Golongan ejen produk selalunya bergantung harap kepada copywriting yang telah disediakan oleh ibu pejabat (HQ). Justeru, bagaimana cara untuk anda tampil berbeza daripada ejen-ejen yang lain? Copywriting anda perlulah ada perbezaan untuk menonjolkan keunikan anda sebagai ejen produk tersebut.
Memuat naik hantaran media sosial menggunakan copywriting yang sama dengan ejen lain kerana copy paste copywriting HQ amatlah tidak digalakkan. Orang mudah bosan dan langsung tiada keunikan pada copywriting itu untuk menjadikan anda istimewa.
Nah, Modachi berikan 10 idea kreatif untuk membuat copywriting.
1) STRAIGHT TO THE POINT
Copywriting perlu straight to the point. Maksudnya anda perlu menulis secara ringkas supaya mudah difahami. Tidak perlu bahasa berbunga-bunga, terlampau puitis sehingga membuatkan pembaca seperti sedang menikmati puisi.
2) JELASKAN USP
USP adalah singkatan unique selling proposition. Lazimnya, untuk mudah faham, USP adalah faktor-faktor yang menjadikan anda berbeza berbanding ejen lain. Jadi, apa keunikan anda? Masukkan USP ini dalam copywriting yang anda tulis.
3) PERKASAKAN CERITA (STORYTELLING)
Dalam copywriting, anda perlu bijak bercerita. Cerita itu perlulah menarik dan sesuaikan dengan diri anda sebagai manusia yang hidup di muka bumi ini. Lebih dekat anda dengan produk yang anda jual, maka lebih relevan dengan prospek. Orang kurang suka baca iklan tetapi orang suka baca cerita. Jadi, berceritalah supaya orang tidak sedar sebenarnya dia sedang membaca iklan.
4) TESTIMONI BENAR
Copywriting menggunakan testimoni mempunyai kekuatan tersendiri. Jadikan diri anda sendiri sebagai testimoni. Berceritalah mengenai pengalaman anda menggunakan produk itu dengan sebenar-benarnya. Boleh juga jadikan insan terdekat dengan anda sebagai testimoni. Apa yang penting adalah testimoni yang benar, bukannya menipu.
5) CIPTA TINDAKAN
Copywriting juga perlu ada sedikit unsur yang menggalakkan pembaca bertindak. Namun, unsur itu perlulah benar dan bukan sengaja dicipta. Unsur urgency ada bagusnya kerana membuatkan pembaca cepat-cepat ingin membeli produk anda. Misalnya masa terhad untuk mendapatkan diskaun. Perlu diingat, masa terhad itu jangan dimanipulasi.
6) SELIT LAWAK JENAKA
Copywriting yang kreatif boleh dihasilkan dengan adanya unsur kelakar. Jangan terlalu serius dalam copywriting anda kerana boleh mewujudkan rasa bosan. Lawak jenaka menjadikan copywriting anda mudah diingati.
7) BANTU SELESAI MASALAH
Hasilkan copywriting anda dengan menegaskan manfaat produk untuk bantu selesaikan masalah prospek. Apabila prospek nampak masalahnya boleh diselesaikan, dia akan nampak value produk anda di situ.
8) BIJAK BERMAIN BAHASA
Apabila menulis copywriting, anda perlu bijak memilih perkataan yang tepat. Contoh: Jika menjual pakaian saiz besar untuk orang bertubuh gemuk, usahlah guna perkataan gemuk. Sebaliknya maniskan bahasa dengan menggunakan perkataan pakaian untuk si plus size. Itu lebih sopan dan menggembirakan. Tiada orang gemuk yang mahu dipanggil gemuk.
9) PEKA SEMUA VISUAL
Ya, walaupun namanya copywriting (bertulis) namun jangan abaikan kandungan bentuk lain. Misalnya gambar dan video. Ini kerana gambar dan video boleh menambah kekuatan kepada copywriting anda. Gambar sesuai untuk deria penglihatan. Manakala video pula sesuai untuk deria penglihatan dan pendengaran. Bagus kan gabungan semua deria ini?
10) ELAK GUNA JARGON
Bahasa yang hanya anda saja yang faham iaitu jargon sepatutnya dielakkan dalam penulisan copywriting. Tulis sesuatu yang boleh difahami oleh semua orang. Jika mahu gunakan jargon sekali pun, silalah berikan maksudnya supaya jargon itu boleh difahami.
Kesimpulannya, ejen produk tidak digalakkan bergantung harap kepada copywriting yang diberikan oleh HQ semata-mata. Jadilah ejen produk yang kreatif supaya copywriting anda nampak berbeza berbanding ejen yang lain.