Nak Jadi Content Creator Yang Berwawasan? Ini Kriteria Perlu Anda Ada

Pada hari ini, ramai yang bercita-cita menjadi terkenal melalui penampilan di media sosial. Malah tidak hairanlah apabila ada anak muda yang menjangkakan tidak perlu berpendidikan tinggi. Hanya perlu rajin membuat content di media sosial, boleh jadi popular malah kaya-raya.

Dari segi pendapatan, ya, barangkali anda boleh capai jumlah pendapatan yang anda inginkan. Namun, dari segi tempoh masa, adakah anda mampu mengekalkan populariti anda dalam jangka masa panjang? Dibimbangi jika pada satu peringkat, anda langsung tiada pendapatan lagi.

Justeru, untuk menjadi content creator berwawasan, kami sarankan beberapa perkara yang anda perlu ada.

1) KREATIF DAN ASLI

Ramai content creator yang terkenal disebabkan video mereka yang menonjolkan ciri kreatif dan asli. Mereka bijak memilih content yang boleh menarik perhatian pengguna media sosial sekali gus mampu membuat mereka cepat popular.

Sekadar contoh, content creator di aplikasi TikTok, Ryan Bakery cukup terkenal selepas membuat content yang mengimbau zaman kanak-kanak pada tahun 1990-an dahulu. Hal ini membuatkan Ryan cepat popular sebagai content creator.

Sumber: TikTok

Justeru, anda perlu bijak memilih content yang kreatif dan ada ciri-ciri keaslian. Maksudnya bukan content yang meniru-niru content orang lain. Itulah maksudnya kreatif dan asli.

2) CEKAL DAN DISIPLIN   

Dikecam warganet atau netizen adalah lumrah apabila bergelar content creator. Itulah yang perlu anda hadapi. Di samping tertekan dengan segala kecaman, anda tetap perlu disiplin menghasilkan content yang menarik untuk mengisi media sosial anda.

3) SEDIA PERBAIKI

Pengisian content sentiasa memerlukan penambaikan. Ya, memang ada kalanya anda kehabisan idea untuk membuat content. Itulah cabarannya. Jadi anda perlu sentiasa bersikap terbuka untuk menerima pandangan daripada khalayak ramai dan juga belajar untuk memperbaiki content pada masa akan datang.

4) JUJUR

Dalam content anda, jadilah diri anda sendiri. Jangan cuba jadi orang lain kerana ianya boleh membuatkan anda penat dan keliru dengan content yang anda sendiri perlu hasilkan. Menjadi jujur lebih mudah untuk jangka masa panjang.

5) SENTIASA BERSEMANGAT

Bukan mudah untuk berjaya sebagai seorang content creator. Anda perlu membuat skrip sendiri, merencana jalan cerita, merakam video, menyunting video dan segalanya. Satu proses yang lama dan memenatkan. Justeru anda perlu ada semangat yang tinggi. 

Lihat sahaja Khairul Aming, seorang content creator masakan. Semangat beliau sangat kuat sehingga mampu mempunyai studio masak dan team sendiri untuk membantu beliau menghasilkan content masakan yang sentiasa disukai oleh pengikutnya.

Sumber: TikTok

Sudah bersedia untuk bergiat dalam bidang mencipta kandungan?