Terjebak Skim Perniagaan Scammer, 3 Perkara Buruk Bakal Berlaku Pada Anda

Hari ini, kita memang tidak dapat lari daripada kepesatan era digital. Pelbagai skim perniagaan boleh direka dan tidak mustahil skim itu boleh diselindungkan di sebalik pelan perniagaan yang amat menarik. Era digital membolehkan semua perkara itu direka sebaik mungkin sehingga tidak nampak ianya sebenarnya adalah penipuan yang boleh membuatkan anda mengalami kerugian.

Sebagai usahawan, anda perlu cepat merasai curiga apabila skim perniagaan itu menjanjikan sesuatu yang amat menarik pada jangka masa yang singkat. Taktik licik si pembikin skim itu mungkin sukar untuk dikesan. Pun begitu, anda perlu sentiasa berwaspada dan jangan mudah tergoda.

Pelan perniagaan berbentuk pelaburan yang sebenarnya adalah penipuan telah lama wujud. Namun, pengikutnya selalu ada. Kenapa? Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana terpesona dengan pulangan yang dijanjikan apatah lagi individu yang berada di atas-atasnya ialah individu yang berpengaruh.

Skim perniagaan sebegini memang mempunyai lesen yang sah. Namun pelan perniagaan sebegini tidak mempunyai asas kukuh walaupun kelihatan sangat kukuh dan menyakinkan. Anda dinasihatkan mendapatkan pandangan daripada individu yang pakar dalam pelaburan dan individu itu tidak mempunyai kepentingan dalam skim perniagaan tersebut,

Modachi berikan tiga point penting mengenai keburukan yang anda bakal dapati jika anda terjebak dengan skim perniagaan berunsur penipuan.

1) HILANG MODAL

Skim perniagaan penipuan berselindung di sebalik skim perniagaan sah.

Sesiapa sahaja yang ingin menyertai perniagaan, perlu ada modal. Begitu jugalah dengan skim perniagaan yang berbentuk penipuan. Anda perlu membayar sejumlah modal dan dijanjikan pulangan besar daripada modal yang anda berikan.

Lebih besar modal, maka akan lebih besarlah pulangannya. Tidak mustahil ada individu yang sanggup membuat pinjaman bank semata-mata untuk dilaburkan dalam skim perniagaan tersebut.

Sedarkah anda, anda berpotensi untuk hilang modal yang anda laburkan. Malah anda juga tidak mungkin dapat menikmati pulangan yang dijanjikan itu. Kerugian adalah satu-satunya milik anda. Berputih matalah anda apabila nada hilang modal dan bertambah buruk apabila anda terpaksa membayar balik pinjaman bank yang anda buat untuk melabur.

2) HILANG KEPERCAYAAN

Apabila melabur dalam skim perniagaan, anda selalunya perlu mencari orang untuk turut sama menyertai skim perniagaan ini. Hal ini membuatkan anda mendekati kenalan dan menawarkan peluang membuat keuntungan dengan menyertai skim pelaburan ini.

Mungkin ada yang menyertainya apabila terpengaruh dengan ajakan anda. Apatah lagi jika anda bijak mempengaruhi orang.

Pun begitu, apabila skim ini dikenal pasti adalah skim yang berbentuk penipuan, maka orang yang menyertai mulai berprasangka negatif kepada anda. Anda akan hilang kepercayaan mereka. Pengaruh anda terjejas dan mereka tidak lagi berhubungan baik dengan anda.

3) RISIKO KEWANGAN PERIBADI

Masalah kewangan boleh jadi satu isu besar dalam rutin kehidupan.

Point ini ada kaitan dengan point pertama tadi. Anda melaburkan wang sedia ada yang anda miliki. Kemudian anda buat pula pinjaman bank untuk dilaburkan dalam skim perniagaan yang menjanjikan keuntungan.

Hal ini menjadi buruk apabila skim perniagaan itu rupa-rupanya adalah penipuan. Anda bukan sahaja kehilangan wang simpanan. Malah anda menanggung hutang yang besar dengan pihak bank. Pinjaman bank tetap perlu dilunaskan.

Dengan bebanan kewangan yang ada, anda pasti kehilangan kemanisan dalam hidup. Risiko berhutang dalam jumlah yang banyak perlukan masa untuk anda pulih kembali. Anda bukan sahaja perlu mengurus kewangan, namun perlu mengurus emosi dengan baik. Cukup baik jika anda berhutang bank. Namun alangkah buruknya nasib anda jika anda membuat pinjaman dengan ceti haram atau dikenali dengan nama ah long.

Kesimpulannya, amat penting untuk anda lebih waspada sebelum menyertai mana-mana pelan perniagaan yang ditawarkan kepada anda. Anda perlu selidiki dan kenal pasti sama ada skim perniagaan itu sah ataupun penipuan.

Jangan terdedah dengan skim perniagaan yang bersifat penipuan kerana risikonya amat besar terhadap kewangan anda dan juga kehidupan anda secara total.