Strategi Pemasaran: Nak Buat LIVE atau Podcast?

Membuat konten di platform digital memerlukan kreativiti yang bukan sedikit. Ini kerana semakin banyak platform, maka semakin banyaklah bentuk konten yang boleh dibuat demi meraih perhatian penonton atau pendengar.

Kepelbagaian jenis konten menjadikan audiens semakin banyak pilihan dan pembuat konten berdepan dengan cabaran yang besar. Pembuat konten perlu lebih kreatif dan bersaing demi meraih lebih perhatian.

Antara jenis konten yang boleh dibuat sebagai strategi pemasaran adalah LIVE dan podcast. Podcast sebenarnya telah wujud lama iaitu sekitar tahun 2000 dahulu. Pun begitu, podcast semakin popular di tanah air kita sejak kehadiran COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketika itu, masyarakat kebanyakannya perlu berada di rumah dan mereka menjadi semakin kreatif dalam menghasilkan pelbagai konten di platform digital. Inilah sebabnya, podcast bagaikan mengambil alih populariti konten LIVE di media sosial.

Rencana ini memberikan sedikit gambaran antara kelebihan dan kekurangan dia medium pemasaran digital iaitu LIVE dan podcast. Mana satu pilihan anda? Tepuk dada, tanya selera.

INTERAKSI

Jika anda mahukan interaksi real-time bersama penonton, LIVE di media sosial adalah pilihan terbaik berbanding Podcast. Podcast tidak memberikan kebebasan kepada pendengar untuk berinteraksi dengan hos. Podcast fokus kepada interaksi sehala sahaja.

KANDUNGAN

LIVE di TikTok menjadi pilihan ramai pembuat konten.

Konten LIVE di media sosial lebih menyeronokkan kerana bersifat visual dan audio. Melalui kedua-dua elemen ini, pancaindera manusia dimanfaatkan sebaik mungkin. Penonton dapat melihat paparan visual dan mendengar audio dalam satu masa.

Berbanding dengan podcast, hanya audio sahaja yang menjadi taruhan. Podcast sememangnya fokus kepada audio sahaja sesuai dengan namanya yang menggabungkan antara iPod dan broadcast menjadi podcast.

KESAN JANGKA PANJANG

LIVE di media sosial selalunya mendapat jangkauan yang luas dalam masa pendek. Bagi jangka masa panjang, LIVE itu mungkin sudah dilupakan kerana terbenam dalam posting-posting selepas itu.

Podcast pula menawarkan kesan jangka panjang yang lebih baik. Ini kerana kandungan Podcast tetap boleh diakses dan didengar dalam tempoh lebih lama.

KEPELBAGAIAN KONTEN

LIVE di media sosial memberikan peluang kepada anda untuk membuat macam-macam konten. Misalnya, bual bicara, wawancara, forum atau demonstrasi produk.

Podcast pula lebih sesuai untuk kandungan yang lebih mendalam seperti ceramah atau forum yang lebih panjang tempohnya. Ini kerana peminat podcast selalunya memang telah bersedia untuk mendengar.

Podcast semakin rancak di Malaysia sejak dunia dilanda pandemik COVID-19.

KEBOLEHCAPAIAN

LIVE di media sosial lebih mudah untuk dibuat. Anda hanya perlu satu gajet misalnya telefon pintar atau komputer riba yang ada liputan internet dan kamera. Ini adalah untuk asas membuat LIVE. Jika anda mahu kelainan, bolehlah membuat sedikit dekorasi misalnya menambah pencahayaan dan paparan kertas dinding yang cantik demi mendapatkan look yang menarik.

Podcast pula memerlukan peralatan yang lebih spesifik untuk audio kerana podcast memerlukan bunyi yang jelas supaya pendengar dapat pengalaman mendengar yang sempurna.

Justeru, mana satu platform yang lebih mendapat perhatian anda? Adakah LIVE atau podcast. Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan. Pun begitu, jika ingin menjadikan LIVE atau podcast ini sebagai strategi pemasaran, pastikan anda mempunyai audiens yang betul dan juga pastikan mana satu yang audiens anda suka.