Bisnes Jangan Hanya Fikir Untung, Ini Keburukan Bagi Usahawan Tamak Haloba

Asyik fikir untung sahaja! Tamak Betul!

Apabila seseorang itu membuat bisnes, sememangnya aktiviti itu bertujuan untuk mendapatkan keuntungan sebagai sumber mencari rezeki. Apalah gunanya jika membuat bisnes tetapi berdepan dengan keadaan yang tidak menguntungkan malah rugi pula.

Individu yang berbisnes lantas hanya fokus kepada keuntungan berlipat kali ganda sahaja, anda boleh dianggap sebagai tamak haloba. Sebagai orang bisnes, anda tidak sepatutnya berbuat demikian kerana di samping berbisnes, anda perlu memikirkan manfaat yang diperoleh khalayak daripada produk atau servis anda.

Sekadar contoh, bisnes kosmetik timbang kilo. Individu yang menjalankan bisnes produk timbang kilo boleh dianggap sebagai pengusaha yang berorientasikan keuntungan semata-mata. Mereka tidak memikirkan manfaat yang diterima oleh pembeli. Mereka langsung tidak kisah mengenai kesan buruk yang bakal diterima oleh pengguna akibat daripada pemakaian produk timbang kilo.

Beginikah mentaliti usahawan yang kita perlukan?

Ingin tahu keburukan yang bakal menimpa jika anda menjadi orang bisnes yang hanya memikirkan keuntungan? Teruskan membaca!

1) HILANG KEPERCAYAAN

Lama-kelamaan, orang akan sedar mengenai orientasi anda yang hanya mahu untung sahaja tanpa memikirkan manfaat daripada penggunaan produk atau servis anda. Justeru orang mulai hilang kepercayaan kepada produk anda dan juga kepada anda sendiri sebagai empunya bisnes. Pelanggan merasakan bahawa anda langsung tidak cakna kepada keperluan mereka untuk mendapatkan manfaat daripada produk anda tanpa menggadaikan kesihatan atau keselamatan mereka.

2) PELANGGAN KURANG PUAS HATI

Apabila bisnes anda hanya fokus kepada keuntungan, pelanggan boleh jadi kurang puas hati. Ini disebabkan anda tidak mementingkan kualiti produk apatah lagi layanan kepada pelanggan. Akhirnya pelanggan meninggalkan anda kerana rasa tidak dihargai.

3) TIDAK MAHU BERURUS NIAGA LAGI

Pelanggan tidak akan sudi lagi menghulur wang untuk mendapatkan produk atau servis anda.

Sikap anda sebagai peniaga kurang beretika boleh menyebabkan pelanggan tidak mahu lagi berurus niaga dengan anda. Hubungan antara peniaga dengan pelanggan akan menjadi tegang disebabkan kebaikan pelanggan terabai.

4) HILANG PELANGGAN SETIA

Apabila kepercayaan hilang, anda sukar untuk mendapatkannya semula.

Ketika awal-awal perniagaan, pelanggan selalunya masih belum dapat menghidu mengenai orientasi anda yang hanya memikirkan keuntungan. Apabila mereka semakin terasa kemudaratan yang diterima daripada produk yang digunakan, maka hilanglah kesetiaan terhadap produk.

Dalam jangka masa panjang, bisnes yang berorientasikan keuntungan semata-mata sehingga menidakkan manfaat kepada pelanggan, pastinya bakal menuju ke arah kerugian. Jika anda mahu menjadikan bisnes anda sebagai satu legasi, pastikan bisnes anda bukan hanya berorientasikan keuntungan semata-mata. Anda perlu memikirkan manfaat yang diperoleh daripada produk atau servis anda.