Mempunyai produk berjenama sendiri barangkali impian ramai individu yang ingin bergelar usahawan. Apatah lagi jika produk itu mendapat sambutan hangat daripada pengguna. Sudah pasti hal ini memberi kesan baik kepada jenama anda, bukan?
Pun begitu, setakat mana produk jenama anda itu boleh kekal di pasaran dengan reputasi yang baik?
Cubalah ambil iktibar daripada kisah telefon bimbit jenama Nokia. Produk ini pernah terkenal dan sangat hebat pada suatu masa dahulu di Malaysia. Tahun 1999 hingga awal tahun 2000, Nokia menjadi kegilaan ramai terutamanya siri Nokia 3210 dan Nokia 3310.
Jenama telefon bimbit dari Finland itu dikatakan diasaskan sejak 1865. Namun pada hari ini, di manakah Nokia jika dibandingkan dengan Sambung, Huawei dan Apple.
Ada banyak faktor yang menyebabkan sesebuah jenama itu boleh jadi hilang dari pasaran. Nah, kami berikan senarainya.
1) TIDAK SEIRING KEPERLUAN PASARAN
Keperluan pelanggan terhadap sesebuah produk adalah berubah-ubah. Justeru anda perlu membuat dan mengemas kini produk anda seiring dengan keperluan pasaran. Kegagalan anda berbuat demikian menjadikan produk anda ketinggalan zaman. Lama kelamaan, pengguna akan beralih kepada produk yang lebih terkehadapan.
2) PELAN PEMASARAN LAPUK
Setiap produk mempunyai pelan pemasaran tersendiri sesuai dengan target market dan jenis produknya. Satu strategi tidak semestinya boleh digunakan sepanjang masa. Ada masanya pelan pemasaran itu perlu diubah mengikut keperluan.
3) KUALITI PRODUK TIDAK CEMERLANG
Produk yang bertahan lama di pasaran selalunya adalah produk yang berkualiti tinggi. Tanpa kualiti yang cemerlang, produk anda semakin lama semakin kehilangan pelanggan. Pelanggan sedia ada pun pasti akan meninggalkan jenama anda kerana beralih kepada produk yang lebih bagus.
4) KALAH DENGAN PESAING
Persaingan adalah satu perkara yang bagus. Justeru, cubalah berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan pesaing anda. Mungkin juga menjadi lebih baik berbanding pesaing. Anda tidak boleh kalah dengan pesaing kerana hal ini memberikan ruang yang besar untuk pesaing jadi lebih berjaya dan mencuri pelanggan anda.
5) KEWANGAN BERMASALAH
Dalam berbisnes, faktor kewangan amat penting. Jika kewangan syarikat anda berada dalam masalah, anda perlu cepat-cepat menyelesaikannya. Kegagalan anda membawa syarikat dalam keadaan yang kukuh, boleh membawa malapetaka. Masalah kewangan boleh menyebabkan anda sukar untuk menjalankan kerja-kerja R&D produk anda, sukar untuk membuat kerja pemasaran.
Kesimpulannya, lima faktor di atas boleh menyebabkan syarikat anda lingkup sekali gus produk anda hilang dari radar. Justeru, jangan ambil remeh lima faktor ini supaya jenama anda kekal di ingatan dan menjadi teman setia seluruh rakyat Malaysia.