Nak Buat Aktiviti Pemasaran? Ini Cara Untuk Tentukan Bajet Anda

Aktiviti pemasaran memerlukan bajet untuk direalisasikan. Justeru, anda perlu memperuntukkan bajet untuk menjalankan aktiviti pemasaran bagi perniagaan anda. Tanpa bajet, anda tidak boleh menjalankan sebarang aktiviti pemasaran dengan baik.

Ada yang menguar-uarkan aktiviti pemasaran tanpa kos. Namun sebenarnya setiap yang dikeluarkan untuk membuat aktiviti pemasaran adalah kos. Walaupun tidak melibatkan wang seperti masa dan tenaga, namun masa dan tenaga juga sebenarnya adalah kos.

Kos untuk pemasaran perlu diteliti betul-betul supaya tidak ‘bakar duit’

Bagaimana cara untuk menentukan bajet aktiviti pemasaran? Jom lihat cara-caranya.

1) Apakah Matlamat Anda?

Bajet aktiviti pemasaran boleh ditentukan melalui matlamat aktiviti tersebut. Kenal pasti matlamat anda sama ada untuk meningkatkan kesedaran jenama, meningkatkan jualan atau kedua-duanya. Jika anda jelas dengan matlamat yang ingin dicapai, lebih mudah untuk anda membuat anggaran bajet dengan berkesan.

2) Kenal Pasti Sasaran

Satu lagi cara untuk membuat anggaran bajet pemasaran adalah dengan mengenal pasti sasaran yang hendak ditujukan daripada aktiviti pemasaran tersebut. Daripada sasaran, anda boleh memahami keperluan dan kehendak mereka. Oleh itu, anda boleh menyesuaikan aktiviti pemasaran dengan sasaran yang perlu ditujukan. Laburlah bajet anda dengan sebaik-baiknya berdasarkan data yang anda peroleh melalui ciri-ciri sasaran.

3) Platform Yang Digunakan

Iklan di kaca televisyen biasanya lebih mahal berbanding dengan iklan di media sosial.

Menentu kos untuk bajet pemasaran juga bergantung kepada platform yang anda hendak gunakan. Saluran yang berbeza mempunyai kos berbeza. Sebagai contoh, pemasaran media sosial agak murah berbanding pemasaran di saluran televisyen. Justeru, kenal pasti terlebih dahulu platform yang hendak digunakan. Sesuaikan bajet dengan platform tersebut. Boleh pilih sama ada media sosial, influencer, televisyen, radio, majalah, akhbar atau papan tanda.

4) Masa

Masa juga memainkan peranan penting untuk menentukan kos yang perlu ditanggung untuk membuat aktiviti pemasaran. Biasanya, kos lebih tinggi pada waktu puncak berbanding waktu biasa. Misalnya, iklan di kaca televisyen pada waktu puncak sangat mahal berbanding waktu biasa. Waktu puncak salah satunya adalah pada pukul 8 malam.

Kesimpulannya, tetapkan bajet anda mengikut ciri-ciri yang telah disebutkan tadi. Sesuaikan aktiviti pemasaran anda mengikut bajet yang anda ada.