5 Tip Elak Bayar Kos Gaji Berlebihan, Majikan Patut Ambil Tahu

Dengan wujudnya semakin banyak perniagaan kecil dan sederhana (SME), maka semakin ramai individu bergelar majikan. Justeru, bagi membantu melancarkan perjalanan perniagaan, anda perlu mengambil pekerja. Mereka inilah yang akan membantu membuat tugas-tugas yang diperlukan dalam bisnes anda.

Justeru, ada banyak isu timbul apabila majikan mengambil pekerja. Salah satunya isu gaji. Berapakah gaji yang perlu dibayar kepada pekerja anda supaya tiada masalah kos gaji berlebihan?

Jom ikuti panduan berikut.

1) Buat Kajian Pasaran

Sebelum mengambil pekerja untuk mengisi apa-apa jawatan, kaji dahulu jumlah gaji yang lazim diberikan. Kajian boleh dibuat melalui portal pekerjaan, agensi pekerjaan atau melalui sesi perbualan bersama rakan-rakan dalam bidang serupa.

2) Selidik Pengalaman

Pekerja dinilai melalui pelbagai sudut.

Tetapkan gaji mengikut kepada tanggungjawab yang perlu digalas dan juga pengalaman yang calon pekerja itu miliki. Semakin banyak pengalamannya dan telah terbukti melalui pengiktirafan pihak tertentu, gajinya boleh diberikan tinggi berbanding pekerja yang masih belum berpengalaman.

3) Kerja Lebih Masa Ikut Keperluan

Bagi pekerja yang masih boleh menuntut gaji kerja lebih masa, pastikan mereka menyiapkan kerja dalam waktu pekerjaan biasa. Jika benar-benar perlu barulah benarkan mereka bekerja lebih masa.

4) Faedah Tambahan

Pekerja suka kepada pelbagai faedah tambahan dan ini akan mengikat syarikat anda dengan pekerja yang sanggup memberikan perkhidmatan terbaik.

Faedah tambahan ini adalah untuk menarik pekerja yang berkualiti. Justeru anda tidak membayar gaji berlebihan kepada pekerja yang tidak sepatutnya. Biasanya pekerja akan memberikan khidmat yang terbaik kepada majikan yang memberikan lebih faedah kepada mereka. Berikan faedah misalnya insurans kesihatan, elaun perjalanan dan bonus tahunan.

5) Pantau Kos Pekerjaan

Kos pekerjaan perlu disemak semula sekurang-kurangnya setahun sekali. Tawarkan gaji mengikut syarat Jabatan Buruh dan juga kos hidup semasa. Sebagai majikan, anda perlu memastikan syarat dipenuhi.

Kesimpulannya, sebagai majikan, anda perlu memastikan jumlah bayaran gaji kepada pekerja setimpal dengan tanggungjawab pekerja dan juga mengalaman yang dia miliki. Namun, elakkan terlebih bayar gaji kepada pekerja yang kurang berpengalaman dan juga tanggungjawabnya tidak begitu besar. Kajilah terlebih dahulu keadaan pasaran dan berdoa supaya didatangkan pekerja yang benar-benar boleh membantu anda melancarkan perjalanan perniagaan anda.