3 Cara Inovasi Dalam Kaedah Pemasaran

Setiap perkara dalam kehidupan sekeliling kita pastinya mengalami perubahan. Ini termasuk juga dengan kaedah pemasaran yang digunakan dalam perniagaan. Pemasaran dengan kaedah konvensional boleh dinaik taraf menggunakan kaedah lebih moden melalui strategi inovasi.

Terdapat tiga kaedah pemasaran moden yang boleh diguna pakai. Modachi tunjukkan ketiga-tiga kaedah tersebut.

KOD QR

Kod QR boleh digunakan sebagai salah satu kaedah pemasaran.

Kewujudan kod QR menjadikan pelbagai perkara bertambah mudah. Pengguna hanya perlu mempunyai sebuah telefon pintar berkamera dan mengimbas kod QR tersebut menggunakan telefon masing-masing.

Untuk membuat pemasaran, setiap produk yang anda hasilkan perlu diletakkan kod QR. Misalnya di kotak pembungkusan produk anda. Dengan adanya kod tersebut, pembeli boleh mengimbas kod untuk mendapatkan sebarang maklumat.

Selepas mengimbas, dokumen atau gambar boleh dilihat di paparan skrin telefon. Dari sini, pengguna boleh mendapatkan maklumat mengenai produk yang dibeli, senarai himpunan produk yang ditawarkan, video tutorial ataupun menebus diskaun eksklisif melalui pembelian atas talian.

KOLABORASI PEMPENGARUH

Sesiapa sahaja berpeluang mencipta nama sebagai pempengaruh asalkan bijak membuat content menarik perhatian.

Dunia media sosial menjadikan golongan pempengaruh muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Asalkan viral, seseorang itu mudah dikenali dalam khalayak media sosial.

Jumlah pengikut yang ramai menjadikan golongan ini dianggap sebagai mempunyai kuasa untuk mempengaruhi orang ramai. Justeru, ramai usahawan menggunakan khidmat pempengaruh untuk mempromosikan produk atau servis mereka.

Justeru, tidak salah jika strategi pemasaran menggunakan kolaborasi pempengaruh dianggap sebagai sesuatu yang moden dan boleh jadi berkesan untuk mempromosikan perniagaan.

KOMUNITI DIGITAL

Mengumpulkan prospek dalam satu WhatsApp group adalah salah satu strategi marketing yang berjaya.

Jika anda biasa dengan teknik pemasaran yang ditunjukkan oleh sifu-sifu bisnes, anda pasti pernah dengar perkataan ‘kolam’. Perkataan ini merujuk kepada tempat berkumpul prospek yang boleh bertukar menjadi pelanggan.

Lazimnya, prospek dikumpulkan menggunakan nombor telefon dan alamat e-mel. Kemudian, mereka akan dimasukkan sebagai komuniti dalam kumpulan WhatsApp atau kumpulan facebook.

Justeru, seluruh informasi mudah untuk disalurkan kepada prospek melalui komuniti digital ini. Malah ada pelbagai program boleh dianjurkan untuk mendapat manfaat bersama.

Kesimpulannya, di sebalik kaedah pemasaran lapuk (boleh baca di sini), anda turut boleh menggunakan kaedah pemasaran moden untuk menaikkan jualan produk atau servis anda.