Manipulasi Emosi Iklan Kanak-Kanak, Pengaruh Negatif Yang Perlu Dielak

Pada hari ini, apabila disebut mengenai iklan, bukan sahaja iklan yang disiarkan di kaca televisyen. Namun iklan di pelbagai platform media sosial misalnya facebook, TikTok dan juga YouTube.

Iklan-iklan ini, ada kalanya dibuat menggunakan kaedah storytelling dan juga reviu oleh pempengaruh. Malah ada juga konten influencer terdiri daripada kanak-kanak sendiri yang membuat reviu pelbagai jenis mainan dan makanan ringan.

Kehidupan kanak-kanak sepatutnya menyeronokkan.

Tidak dinafikan, reviu sedemikian yang dimuat naik ke platform YouTube mendapat sambutan dengan tontonan jutaan kali. Namun, ada antara konten yang diberikan memberikan kesan negatif kepada kanak-kanak.

Mengapa?

Ini kerana terdapat video yang dipaparkan itu berbentuk manipulasi kepada emosional kanak-kanak. Konten yang bagaimanakah yang dikatakan sebagai memanipulasi emosi kanak-kanak?

Pantau apa yang anak-anak kita tonton.

Sesebuah iklan itu dikata memanipulasi emosi kanak-kanak apabila merangsang emosi kanak-kanak seperti takut, cemas dan rasa ingin memiliki yang kuat. Lazimnya, selepas berkali-kali menonton iklan tersebut, kanak-kanak berubah ke arah emosi tidak sepatutnya.

Iklan-iklan sebegini tidak sepatutnya diwujudkan kerana berpotensi merobah emosi kanak-kanak daripada positif kepada negatif. Ini menunjukkan bahawa iklan itu mungkin tidak mematuhi garis panduan yang jelas. 

Iklan sepatutnya memberikan maklumat jelas mengenai produk yang diiklankan. Namun iklan sebegini terlalu banyak menunjukkan keseronokan sehingga memanipulasi emosi kanak-kanak yang menontonnya.

Anak kecil akan menangis jika tidak dapat apa yang mereka mahukan.

Iklan ini tidak menghiraukan informasi penting mengenai mainan yang dijual misalnya, sebaliknya hanya memaparkan keseronokan tidak terhingga yang diperoleh daripada mainan tersebut sehingga kanak-kanak mempunyai perasaan ingin memiliki mainan yang ditonton dalam iklan secepatnya.

Kesimpulannya, ibu bapa disaran memantau kandungan video yang ditonton supaya emosi anak-anak tidak terpengaruh. Terlalu banyak kandungan yang menyeleweng daripada objektif sebenar kerana sanggup memanipulasi emosi kanak-kanak yang menonton.