Industri fesyen adalah salah satu bidang yang agak sukar diteka sambutannya. Pun begitu, usahawan fesyen perlu kreatif mencipta trend tersebut. Ini kerana sambutan pelanggan adalah bergantung kepada trend yang dicipta oleh usahawan itu sendiri.
Salah satu trend yang boleh dicipta adalah warna baju terutama baju raya. Trend warna baju amat berkait rapat dengan peningkatan jualan apabila pelanggan cenderung mencari baju raya mengikut trend warna yang dicipta.
Tahun 2024 ini, trend warna baju raya adalah brick orange. Hal ini dapat dilihat apabila kebanyakan butik yang menjual baju raya menampilkan pelbagai koleksi baju raya dengan warna ini.
Justeru, kenapa butik dan juga ejen jualan berlumba-lumba menjual baju raya yang menampilkan busana dengan warna brick orange yang dikatakan sebagai warna trending? Jom kita lihat sebab-sebabnya.
MENINGKATKAN KEPUASAN PELANGGAN
Apabila sesuatu warna baju menjadi trending, pelanggan akan cenderung membeli baju raya yang mengikut trend. Justeru, jika peniaga baju raya menjual baju raya dengan warna tersebut, pelanggan lebih suka. Tidak mustahil pelanggan akan membeli dengan lebih banyak baju raya dengan warna trending kerana ingin kelihatan bergaya ketika menyambut hari raya.
Sebagai usahawan fesyen, anda perlu bijak menyesuaikan baju raya warna trending ini dengan warna tudung yang sesuai bagi pelanggan perempuan atau warna samping yang sesuai bagi pelanggan lelaki.
DAPAT KESERASIAN
Apabila ada warna yang trending, orang ramai mulai teruja untuk mencuba warna tersebut. Misalnya warna brick orange untuk tahun 2024 ini. Mungkin sebelum warna ini trending, ada yang langsung tidak pernah mencuba pakaian yang menggunakan warna ini.
Apabila telah mencuba, rupa-rupanya warna yang tidak pernah dicuba itu, serasi dengannya. Justeru kebarangkalian pelanggan membuat pembelian adalah tinggi.
PENGIKLANAN MEDIA SOSIAL
Usahawan perlu agresif mengiklan di media sosial baju raya dengan warna brick oren yang trending. Warna trending boleh jadi satu ‘senjata’ pemasaran yang berkesan. Hal ini kerana usahawan fesyen perlu bijak mempromosikan warna trending sebagai satu warna yang sedang ‘in’ atau ‘must have’ sebagai baju raya seisi keluarga. Gunakan media sosial fesyen anda untuk platform promosi dan menyebarkan trend warna demi menggalakkan pembelian.
PENGARUH
Trend warna baju raya juga boleh dijadikan penggalak jualan baju raya apabila menggunakan pempengaruh dan selebriti sebagai modelnya. Hal ini kerana pengikut setia pasti akan melihat jenama baju raya anda digayakan oleh pempengaruh atau selebriti yang mereka minati. Hal ini sekali gus boleh meningkatkan jualan baju raya anda.
Orang ramai akan melihat pempengaruh nampak cantik mengenakan baju raya dengan warna trending sehingga menarik perhatian mereka.
Kesimpulannya, warna trending boleh menjadi satu faktor yang meningkatkan jualan baju raya. Namun, dalam masa yang sama, usahawan fesyen perlu juga mempunyai koleksi baju raya dengan warna-warna biasa misalnya merah, hijau, biru, putih, hitam, coklat dan kuning yang mempunyai peminat sepanjang masa.