Cabaran Penulis Tahun 2024: Jadi Penulis Original, Bukan Copy Paste

Sedar tak sedar, Januari 2024 semakin hampir ke penamatnya. Jika anda seorang penulis, apa agaknya cabaran yang perlu anda hadapi pada hari ini? Kemunculan pelbagai bentuk konten di internet dan juga aplikasi misalnya Chat GPT menjadikan banyak konten boleh diakses. Hal ini menyebabkan penulis cenderung terikut-ikut konten yang ada di pelbagai platform lain. Maka di manakah keaslian penulisan tersebut?

Kebanjiran website, portal dan juga e-book dapat dilihat kebanyakan penulisan tersebut ada persamaan. Rujukan menjadi amat mudah. Hanya dengan menaip kata kekunci di enjin carian Google, nah, bersusun bahan bacaan boleh diperoleh. 

Penulis menjadi malas untuk mencari bahan yang berbeza kerana hanya mahu cepat siap. Apatah lagi dengan adanya Chat GPT, pelbagai bentuk idea penulisan boleh diberikan hanya dengan kita menaip arahan kepadanya.

Mudah sungguh kerja seorang penulis, kan?

Dalam keadaan amat mudah ini, sebenarnya ada sesuatu yang mahal dalam diri penulis iaitu keasliannya. Penulis yang mampu memberikan sesuatu yang berbeza berbanding penulis lain, itulah nilai yang amat tinggi dalam diri seseorang penulis.

BAGAIMANA JADI PENULIS YANG ORIGINAL?

Original atau asli bermaksud sesuatu yang asal. Penulis perlu mampu memberikan gaya penulisan mengikut idea asal penulis itu sendiri. Boleh sahaja dapatkan rujukan daripada mana-mana pembacaan, namun keupayaan penulis itu menggarap kembali konten itu mengikut acuan kebijaksanaannya, itulah yang membezakan antara dirinya dengan penulis lain.

Modachi berikan 3 cara untuk jadi penulis yang original.

CARA 1 – Ayat

1) Bina ayat sendiri tanpa terikut-ikut dengan ayat yang ada di pelbagai platform berkaitan konten, adalah cara paling baik. Memanusiakan ayat-ayat daripada rujukan anda.

Sebagai contoh, jika anda menggunakan khidmat Google translate, anda perlu membacanya kembali sebelum mengambil ayat tersebut untuk dijadikan konten anda. Ada ayat yang diterjemahkan secara langsung sehingga ‘lari’ daripada maksud asal. 

CARA 2 – Tambah Nilai

2) Bina konten tanpa terikut-ikut konten yang telah ada. Tambah nilai konten anda dengan idea sendiri. Idea sendiri boleh didapati daripada pengalaman, pemerhatian dan pembacaan. Anda perlu cari konten sendiri mengikut pemahaman anda.

Contohnya, jika anda mencari informasi mengenai penyusuan bayi. Kaitkan informasi yang anda peroleh daripada Internet dengan informasi yang datangnya daripada anda sendiri melalui pengalaman menyusukan bayi. Jika anda tidak pernah menyusukan bayi, gunakan pengalaman insan terdekat anda. Ini barulah idea original.

CARA 3 – Kefahaman

3) Keaslian penulisan adalah apabila anda sebagai penulis menulis apa yang anda faham. Jika tidak faham sesuai isu, fahamkan dahulu, kemudian barulah menulis mengenainya. Jika anda masih tidak faham, anda perlu banyakkan membaca. Kemudian barulah anda mampu menghasilkan penulisan yang jitu. Bukannya masih meraba-raba dalam kegelapan dan tidak tahu hujung pangkal.

Kesimpulannya, cabaran pada tahun 2024 ini adalah pembaca mencari konten yang original dan dihasilkan oleh penulis yang original. Mereka tahu konten yang hanya copy paste melalui laman web lain atau aplikasi seperti Chat GPT. Tidak salah untuk menggunakan kemudahan teknologi namun gunakan dengan bijak dan kekalkan keaslian anda. 

Buku PROWRITER untuk jadi penulis profesional

Anda ingin menjadi penulis profesional tetapi tiada panduan? Kini ada buku panduan untuk jadi penulis profesional melalui pembacaan buku PROWRITER. Dapatkan sekarang. Klik sini –> (BUKU PROWRITER)