Menjadi orang bisnes, anda perlu memahami strategi pemasaran. Salah satunya adalah dengan mengkaji sasaran pembeli anda sendiri. Manusia mempunyai dua hal besar dalam hidupnya iaitu antara keperluan dan kehendak. Dia perlu membeli untuk memenuhi keperluan hidupnya. Selain itu, dia akan membeli untuk memenuhi tuntutan kehendaknya.
Justeru, orang bisnes perlu memahami konsep keperluan dan kehendak ini supaya anda boleh menakluki pasaran yang ada. Jom kita lihat apakah itu keperluan dan kehendak yang sebenarnya dalam konteks strategi pemasaran.
KENAL PASTI
Keperluan adalah sesuatu yang diperlukan oleh manusia untuk terus hidup misalnya makanan, tempat tinggal, pakaian dan penjagaan kesihatan. Manakala kehendak pula adalah keinginan seseorang terhadap sesuatu yang bukan keperluan.
Maksudnya secara mudah adalah sebegini. Untuk terus hidup, seseorang yang hidup di Malaysia ini perlukan nasi, lauk dan air minuman misalnya air masak. Itu adalah keperluan. Berbeza dengan kehendak yang selalunya membabitkan selera lebih tinggi iaitu spageti misalnya. Inilah perbezaan yang boleh dijadikan contoh dalam konteks makanan.
Justeru, seorang pemilik bisnes perlu memahami kedua-dua konsep ini kerana ada beza strategi marketing apabila anda menjual produk yang termasuk dalam salah satu kategori ini. Menjual produk kategori keperluan, ada strateginya. Menjual produk dalam kategori kehendak pula, ada strateginya.
Apabila anda memahami konteks kedua-dua konteks ini, lebih mudah untuk anda menyusun strategi yang mencakupi pemahaman pasaran yang ada di luar sana.
Boleh dilihat dalam perniagaan kedai kopi. Sebagai contoh jenama Starbucks. Walaupun secara mata kasarnya, Starbucks dilihat sebagai kedai yang menjual pelbagai jenis kopi, donat dan roti, namun ramai penganalisis perniagaan melihat Starbuck sebenarnya menjual gaya hidup. Minum atau lepak di Starbucks dikatakan sebagai gaya hidup atasan.
Kesimpulannya, memahami konsep keperluan dan kehendak pelanggan amat penting sebagai salah satu data yang perlu seorang ahli perniagaan kaji. Daripada data tersebut, anda boleh merangka dan merancang aktiviti pemasaran yang berstrategi untuk menepati sasaran pelanggan yang telah ditetapkan.