Padini, Vincci: Syarikat Malaysia Yang Punyai Personaliti Jenama Menarik

Modachi amat tertarik dengan pembinaan personaliti jenama oleh sebuah syarikat fesyen, Padini Holdings Berhad. Ini kerana personaliti jenama yang ditampilkan amat menarik hati sehingga menjadi antara jenama pilihan setiap kali pelanggan ingin membeli produk fesyen seperti pakaian, kasut atau aksesori.

Di bawah satu bumbung, syarikat ini mempunyai beberapa jenama iaitu Vincci, Padini, MIKI, Seed, Rope, P & Co, PDI dan label Padini Authentics. Brand Outlet juga di bawah syarikat ini juga.

Mengapa Padini Holdings dikatakan sebagai sebuah syarikat yang mempunyai personaliti jenama yang menarik? Jom Modachi kupas setakat mana yang telah kami teliti.

1) FESYEN YANG TRENDY

Apabila bergiat dalam industri fesyen, perkara paling utama adalah anda perlu pantas dan mengikut peredaran zaman. Inilah yang dilakukan oleh Padini Holding terhadap seluruh jenama di bawahnya.

Terutamanya di bawah jenama Padini dan Vincci, syarikat ini sangat mementingkan fesyen yang trendy. Atas sebab itulah jenama ini mempunyai ramai peminat terutamanya dalam golongan remaja.

2) KUALITI

Padini menjadikan kepuasan pelanggan sebagai asas dalam perniagaan fesyen mereka. Kualiti yang baik menjadi tanda aras kepada kepuasan pelanggan. Justeru mereka menghasilkan produk yang selesa pada harga mampu milik namun tetap berkualiti tinggi.

3) DEKAT DI HATI MASYARAKAT

Di bawah Kelab Kebajikan Padini Holdings, Padini giat menyalurkan bantuan berbentuk pakaian kepadai golongan yang memerlukan. Mengikut rekod Laporan Kelestarian Padini Holding Berhad 2021, sebanyak enam buah pertubuhan menerima sumbangan berbentuk himpunan produk pakaian jenama Padini dan wang tunai. Enam pertubuhan tersebut adalah:

  • Life Line Clothing Malaysia
  • Badan Amal Nur Zaharah
  • Medical Awareness Camp Outreach Drop Off Centre
  • The Glad Shop PJ
  • My Kasih Foundation, SK SG DUA Bentong
  • Nineth Heaven Loving Kindness Group

4) MESRA ALAM SEKITAR

Personaliti adalah satu hal yang berkait rapat dengan budi bahasa. Untuk menawan hati pengguna, jenama anda perlu mempunyai personaliti yang baik. Personaliti ini boleh ditonjolkan melalui amalan yang positif dalam kalangan kakitangan di syarikat.

Padini mengamalkan rutin kitar semula demi menjaga alam sekitar secara lebih efisien. Sepanjang tahun kewangan 2021, Padini telah mengumpul dan menjual untuk kitar semula sejumlah kira-kira 642 kilogram kertas terpakai dan produk kertas. Wang hasil jualan telah digunakan untuk menambah wang tunai dalam sumbangan kepada golongan memerlukan di bawah Kelab Kebajikan Padini Holdings.

Amalan kitar semula patut dijadikan rutin dalam pembudayaan sesebuah syarikat supaya membentuk personaliti yang baik pada mata masyarakat.

Selain itu, Padini juga mengamalkan Kempen ‘Turn off before you take off’ di pejabat. Kempen ini dilakukan demi menggalakkan pekerja mematikan komputer dan komputer riba jika mereka keluar rehat atau berada jauh daripada kedua-dua peralatan itu dalam tempoh lama. Malah Padini juga menyarankan pekerja mereka mematikan lampu pejabat pada waktu rehat makan tengah hari. Sebelum balik ke rumah selepas tamat waktu kerja, pekerja wajib mematikan segala suis elektrik yang tidak digunakan. Hal ini memberi kesan baik kepada syarikat apabila pembiayaan bil elektrik dapat jimatkan sehingga 25 peratus pada 2021 berbanding tahun sebelumnya.

APA YANG BOLEH DIJADIKAN TELADAN?

Sebagai syarikat yang masih mencari-cari personaliti jenama, anda boleh jadikan Padini sebagai contoh yang baik. Jadikan sikap-sikap yang baik sebagai amalan supaya personaliti anda disukai, disayangi dan diingati oleh orang ramai.

Antara sikap tersebut adalah seperti suka membantu golongan yang memerlukan dan suka mengamalkan kitar semula kerana mengambil berat soal alam sekitar. Di samping itu, sikap menawarkan produk yang berkualiti tinggi dan trendy turut menjadi kecenderungan utama.

Personaliti jenama sesebuah syarikat yang kukuh adalah cerminan daripada produk dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Hal ini semestinya menjadikan jenama anda sebagai satu personaliti yang amat kukuh dalam kalangan masyarakat. Personaliti yang baik dan menawan pastinya disukai ramai dan menjadikan jenama anda terus disayangi.

Kesimpulannya, personaliti jenama adalah elemen penting dalam mana-mana strategi perniagaan. Ianya membantu mewujudkan hubungan emosi dengan pengguna, membezakan jenama dan mempengaruhi tingkah laku pengguna.

Dalam hal ini, barisan pengurusan atau ketua perlu memainkan peranan besar demi menunjukkan contoh teladan kepada orang bawahan. Sekali gus setiap pekerja memahami tugas masing-masing demi menjaga nama baik syarikat lantas membentuk personaliti jenama yang utuh.