Pemasaran Ikut Geografi, Kenal Pasti Prospek Di Sekitar Anda

Ada kalanya, kita sibuk sangat hendak meluaskan pasaran kepada pelanggan di seluruh negara sehingga terlupa kewujudan pelanggan di sekitar kawasan kita. Ini merupakan satu kesilapan besar bagi seorang peniaga.

Cuba perhatikan keadaan sekeliling. Kenal pasti prospek yang ada. Hal ini memudahkan anda mendekati mereka. Malah lebih mudah untuk anda membina pelanggan setia kerana anda berada dekat dengan mereka.

GEO-TARGETING

Secara mudahnya, method pemasaran geo-targeting adalah merujuk kepada strategi pemasaran yang fokus kepada kelompok tertentu mengikut lokasi. Contohnya, anda berniaga di Besut, Terengganu. Justeru konten pemasaran anda fokus kepada masyarakat yang berada di kawasan ini sahaja. Hal ini termasuklah corak bahasa, gaya berpakaian dan elemen tradisi seperti muzik.

Objektif utama pemasaran geo-targeting adalah untuk menghasilkan konten pemasaran bagi kelompok tertentu bagi mendapatkan respon lebih baik berbanding di kawasan lain.

1) LOKASI

Jika menggunakan iklan berbayar di media sosial, boleh masukkan lokasi mengikut informasi kedudukan pengguna berpandukan lokasi tertentu. Penggunaan GPS yang tepat memberikan kesan lebih baik kepada iklan anda untuk ditonton oleh kelompok sasaran.

2) BAHASA

Penggunaan bahasa atau dialek tempatan kawasan tertentu juga memainkan peranan dalam iklan yang dibuat. Sebagai contoh, orang di Terengganu mempunyai dialek atau bahasa daerah mereka yang tersendiri. Kejayaan anda membuat iklan menggunakan dialek tersebut dengan betul, dapat menarik perhatian kelompok sasaran.

3) KONTEKS BUDAYA

Apabila anda ingin fokus membuat pemasaran geo-targeting, jangan lupa perihal konteks budaya. Misalnya, masyarakat di Terengganu mempunyai kehidupan sebagai nelayan, pembuatan batik, permainan gasing, seni tarian Ulek Mayang dan juga makanan seperti nasi dagang.

Justeru jika anda menghasilkan iklan yang mempunyai elemen-elemen di atas, maka iklan anda akan dirasakan amat dekat dengan kelompok sasaran. 

Kesimpulannya, dekatilah prospek yang berada berhampiran anda terlebih dahulu. Apabila kedudukan jenama anda sudah semakin kuat di tempat sendiri, barulah anda pikat prospek yang berada jauh. Banyak strategi pemasaran yang boleh dibuat untuk masyarakat di sekitar anda. Mungkin kosnya juga lebih rendah.

Salah satu strategi pemasaran setempat adalah menggunakan billboard. Baca artikel mengenai pemasaran ini di sini.