Mempunyai produk dan rangkaian perniagaan sendiri boleh dianggap sebagai satu kejayaan bagi seseorang individu. Justeru, apabila sudah mempunyai rangkaian perniagaan, anda perlu tahu strategi pemasaran supaya dapat menjana keuntungan.
Kegagalan membuat strategi pemasaran dengan betul boleh menyebabkan produk anda ‘tersadai’ tanpa pembeli. Hal ini amat berbahaya dan boleh menyebabkan anda menanggung kerugian.
Sebagai founder, anda perlu mempunyai media sosial sama ada akaun personal mahupun page. Kemudian, anda perlu aktifkan media sosial dengan posting-posting yang menarik.
Ini antara posting yang boleh anda buat sebagai aktiviti pemasaran produk terbaru anda.
1) Perkenalkan produk anda
Buat posting di media sosial anda dengan memasukkan gambar produk anda itu. Masukkan kapsyen yang menceritakan mengenai ciri-ciri produk dan manfaat produk anda supaya orang ramai dapat lebih mengenali produk anda.
2) Serlahkan bahan utama
Salah satu posting yang anda perlu buat adalah menguar-uarkan bahan utama yang menjadi kekuatan produk anda. Bahan utama inilah yang selalunya membezakan antara produk anda dengan produk orang lain.
3) Tunjukkan gambar sebelum-selepas
Apabila anda telah mempunyai pelanggan, cuba hubungi mereka kembali untuk mendapatkan maklum balas. Minta izin pelanggan untuk mendapatkan gambar sebelum mereka menggunakan produk anda dan juga gambar selepas mereka menggunakan produk anda. Daripada kedua-dua gambar ini, anda boleh jadikan posting pemasaran di media sosial anda.
4) Kongsikan reviu pelanggan
Reviu daripada pelanggan juga boleh jadi satu posting yang menarik. Misalnya, anda dapatkan reviu daripada pelanggan dan minta izin daripada pelanggan tersebut untuk memuat naik reviu itu di media sosial anda.
Jika reviu pelanggan kurang memberangsangkan, anda boleh jadikan reviu itu sebagai data untuk anda tambah baik produk pada masa akan datang.
5) Buat video cara pakai
Satu lagi cara untuk membuat posting menarik di media sosial adalah membuat video tutorial atau cara pakai produk anda. Kongsikan cara pakai dengan betul supaya pelanggan anda mendapat manfaat sepenuhnya daripada produk anda itu.
6) Menganjurkan pertandingan
Anda juga boleh anjurkan pertandingan di media sosial anda dengan menawarkan produk anda sebagai hadiah. Hal ini amat berkesan kerana boleh menjadikan media sosial anda dikenali sekali gus memperkenalkan produk anda itu.
7) Kerjasama dengan pempengaruh
Jika anda mempunyai bajet yang lebih, boleh cuba berkolaborasi dengan mana-mana pempengaruh untuk menjadikan produk anda lebih cepat dikenali.
Kesimpulannya, gunakan media sosial sebaik-baiknya sebagai platform untuk membuat strategi pemasaran. Media sosial mempunyai pengaruh yang besar dan jika anda bijak menggunakannya dengan menyediakan posting menarik, pasti penjenamaan produk anda boleh jadi sangat wow!