik harga pesona tidak berkesan jika anda menjual produk mewah. Ini kerana produk mewah mempunyai satu daya tarikan yang lain dan harga bukan isunya bagi produk mewah itu.

3) HARGA GENAP GANJIL

Variasi kopi selalunya orang lebih tertarik kepada yang jenis premium.

Permainan teknik genap ganjil adalah merujuk kepada harga yang berakhir dengan angka ganjil iaitu 1, 3, 5, 7 dan 9. Misalnya RM20.50 untuk sebuah buku panduan keluaran terbaharu sebuah syarikat penerbitan buku.

Misalnya, anda mempunyai dua jenis minuman yang lebih kurang sama kopi. Satu jenis kopi, anda jual pada harga RM20.50 sekotak berisi 10 peket. Manakalaa satu jenis kopi lagi, anda jual pada harga RM40.00 sekotak berisi 10 peket atas nama kopi premium.

Harga genap ganjil menjadikan produk itu nampak lebih murah manakala harga genap menampakkan produk itu lebih premium. Orang ramai secara tidak langsung tertarik untuk membeli produk yang dijual pada harga genap kerana nampak lebih eksklusif. Ini menunjukkan, harga genap ganjil boleh mewujudkan persepsi nilai yang diingini terhadap produk anda.

4) HARGA UMPAN

Jika anda cenderung hendak mengarahkan pelanggan membeli pakej yang anda mahukan, gunakan teknik harga umpan. Misalnya, anda mempunyai buku versi cetak dan versi digital. Anda mahu pelanggan membeli kedua-dua versi untuk lebih jualan kepada syarikat.

Jualan combo buku cetak dan buku digital perlu nampak berbaloi supaya orang tidak teragak-agak untuk mendapatkan kedua-duanya dalam satu harga menarik.

Justeru, cuba buat begini:
Pakej 1 (buku digital sahaja) RM39.90
Pakej 2 (buku cetak sahaja) RM79.90
Pakej 3 (combo buku digital dan cetak) RM79.90

Dalam teknik ini, anda sebenarnya mahu menjual buku cetak secara besar-besaran. Buku digital adalah suplemen yang menjadikan produk anda lebih tinggi nilainya. Dengan tawaran sebegini, pilihan membeli buku cetak sahaja adalah pilihan yang merugikan. Manakala, pilihan pakej 1 pula adalah tidak berbaloi kerana hanya tinggal tambah beberapa ringgit sahaja, anda boleh memiliki buku cetak juga berbanding buku digital sahaja.

Mahu tidak mahu, pembeli akan memilih pakej 3 kerana ianya lebih berbaloi dan nampak lebih bijak. Anda hanya perlu memasukkan harga paling rendah tetapi itulah pilihan yang sangat tidak menarik.

5) TEKNIK HARGA PENTAS UTAMA

Teknik harga pentas utama adalah perumpamaan centre of attraction yang lazimnya berada di tengah-tengah pentas. Justeru, anda boleh senaraikan harga yang sangat menarik pada senarai harga yang anda tawarkan.

Harga mahal diletakkan di bahagian atas. Harga rendah diletakkan di bahagian bawah. Manakala harga paling menarik diletakkan di tengah-tengah. Biasanya, pelanggan akan memilih harga yang di tengah-tengah. Itulah maksudnya teknik harga pentas utama.

Kesimpulannya, sebelum meletakkan harga, kaji dahulu psikologi pelanggan anda. Berikan apa yang mampu menarik perhatian pelanggan sehingga pelanggan bertindak membeli produk kita.