PMKS Nak Kuatkan Identiti Jenama? Tiru Macam Apple Inc

Identiti jenama bukanlah satu perkara asing bagi mana-mana syarikat. Pun begitu, masih banyak syarikat kurang menyerlah dalam aspek pembinaan identiti jenama terutama syarikat kecil atau dalam konteks ekonomi disebut sebagai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Apa itu identiti jenama? Identiti jenama adalah elemen visual dan persepsi jenama yang mampu masuk ke dalam minda pengguna. Ini termasuk logo, warna dan bentuk tulisan atau font. Untuk perniagaan anda lebih sukses, anda perlu konsisten menjalankan aktiviti membangunkan identiti jenama.

Modachi meringkaskan kepentingan identiti jenama kepada empat faktor penting iaitu:

1) MEMBENTUK PERBEZAAN

Dalam satu industri, misalnya industri pelancongan, ada banyak persaingan. Justeru anda perlu jadi berbeza dan mudah diingat supaya anda menjadi pilihan utama apabila ada individu yang ingin pergi melancong. Kukuhnya identiti jenama anda menjadi faktor penting apabila ada individu yang sedang membuat pilihan untuk melancong. Tanpa identiti jenama, peluang untuk anda dipilih adalah sangat rendah.

2) KONSISTENSI MESEJ

Pengusaha syarikat perlu memastikan mesej yang disampaikan kepada khalayak sasaran adalah konsisten. Perlu ada fokus dalam mesej dan penyampaian mesej tersebut konsisten pada mana-mana platform yang digunakan dalam pemasaran dan pengukuhan identiti jenama.

3) MENINGKATKAN KESETIAAN

Kesetiaan pelanggan adalah sesuatu yang ‘mahal’ bagi sesebuah jenama.

Mendapat pelanggan setia itu adalah satu perkara yang amat membanggakan kepada mana-mana syarikat. Identiti jenama yang kukuh boleh meningkatkan peluang anda untuk mendapat pelanggan setia. Ini kerana identiti jenama membantu menyampaikan personaliti dan nilai jenama anda itu dengan baik. Sekali gus membina hubungan emosi dengan pelanggan anda.

4) MEMBENTUK KEPERCAYAAN DAN KREDIBILITI

Apabila identiti jenama anda kukuh, anda sebenarnya membentuk kredibiliti syarikat anda. Dalam masa yang sama, anda mampu meningkatkan kepercayaan pelanggan terhadap jenama anda sendiri. Apatah lagi apabila anda berjaya membentuk identiti jenama yang mesejnya kuat dan meyakinkan.

KEJAYAAN IDENTITI JENAMA APPLE INC

Apple Inc. adalah sebuah syarikat teknologi multinasional Amerika di Cupertino, California. Syarikat ini merancang, membangun dan menjual peralatan elektronik, perisian komputer. Selain itu, Apple Inc turut menawarkan perkhidmatan atas talian.

Usahawan PMKS boleh menjadikan Apple Inc sebagai panduan dalam pembinaan identiti jenama. Identiti jenama syarikat tersebut adalah rekaan minimalis, teknologi inovatif dan produk berkualiti tinggi.

Sebagai contoh; logo Apple sangat ikonik dan ringkas. Logo buah epal digigit sedikit itu mudah diingati kerana semua orang boleh kenal buah epal. Daripada kanak-kanak sampai ke orang dewasa, kenal buah epal, bukan?

Reka bentuk produk Apple Inc pula menampilkan identiti jenama yang ringkas dan minimalis. Sejak dari awal pengeluaran produk lagi, rekaannya memang ringkas dan mesra pengguna.

BAGAIMANA PMKS PERLU BUAT IDENTITI JENAMA?

Modachi memberikan situasi iaitu anda sebagai pengusaha kedai kopi. Bagi membangunkan jenama anda supaya lebih mudah dikenali dan diingat oleh khalayak, cuba jadikan Apple Inc sebagai contoh terbaik.

Pertama, buat logo yang unik dan menarik perhatian pelanggan.

Cipta logo yang unik, mudah diingat dan gunakan warna logo itu sebagai warna rasmi jenama anda dalam setiap platform.

Kedua, gunakan skema warna yang konsisten dalam apa-apa juga platform yang anda gunakan. Misalnya warna di laman web, gambar profil di aplikasi WhatsApp, gambar profil dan cover di media sosial, penggunaan poster serta pada pembungkusan produk anda.

Ketiga, konsisten dalam penyampaian mesej kepada pelanggan. Misalnya, jika mesej yang ingin disampaikan adalah kopi anda dapat menambah kasih sayang antara pasangan dalam apa-apa jua keadaan, sampaikanlah mesej itu secara konsisten sehingga apabila orang ingin mencipta romantis dengan pasangan, kopi andalah yang mereka cari.

Sememangnya mencipta identiti jenama adalah satu hal yang amat kritikal kerana strateginya bukan dapat dipupuk dalam sehari dua. Ianya memerlukan satu tempoh berpanjangan dan usaha yang berterusan. Pun begitu, hanya dengan identiti jenama yang kukuh sahajalah anda dapat tampil berbeza berbanding pesaing.

Kesimpulannya, sebagai usahawan PMKS, pembinaan identiti jenama yang kukuh dapat membantu anda lebih mudah dikenali dan diingati sebagaimana jenama Apple Inc di pasaran teknologi. Jenama ini berada pada kelasnya yang tersendiri. Walau muncul pelbagai jenama baru sebagai pesaing, Apple Inc bagaikan tidak terjejas kerana jenama ini telah berada jauh di hadapan meninggalkan pesaingnya.