Padah Abaikan Strategi Pemasaran Media Sosial Kepada Usahawan PMKS

Media sosial adalah platform pemasaran yang berpengaruh. Justeru alangkah ruginya jika peniaga mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tidak memanfaatkan media sosial dalam strategi pemasaran mereka. Malah, hal ini boleh memberikan kesan buruk kepada perniagaan PMKS itu sendiri.

Terdapat beberapa aspek yang merugikan peniaga PMKS jika anda mengabaikan pemasaran di platform media sosial. Ini kerana terdapat banyak peluang yang bakal anda peroleh melalui media sosial.

Hanya dengan mengisi konten yang menarik dan berstrategi, media sosial anda boleh jadi satu senjata pemasaran yang kukuh. Banyak syarikat besar yang agresif dengan konten-konten menarik di media sosial mereka.

Dalam rencana ini. Modachi berikan lima aspek yang merugikan para peniaga PMKS jika anda mengabaikan pemasaran di media sosial.

1) HILANG PELUANG PERNIAGAAN

Media sosial mempunyai jutaan pengguna yang aktif setiap hari. Ini menunjukkan bahawa media sosial menyediakan platform yang luas bagi peniaga PMKS untuk mendapat lebih banyak prospek.

Jika anda mengabaikan media sosial, bermakna anda meletakkan diri anda dalam kerugian kerana melepaskan jutaan prospek yang berada dan aktif di media sosial setiap hari.

Paling buruk, anda boleh terus sendu dalam perniagaan kerana pesaing anda mendapat lebih banyak perhatian daripada pelanggan. Anda bagaikan tidak wujud dan hanya orang sekitar sahaja yang tahu mengenai kewujudan anda.

2) TIDAK RAPAT DENGAN PELANGGAN

Media sosial memudahkan untuk pemilik bisnes berinteraksi dengan pelanggan. Hal ini menjadikan perniagaan PMKS anda lebih dekat dengan pelanggan. Jika anda mengabaikan platform media sosial, anda jadi kurang penglibatan dengan pelanggan sekali gus mengurangkan kepercayaan dan tiada pelanggan setia.

Media sosial menjadikan pelanggan jadi lebih rapat dengan jenama anda.

Pelanggan setia amat penting kerana mereka menyumbang kepada pembelian berulang. Peniaga PMKS boleh meraih lebih banyak keuntungan daripada pelanggan setia. Justeru anda digalakkan aktif di media sosial supaya lebih ramai pelanggan menjadi pelanggan setia.

3) KURANG FAHAM PEMASARAN

Melalui media sosial, anda boleh dapatkan data mengenai kecenderungan pelanggan. Ini menunjukkan media sosial bukan sahaja untuk berinteraksi bersama pelanggan tetapi juga tempat mendapatkan database.

Tanpa database, anda tidak begitu memahami corak pelanggan anda sendiri. Justeru, melalui media sosial, anda boleh tahu siapa pelanggan anda dengan lebih dekat. Kebaikannya, anda boleh membuat keputusan perniagaan dengan lebih tepat. Jika anda mengabaikan media sosial pula, anda sukar membuat keputusan yang tepat untuk perniagaan anda.

4) IKLAN TIDAK BERFOKUS

Peniaga PMKS mungkin beranggapan iklan di akhbar adalah satu hal terbaik dalam perniagaan. Ya, itu bukanlah salah. Ini kerana iklan di akhbar boleh menaikkan kredibiliti organisasi anda.

Iklan di media sosial lebih strategik kerana anda mempunyai database yang kukuh mengenai pelanggan sasaran.

Pun begitu, iklan di media sosial boleh jadi lebih berfokus kepada ciri-ciri pelanggan yang anda sasarkan. Database daripada media sosial menjadikan iklan lebih fokus kepada sasaran dan lebih mudah untuk bertukar menjadi jualan.

Justeru, jika anda mengabaikan pemasaran di platform media sosial, anda mungkin tidak akan dapat iklan yang mudah untuk berjaya kerana iklan yang dibuat tidak bersasar.

5) PRESTASI PERNIAGAAN MEROSOT

Prestasi perniagaan adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian. Prestasi ni boleh dinaikkan dengan adanya konsistensi dalam membuat konten di media sosial. Perniagaan PMKS yang tidak cakna dalam hal ini boleh menghadapi cabaran yang lebih besar dalam mengekalkan keuntungan dan keberkesanan operasi.

Dengan konsisten memuat naik konten berkualiti di media sosial, anda sebenarnya telah membantu perniagaan anda menemui prospek baru dan mengekalkan pelanggan sedia ada sekali gus mengembangkan prestasi perniagaan anda sendiri.

Kesimpulannya, manfaatkanlah media sosial untuk menjadikan perniagaan PMKS anda relevan mengikut peredaran zaman. Jangan jadikan perniagaan anda semakin hilang dari radar hanya kerana anda tidak endahkan pentingnya pemasaran menggunakan media sosial.