Nak Bisnes F&B Anda Dapat Sambutan? Elakkan Perkara Ini

Menyertai bisnes F&B iaitu makanan dan minuman bukan mudah sebenarnya. Ini kerana terdapat banyak perkara yang perlu diteliti untuk mendapatkan pelanggan tetap. Apatah lagi bidang F&B adalah satu yang subjektif kerana berkaitan dengan cita rasa.

Modachi memberikan beberapa perkara yang perlu anda elakkan untuk menambat hati pelanggan supaya seterusnya menjadi pelanggan tetap anda.

AMBIL REMEH HAL KUALITI MAKANAN

Kualiti adalah perkara paling utama dalam bisnes F&B. Kualiti ini berkait rapat dengan cara memasak, cara penyediaan dan proses yang menjadikan makanan dan minuman itu sedap. Jika bahan yang digunakan tidak segar, tidak cukup bahan dan juga tidak menepati piawaian, maka bisnes F&B anda mudah lingkup.

KHIDMAT PELANGGAN YANG BURUK

Khidmat pelanggan amat penting bagi bisnes F&B.

Tolong elakkan khidmat pelanggan yang buruk. Pelanggan yang telah menerima layanan buruk pasti tidak akan datang lagi ke premis anda ataupun membeli makanan atau minuman yang anda jual.

Pastikan pekerja yang menguruskan pelanggan perlu diberikan kursus khidmat pelanggan supaya mereka memahami apa yang pelanggan mahukan. Bukan semua orang sesuai bekerja di bahagian khidmat pelanggan. Justeru sebagai pengusaha, anda perlu memilih pekerja yang betul-betul bagus untuk melayan pelanggan kerana mereka ini memberikan impak besar kepada perniagaan anda.

KURANG INOVASI DALAM MENU

Menu perlu sentiasa dikemas kini supaya dekat dengan selera terkini pelanggan.

Sebagai usahawan F&B, anda tidak boleh cepat berada dalam zon selesa. Anda perlu fikirkan inovasi menu yang terkini supaya pelanggan berasa puas dan ingin mencuba sesuatu yang baru.

Kekalkan menu yang lama tapi tingkat menu baru dengan resipi-resipi yang diinovasikan. Maka dengan ini pelanggan teruja untuk terus menjadi pelanggan tetap kedai makan anda.

KURANG FAHAM PASARAN DAN PESAING

Untuk maju dalam bidang F&B, anda perlu memahami pasaran dan juga mengkaji pesaing. Tanpa memahami pasaran dan pesaing, anda mudah jadi usahawan yang ‘syok sendiri’ dan akhirnya perniagaan anda semakin merosot.

Memahami pasaran dan pesaing menjadikan anda tahu apa yang pelanggan mahukan. Dari situ anda boleh mencipta produk yang pelanggan suka dan mendapat perhatian daripada mereka.

PENGURUSAN STOK YANG LEMAH

Perniagaan F&B memerlukan anda sentiasa ada bahan mentah untuk menghasilkan produk makanan atau minuman yang dijual. Justeru, anda perlu bijak memantau menu mana satu yang banyak permintaan. Menu yang banyak permintaan, bahan mentah perlu cukup stok. Kurangkan stok menu yang kurang mendapat sambutan. Bijaklah mengawal keluar masuk stok supaya pelanggan yang datang membeli tidak kecewa apabila stok sentiasa tiada.

CUAI ISU KESIHATAN DAN KESELAMATAN

Bisnes F&B terlalu dekat dengan isu keracunan makanan. Kes keracunan makanan bukanlah isu remeh kerana boleh membawa kepada maut. Ambil cakna isu kebersihan ruang memasak dan tempat penyimpanan stok bahan mentah.

Anda perlu peka dengan kebersihan kerana ianya menyumbang kepada keselamatan individu yang memakan produk jualan anda. Perhatikan makhluk perosak misalnya tikus atau serangga seperti lipas. Semuanya tidak patut ada di dalam premis anda.

Justeru, bukan mudah untuk berjaya dalam industri F&B. Ada banyak isu perlu diperhatikan. Bukan setakat sedap sahaja. Perhatikan semua perkara yang telah disebutkan di atas supaya perniagaan F&B anda terus berjaya dan mendapat perhatian orang ramai.