Selain identiti jenama dan imej jenama, ada satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian iaitu ekuiti jenama. Sebagai usahawan, anda perlu memahami bagaimana ekuiti jenama memainkan peranan penting dalam perusahaan anda.
Ekuiti jenama merujuk kepada nilai tambah yang ada pada sesuatu jenama itu. Tidak kiralah sama ada produk atau perkhidmatan, nilai ekuiti jenama boleh mengubah persepsi pengguna kepada jenama anda.
Tidak salah jika anda ingin beranggapan bahawa ekuiti jenama yang kukuh adalah aset utama dalam perusahaan. Malah ianya boleh meningkatkan kesetiaan pelanggan, kelebihan daya saing dan sekali gus meningkatkan jualan.
PENTINGNYA EKUITI JENAMA
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan sesebuah jenama itu perlu mengambil berat soal ekuiti jenama. Ini kerana nilai tambah dalam produk atau servis anda perlu dinaikkan demi menjaga banyak hal penting dalam perniagaan. Antaranya:
HARGA
Syarikat yang mempunyai kekuatan ekuiti jenama, layak untuk mengenakan harga premium kepada pelanggannya. Ini kerana kekuatan ekuiti jenama itu memberikan nilai tambah yang bukannya sedikit kepada jenama anda.
PELANGGAN SETIA
Pelanggan selalunya suka membuat pembelian berulang dari syarikat yang mempunyai ekuiti jenama yang tinggi. Pelanggan cenderung kekal dengan jenama ini kerana mempercayai kredibilitinya dan terasa dihargai.
KUKUHKAN PASARAN
Jenama yang mempunyai ekuiti kukuh, mudah untuk berkembang dalam pasaran dengan produk baru kepada pelanggan mereka telah ramai, setia dan percaya kepada apa-apa sahaja yang mereka keluarkan.
TAHAN KRISIS
Mempunyai pelanggan setia adalah satu bonus yang sangat besar. Jika syarikat anda tiba-tiba dilanda krisis, selalunya pelanggan mudah untuk melupakan krisis tersebut.
NIKE PUNYAI EKUITI JENAMA YANG KUAT
Jom kita lihat bagaimana sebuah jenama yang mempunyai ekuiti jenama yang kuat berada dalam pasaran. Modachi mengambil contoh NIKE sebagai rujukan bagi anda memahami peranan ekuiti jenama dalam mempengaruhi tindakan pengguna.
Ekuiti jenama Nike dibina berdasarkan reputasinya dalam hal-ehwal berkaitan kualiti, inovasi dan perkaitannya dengan atlet terkemuka dan acara sukan utama.
Nike selalu menyokong atlet berprofil tinggi seperti Michael Jordan, LeBron James dan Serena Williams. Hal ini menyumbang ekuiti jenama yang sangat ketara kepada jenama NIKE itu sendiri. Sokongan ini meletakkan NIKE sebagai jenama premium yang dikaitkan dengan kecemerlangan dan prestasi sukan yang baik.
Malah, tindakan NIKE yang bersungguh-sungguh terhadap reka bentuk dan teknologi produk, seperti pembangunan Air Max, mengukuhkan lagi imej NIKE sebagai peneraju dalam industri pakaian sukan.
KENAPA ANDA PERLU IKUT SEPERTI NIKE?
Sebagai usahawan yang sedang meningkat naik, mengapa anda perlukan tindakan seperti NIKE?
1) TAMPIL BERBEZA
Anda perlu bijak menyesuaikan sokongan anda terhadap mana-mana pihak. Misalnya NIKE berkaitan dengan sukan, maka sokongannya adalah terhadap atlet yang berjaya. Anda perlu bijak menyokong pihak yang sesuai dengan jenama anda untuk meningkat ekuiti jenama sekali gus tampil berbeza berbanding jenama pesaing.
Contohnya, jika anda sebuah jenama kosmetik, sokong program keterampilan yang memerlukan penampilan menarik. Hal ini mempunyai signifikan terhadap jenama anda sendiri.
2) MENAMBAH PELANGGAN
NIKE menambah pelanggan baru dan mengekalkan pelanggan lama dalam kempen pemasarannya. Justeru, jadilah seperti jenama tersebut yang kekal utuh dalam pasaran melalui kempen pemasarannya.
Kempen pemasaran anda perlu menjurus kepada sesuatu yang meyakinkan untuk menarik pengguna baru. MIsalnya, sebagai jenama kosmetik yang baik, anda perlu mencari apakah kehendak pelanggan dan sesuaikan dengan kekuatan yang anda ada supaya pelanggan baru mempercayai produk anda.
Kesimpulannya, ekuiti jenama perlu dilakukan seawal mungkin supaya durasinya dapat dipendekkan. Pun begitu, ianya perlu konsisten dan dilakukan dengan strategi tepat supaya anda tidak membuang masa dengan kempen pemasaran tidak berkesan.