Bagaimana Influencer Boleh Pengaruh Keputusan Pengguna?

Apabila mempunyai perniagaan, sudah pasti anda terfikir soal pemasaran. Pada hari ini, selain iklan tradisional, penggunaan influencer juga boleh dijadikan pilihan. Influencer mempunyai pengikut yang ramai di media sosial mereka menjadikan apa-apa sahaja yang dimuat naik ke platform tersebut, mendapat respon memberangsangkan daripada kelompok tersebut.

Faktor Yang Mempengaruhi Keputusan Pengguna

1) KREDIBILITI INFLUENCER

Lebih tinggi kredibiliti seseorang influencer itu, maka lebih tinggilah peratusan pengguna membuat tindakan selepas melihat iklan yang disiarkan. Kredibiliti selalunya dilihat dari segi pengetahuan influencer itu terhadap produk yang diwakilinya.

Maksudnya, jika anda membuat perniagaan pakaian, carilah influencer yang mempunyai pengetahuan dalam fesyen. Dari situ kredibiliti influencer boleh meyakinkan pengguna.

2) TIDAK NAMPAK DIBUAT-BUAT

Kandungan menarik dan tidak dibuat-buat menjadikan influencer lebih diyakini.

Umum mengetahui reviu seseorang influencer sememangnya dibayar oleh syarikat atau individu yang mengupahnya. Namun, jika terlalu nampak dibuat-buat sememangnya keputusan pengguna untuk membeli atau mendapatkan produk yang diwakilinya.

Justeru, influencer yang berkeupayaan untuk membuat reviu setelus mungkin lebih mudah mempengaruhi tindakan pengguna. Influencer perlu bijak mendekatkan dirinya dengan produk atau servis yang diwakili supaya mudah untuk pengguna beradaptasi dengannya.

3) LEBIH DIPERCAYAI BERBANDING ARTIS?

Menurut Jin et al, 2019 & Trivedi dan Sama, 2020, influencer didapati lebih dipercayai oleh pengguna berbanding artis. Ini kerana pembawaan diri seseorang influencer lebih dekat kepada pengguna berbanding artis.

Pun begitu, masih banyak data yang perlu didapatkan untuk memastikan kesahihan klausa ini. Ini kerana influencer dan artis, masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri untuk disukai dan keupayaan menarik khalayak untuk menjadikan sesuatu kempen itu berjaya.

4) KANDUNGAN MENARIK

Seorang influencer perlu bijak membuat kandungan yang menarik. Ini supaya pengguna lebih mudah mengingat reviu yang dilakukan. Lebih kreatif, maka lebih berjayalah sesebuah kempen yang dilakukan.

Kandungan yang menarik juga boleh memberikan kesan positif dan tidak mustahil menjadi satu kempen yang disebut-sebut sepanjang masa.

5) PANDANGAN KHALAYAK KEPADA INFLUENCER ITU SENDIRI

Influencer perlu lebih mesra dengan khalayak.

Seseorang influencer itu lebih mudah mempengaruhi khalayak apabila mempunyai jumlah pengikut yang ramai di media sosial. Pun begitu, walaupun ramai pengikut, khalayak lebih percaya kepada kandungan yang mempunyai banyak engagement. Misalnya like, share dan komen. 

Maksudnya, influencer itu selain aktif di media sosial, beliau perlu juga aktif menjawab komen yang diberikan oleh khalayak di media sosialnya. Justeru, semakin mesra influencer itu dengan pengguna, maka dia semakin menyakinkan.

Kesimpulannya, ada banyak faktor yang mempengaruhi pelanggan untuk membuat tindakan selepas menonton kempen-kempen yang dibuat oleh influencer. Lazimnya, faktor itu bergantung kepada seseorang khalayak tersebut. Justeru, mengambil influencer sebagai wakil kepada jenama anda bukanlah faktor utama untuk menjadikan kempen itu berjaya. Ada banyak faktor yang mempengaruhi dan pilihlah influencer yang mempunyai pengaruh terbaik demi mengukuhkan jenama anda.