Gardenia adalah pengeluar roti yang popular di Malaysia. Roti yang dihasilkan mendapat tempat istimewa dalam kalangan penggemar roti tempatan. Malah, sememangnya Gardenia mempunyai tahap kesetiaan jenama yang tinggi daripada pengguna.
Kesetiaan jenama merujuk kepada tindakan pelanggan yang membeli berulang kali produk jenama yang sama. Inilah yang paling disukai oleh setiap jenama. Mereka suka apabila pelanggan membeli berulang kali kerana hal ini memberikan jaminan keuntungan dan sekali gus membuatkan perniagaan itu berjaya.
Kenapa Perlu Ada Pelanggan Setia?
Terdapat sebab kukuh setiap jenama perlu berusaha mendapatkan pelanggan setia. Modachi menjelaskan satu per satu.
1) Jimatkan Kos Pemasaran
Jika anda kira semula kos pemasaran, sebenarnya kos membuat iklan atau menganjurkan kempen adalah lebih mahal berbanding membina pelanggan setia. Pelanggan setia akan tetap membeli walau anda tidak membuat sebarang iklan.
Justeru, jika anda bijak membina rasa kesetiaan jenama kepada pelanggan sedia ada, anda mampu menambah keuntungan dengan fokus kepada meningkatkan rasa setia pelanggan anda itu.
2) Tingkatkan Keuntungan
Pelanggan setia cenderung membuat pembelian lebih kerap dan sanggup membayar lebih ketika sesebuah jenama itu ada membuat promosi. Hal ini dapat meningkatkan keuntungan syarikat.
3) Promosi Dari Mulut
Pelanggan yang berpuas hati dengan mana-mana jenama pastinya akan menyarankan orang lain juga menggunakan jenama yang dia gunakan. Semuanya kerana ingin berkongsi manfat yang diterima daripada jenama tersebut. Hal ini menjadikan jenama tersebut mendapat pelanggan baharu daripada promosi tidak langsung itu.
4) Kelebihan Daya Saing
Kesetiaan jenama boleh menjadikan pelanggan tetap memilih jenama anda walaupun ada jenama lain yang menyediakan produk atau servis serupa. Ini kerana pelanggan setia tidak mudah untuk terpengaruh sehingga meninggalkan jenama yang telah dia sukai.
Bagaimana Gardenia Meningkatkan Kesetiaan Pelanggan?
Sebagai syarikat pengeluar produk berasaskan roti, Gardenia memastikan produk yang dikeluarkan adalah berkualiti. Hal ini dilakukan secara konsisten dan Gardenia memastikan roti dihasilkan memenuhi piawaian dari segi rasa dan tekstur sehingga menjadikan pelanggan yakin dengan produk keluarannya.
Gardenia juga mempunyai pelbagai variasi produk misalnya roti gandum penuh, roti tinggi serat dan juga pelbagai cita rasa. Selain itu Gardenia juga menampilkan produk baru dengan inovasi terkini. Hal ini menambah minat pelanggan setia untuk mencuba produk baru.
Pengedaran yang kurang cekap boleh menjadikan sesebuah produk itu gagal ditemui oleh pelanggan. Justeru Gardenia memastikan produknya perlu diedarkan secara cekap dan meluas. Kebanyakan produk Gardenia boleh dibeli dengan mudah di pelbagai kedai runcit, pasar raya dan kedai serbaneka.
Gardenia juga meningkatkan kesetiaan pelanggan dengan mengambil berat isu halal produknya. Keyakinan yang tinggi dalam kalangan pelanggan terhadap sesuatu produk sekali gus boleh meningkatkan kesetiaan pelanggan.
Kesimpulannya, berusaha keraslah anda untuk meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap produk atau servis anda. Hal ini boleh menambah tahap kesetiaan pelanggan anda.