Pada hari ini, jumlah gaji yang ditawarkan untuk kerjaya membuat penstriman LIVE di media sosial boleh mencecah sehingga RM8,000 sebulan. Hal ini boleh dilihat di laman carian kerja Jobstreet. Banyak syarikat mahukan seseorang individu yang boleh menjadi hos LIVE terbaik dengan tawaran gaji menarik.
Rujukan: https://www.jobstreet.com.my/live-streaming-jobs
Permintaan kepada hos LIVE meningkat dengan adanya pasaran digital. Hal ini membuatkan LIVE menjadi platform bersiaran secara langsung bersama pengguna. Menariknya, LIVE bukan sahaja boleh memikat penonton untuk membeli, namun kebijaksanaan hos turut boleh mempengaruhi gelagat penonton membeli-belah dengan ketara. Lazimnya, pembeli terdorong untuk membeli apabila melihat orang lain membeli.
Berbelanja dalam talian pada hari ini bukan sekadar membeli dalam talian secara tradisional. Pembelian dalam talian secara tradisional bermaksud membeli dengan cara melihat gambar sahaja. Ini kerana membeli ketika LIVE adalah amat menakjubkan.
Hal ini menjadikan hos LIVE berperanan besar dalam menarik perhatian penonton sekali gus menukarkan penonton menjadi pembeli.
Justeru, apakah perkara yang membolehkan hos LIVE streaming membuatkan penonton terus membeli secara spontan ketika menonton LIVE tersebut?
1) TINGKATKAN PENGLIBATAN PENONTON
Hos perlu bijak melibatkan penonton dalam LIVE. Misalnya bertanya soalan, membaca mesej yang dihantar oleh penonton dan memberikan respon. Hos yang tidak aktif bersama penonton dan membiarkan mesej-mesej penonton berlalu tanpa membacanya selalunya tidak disukai oleh penonton.
Hos begini dianggap tidak mesra penonton dan mungkin menimbulkan kemarahan penonton. Boleh juga dianggap sebagai hos syok sendiri.
2) MENCIPTA SUASANA SANTAI
Hos LIVE perlu bijak mencipta suasana santai melalui kata-kata dan gerak tubuhnya. Suasana santai mewujudkan keadaan mesra di antara hos dan penonton. Apabila suasana santai berjaya diwujudkan, penonton berasa seronok untuk membeli-belah ketika LIVE sedang berlangsung.
3) VISUAL MENARIK
Suasana yang dipaparkan di skrin perlu nampak cantik dengan susunan produk jualan yang teratur. Paling penting, visual hos perlu nampak selesa dalam LIVE. Visual yang menarik memberikan potensi untuk penonton kekal menonton LIVE tersebut.
Penggunaan pencahayaan (lighting), boleh mewujudkan suasana santai. Malah pencahayaan juga memberikan mood yang menarik kepada penonton.
4) INTERAKSI DAN INFORMASI
Hos LIVE perlu nampak bijak. Ini bermaksud, hos perlu memahami produk yang dijual secara sepenuhnya. Anda perlu tahu jenis, kualiti, saiz, sumber, harga, diskaun, harga pengeposan dan lain-lain informasi yang asas.
Tanpa pengetahuan mengenai produk, sukar untuk anda menjadi seorang hos LIVE yang berkaliber. Tanpa informasi, apa peranan anda di situ? Bagaimana anda boleh jadi hos LIVE yang disukai ramai?
5) STRATEGI PROMOSI EKSKLUSIF
Hos LIVE berperanan dalam memberikan promosi eksklusif kepada penonton LIVE pada ketika itu dengan mendapat potongan harga yang amat menarik. Maksudnya hanya penonton LIVE yang mendapat harga itu, tidak orang lain.
Hal ini mewujudkan rasa mendesak dan eksklusif kepada penonton LIVE untuk bertindak panas dengan membuat pembelian pada ketika itu juga.
Kesimpulannya, peranan hos LIVE bukanlah mudah. Atas sebab itulah ada syarikat yang sanggup membayar gaji tinggi kepada jawapan hos LIVE. Bukan sahaja boleh menghasilkan jualan tinggi, malah hos LIVE turut berupaya meningkat sesuatu jenama dengan kebijaksanaannya mengawal suasana ketika sedang bersiaran langsung.