Visi, misi dan objektif (VMO) adalah elemen yang amat penting dalam pembangunan sesebuah organisasi. Justeru, jika pemilik organisasi mengabaikan tiga elemen ini, tidak mustahil organisasi itu akan terkapai-kapai perjalanannya kerana tiada hala tujuan.
VMO sebenarnya adalah ibarat papan tanda yang menunjukkan arah laluan. Tanpanya, organisasi akan kurang berkesan dan tidak mustahil menuju kejatuhan. Ada banyak situasi yang boleh menyebabkan organisasi itu mudah goyah sehingga akhirnya rebah.
Apabila sesebuah organisasi itu ditubuhkan, pemiliknya perlu jelas mengenai visi, misi dan objektif penubuhan. Sesebuah organisasi tidak boleh ditubuhkan sekadar suka-suka. Ini perbuatan sia-sia.
KENALI APA ITU VISI?
Visi boleh dianggap sebagai panduan utama. Apabila sesebuah organisasi jelas dengan visinya, setiap individu dalam organisasi itu akan mudah nampak apa yang ingin dicapai. Maka, segala tindakan mereka lebih terancang dan berada dalam landasan yang betul.
Visi menyatakan keinginan jangka masa panjang yang hendak dicapai.
Dalam erti kata lain, visi memberikan inspirasi kepada setiap individu dalam organisasi. Visi perlu diterangkan kepada setiap ahli baru yang masuk ke dalam organisasi. Malah visi juga perlu sentiasa diingatkan kepada individu yang telah lama dalam organisasi tersebut.
Sebagai contoh, cuba perhatikan contoh di bawah.
SYARIKAT: Buku ABC Sdn Bhd
PERNIAGAAN: Penerbit buku
VISI: Menjadikan rakyat Malaysia sebagai golongan insan yang suka membaca dan berpengetahuan luas.
APA ITU MISI?
Misi pula adalah kenyataan yang menghuraikan teras yang digunakan dalam organisasi untuk mencapai visi organisasi tersebut. Malah, dalam misi juga menyebut mengenai tujuan organisasi ditubuhkan dan siapa yang bermanfaat dengan kewujudan organisasi tersebut.
Sebagai contoh, cuba perhatikan contoh di bawah.
SYARIKAT: Buku ABC Sdn Bhd
PERNIAGAAN: Penerbit buku
VISI: Kami komited menjadi penerbit buku unggul dalam negara demi memastikan setiap golongan rakyat Malaysia pelbagai lapisan usia mendapat bahan bacaan berkualiti tinggi.
APA ITU OBJEKTIF?
Objektif adalah sesuatu yang boleh diukur. Dalam objektif, organisasi perlu jelas dengan langkah-langkah khusus yang membawa organisasi lebih dekat untuk mencapai visi dan misi. Secara mudahnya, objektif memudahkan organisasi mencapai matlamat jangka masa pendek dan jangka masa panjang.
Sebagai contoh, cuba perhatikan contoh di bawah.
SYARIKAT: Buku ABC Sdn Bhd
PERNIAGAAN: Penerbit buku
OBJEKTIF: Menerbitkan 10 judul buku bacaan dewasa dan 10 judul bacaan kanak-kanak setiap bulan secara konsisten selama enam tahun bermula dari tahun 2024 hingga 2030.
5 Sebab Kenapa Perlu Jelas Dengan VMO?
Modachi berikan lima sebab mengapa sebagai individu dalam organisasi, anda perlu jelas dengan VMO.
- Jelas dengan hala tuju syarikat.
- Memahami perjalanan syarikat.
- Mengenal pasti sasaran atau audien yang perlu didekati.
- Tahu perkara yang perlu difokuskan dan ditinggalkan.
- Menjadi individu yang bermanfaat dalam organisasi.
Kesimpulannya, melalui VMO, setiap individu dalam organisasi sepatutnya telah jelas dengan hala tuju organisasi yang diwakilinya. Memahami VMO dengan jelas menjadikan kita sebagai individu bermanfaat dalam syarikat.