Anda Tauke Bisnes Sistem Ejen? Ketahui 4 Faktor Punca Ejen Anda Kecewa

Menjadi seorang pengasas produk dan berniaga menggunakan sistem ejen adalah salah satu cara untuk cepat berkembang di pasaran. Ini kerana ejen adalah sekumpulan manusia yang boleh jadi alat pemasaran paling mudah anda perolehi.

Ejen akan membuat marketing di media sosial secara konsisten. Semakin ramai ejen yang anda miliki, maka semakin meriahlah media sosial dengan hantaran mengenai produk anda. Bukankah itu bagus untuk marketing yang boleh dikatakan percuma daripada ejen-ejen yang anda ada?

Pun begitu, anda sebagai pemilik produk dan selalunya dipanggil headquarters (HQ) oleh ejen, perlu melihat banyak sudut demi mengekalkan kesetiaan ejen terhadap syarikat anda. Semakin sedikit bilangan ejen, maka semakin kuranglah hantaran iklan di media sosial daripada ejen-ejen anda.

Ejen yang membuat iklan sebenarnya satu marketing percuma kepada HQ.

Apakah punca bilangan ejen semakin kurang? Ini selalunya disebabkan oleh perasaan kecewa ejen anda itu terhadap HQ. Jom kita lihat faktor-faktor yang menjadi penyebab kepada rasa kecewa mereka yang menjadi ejen produk.

Kenapa Ejen Kecewa Dengan HQ?

1) ISU KOMUNIKASI

Komunikasi bermaksud hubungan antara HQ dengan ejen itu sendiri. HQ sepatutnya lebih telus dan memberikan informasi mengenai sistem perniagaan yang dijalankan. Ejen perlu dimaklumkan dengan jelas mengenai komisyen yang bakal diperoleh. Ejen juga memerlukan maklumat lengkap mengenai produk. Ini termasuklah ciri-ciri produk, manfaat produk dan harga produk.

Kegagalan HQ berkomunikasi dengan baik kepada ejen menyebabkan ejen kecewa dan malas untuk meneruskan perjuangan dalam bisnes tersebut. Kegagalan komunikasi menyebabkan ejen susah untuk menjual.

2) KURANG LATIHAN

Ejen yang baru kali pertama menyertai bisnes secara sistem ejen pastinya memerlukan latihan sebagai peniaga online. Jika HQ tidak cakna dengan hal ini dan tidak menghiraukan elemen latihan, ejen sukar untuk membuat jualan. 

Dalam hal ini, HQ tidak boleh lepas tangan kepada ejen-ejen yang telah senior untuk melatih ejen yang baru menyertai pasukan ejen. HQ sepatutnya mengeluarkan modal untuk melatih ejen baru.

Kegagalan HQ berbuat demikian menyebabkan ejen terasa tidak dihargai dan hilang semangat untuk meneruskan perjuangan berbisnes dengan syarikat anda.

3) TARGET TIDAK MUNASABAH

Kebiasaannya HQ akan membuat jumlah minimum restok produk untuk mengekalkan keahlian sebagai ejen syarikat. Semakin tinggi ranking ejen tersebut, maka semakin tinggi jugalah jumlah minimum restok yang perlu dibuat oleh ejen tersebut.

Jika HQ menetapkan jumlah minimum restok yang terlalu tinggi untuk mengekalkan ranking sekali gus mengekalkan juga level komisyen yang boleh diperoleh, maka ejen mudah berasa kecewa apabila tidak mampu mencapai sasaran restok setiap bulan.

4) GANJARAN 

HQ perlu berikan ganjaran setimpal kepada ejen yang mencapai sasaran.

Ejen selalunya mengharapkan ganjaran yang setimpal dengan usaha mereka. Jika mereka tidak diberi sebarang ganjaran selepas mencapai satu-satu target yang diletakkan oleh HQ, maka mereka mudah berasa kecewa dan tidak setia dengan syarikat anda.

Kesimpulannya, untuk mengelakkan ejen syarikat anda kecewa dan tidak setia, anda perlu menyediakan segala keperluan yang mereka mahukan. Iktiraf usaha mereka sebaik-baiknya, berkomunikasi dengan jelas dan berikan mereka latihan untuk berniaga dengan betul. Tidak kiralah mereka berada pada ranking yang mana, selagi mereka adalah ejen, mereka amat bernilai pada syarikat anda.